Bayu pantai tidak sentiasanya aman….



Desiran angin berlalu, setenang hati yang tiada gundah gelisah, sabar menghadapi ujian melanda, tiada lain yang diharapkan melainkan pada Yang Esa. Ombak pantai lembut menampar pantai, laksana belaian kasih dalam jiwa, biar dilanda angin taufan yang kencang, tiada mampu ia menggugat cinta.


Pesan ibu, “Kasih Allah itu melebihi kasih manusia, kalau dicari yang lain, tiada dapat ia ditandingi. Kalau dilari, masih ia setia menanti, kerana Allah itu Maha Pengasih jua miliki segala nilai “pemberi” kerana DIa Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh hambaNya.” Kalau dirosak kasih manusia, belum tentu terubat pedih sanubari, tapi kalau dinodai cinta Allah, kekal Dia Maha Pengampun, Maha Memahami setiap kelakuan hambaNya. Benar, kasih Allah tiada yang dapat tandingi, meskipun darjatNya nun jauh melangkau akal manusiawi, namun KasihNya hangat dirasai meskipun jiwa yang kufur menafi.


Kalau memberi ‘kasih’ itu salah, bagaimana lagi mahu engkau cari? Kalau menasihati itu suatu yang diingkari, siapa lagi mahu membetuli diri? Kalau ukhuwah itu dicela dibenci, ikatan bagaimana yang kau nanti?


Meski diberi suluhan nur mahabbah, tiada berkesan buat si pemilik hati. Barangkali kealpaan manusia pada hakikat pemilik hati-hati manusia melalaikannya. Barangkali jua, ia ujian buat si pemberi cahaya. Untuk apa mendambakan kejayaan usaha murni, kalau berpaksi pada kehormatan diri? Benar, manusia alpa selalunya hanyut dalam kesombongan diri, kerana disangka usaha itu adalah yang mulia, kerana itu tiada mungkin ia akan gagal melainkan bertemu kejayaan semata.


Kata orang, bayu malam lebih aman dari siangnya. Kata orang, sedamai desiran angin bayu meniup lembut, begitulah setenang jiwa yang halus bertutur. Sungguh indah perumpaan orang dahulu kala, namun masih punya falsafah disebaliknya. Setenang sungai yang mengalir, jangan lupa bahaya didalam. Selembut bayu meniup, jangan lupa putaran angin yang kencang merubah alam. Tragedi tsunami, suatu contoh mudah. Disangka ombak besar berubah corak, berubah bertukar menjadi bencana yang ganas memberontak. Begitulah kehidupan manusia sejagat.


Sehari-hari aku melihat warna-warni pudar memancar. Entah bila akan ia bertukar menjadi terang sediakala. Kalau pemantulan cermin sudah berhabuk tak dijaga, mungkin selamanya itulah cahaya kelam lambang manusia semakin hilang pedoman. Semakin ia dibiar tak terjaga, begitulan nilai cahaya pada pandangannya.



"SALAM UKHWAH"

Berhabuk bukan kerna Debu...tapi

Salam ukhuwah buat yang sudi bertandang ke blog yang semakin pudar warnanya dek kerana aktiviti yang mencengkam masa sehingga terlupa ada medan yang sudah disemai benihnya, hanya menununggu tuaian hidup subur tanpa melupakan penjagaannya.

Rinduku untuk menulis kembali terdetik bila melihat, penulisan itu hanyalah medium yang ada untuk ku melakar sedikit titisan ilmu Illahi serta secebis pengalaman nurani yang dikais dalam perjalanan panjang mencari yang Hakiki.

Salahkah kita menggapai impian sehingga terlupa sinar yang menerang dari belakang? Salahkah untuk mencipta harapan sambil maju tanpa menoleh kebelakang? Impian dan harapan sudah pasti menjadi matlamat hidup insan, namun impian dan harapan jua boleh jadi memudarkan semangat juang. Kalau sikap apati masih membelengu diri, masakan ingin melihat dunia bersatu hati.

Blog ini bakal terisi, inshaAllah, istiqamah ku pohon dari Illahi, agar ku sinari cahaya hati buat mereka yang tercari-cari. Blog ini akan ku hiasi, dengan warna-warna kehidupan memori manusia yang teraba-raba dalam kegelapan. Blog ini akan ku lakari dengan bahasa indah memukau jiwa seperti ukhuwah yang dipaksi dalam dada.
Kerana aku, pencinta ukhuwah, kerana aku penerus rantai mahabbah. :-)



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"

Hati ini untuk siapa?





Untuk apa berdoa?


Andai diri terasa berkuasa.



Untuk apa mencari redha?


Andai diri gila dunia.



Untuk apa mendambakan cinta?


Andai diri dibiar ternoda.



Kalau hati gundah tercalit nafsu, iman yang bagaimana ingin di tuju,


Kalau hati sudah hilang perasaan malu, pada siapa ingin mengadu.



Celakalah buat diri yang tiada sedar,


Celakalah buat diri yang sudah hilang arah tuju.



Kemuliaan dicari, kehinaan yang ditemui.


Kasih sayang ditunggu, kebencian yang datang dahulu.



Duhai, inikah namanya sebuah pencarian Illahi?



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"

Cahaya Malam

Saban waktu ku membaca alam, mencari titik indah yang sukar digambar dan dibayangkan, terlintas pancaran cahaya nan indah dalam kegelapan malam. Biar saja ia terpancar takkala malam semakin jauh terbentang, ia hadir membawa ceria dalam duka, membawa sayang dalam benci, membawa episod sejarah silam dibuai pergi. Ia hadir mengubat penawar hati. Tak kira waktu ia setia disisi.



Cahaya itu indah sekali, benar ia terlalu indah. Sukar digambar dalam bahasa prosa yang memberi perlambangan. Sukar jua dicerita dalam bahasa manusia berungkap rahsia. Sungguh, ia bukanlah cahaya biasa. Hadirnya barangkali cuma seketika, namun ku harapkan ia kekal membawa ceria, dikala diri semakin hina tak punya kuasa, dia gagah berada di belakang memberi rasa.



Duhai, indah barangkali sastera bahasa yang beruntai mainan kata. Namun sudah ku katakan, cahaya itu bukan cahaya biasa namun punya keluarbiasaan memberi jawapan pada persoalan jiwa. Aneh, sungguh aneh sekali. Ia bukan cuma himpunan zarah-zarah cahaya yang memberi sinaran indah, malah ia adalah gumpalan atom-atom kimia yang sebati dalam lipatan jiwa memberi penawar pada setiap duka, memberi berita gembira pada mereka yang sentiasa berharap, agar penantian itu bukan lagi suatu kepedihan tapi rahmat berupa ujian buat mereka yang sabar.



Ku mula menyusuri rahsia cahaya dalam kejadian alam yang sungguh indah ciptaan Tuhan. Barangkali ilmu kita hanya sebesar debu-debu halus yang berkumpul membentuk padang pasir yang terbentang indah. Meskipun ia sedikit cuma, namun ku harap terselit rahmat disetiap butiran pasir yang digenggam. Cahaya itu meskipun kejadian para malaikat yang dijadi tuhan, Allah Rabbul Izzati, tapi masih terhijab hakikat rahsia yang sejati. Sesungguhnya, Nur Muhammad itu adalah kejadian yang terawal yang dijadi, memberi sinar pada sekalian makhluk yang hadir dunia yang bakal pergi. Seringkali guru ku mengingatkan, meskipun Adam makhluk zahir yang dijadikan Allah di muka bumi, namun Sayyidina Muhmmad cahaya batin yang dilantik menjadi nabi sebelum dizahirkan lagi. Cahaya itu hanya hadir bagi setiap penagih kasih dari Tuhan Yang Maha Pemberi Kasih, ia hadir dalam diri insan yang mendambakan kejernihan sanubari bersalut redha Illahi.



Setiap kali ku melangkah berlalu pergi, terasa seumpama gunung menghempap dada, senak sekali. Sayu, sebak, sedih, bimbang, - mainan perasaan yang seringkali menguasai diri. Kerisauan yang terasa takkala diri ini kerdil dan hina, bimbang menjadi syaitan berwajah indah manusia atau mungkin haiwan yang bernafsu dalam rupa manusia. Tuhan, kiranya ini jalan yang Kau tetapkan untuk ku, maka permudahkanlah. Kira ini ujian yang Kau hadir untuk mendekat padaku, tabahkanlah.



Rahsia alam sukar dibaca, sukar pula untuk dirasa. Hanya cahaya indah yang menyinari diri yang terpilih saja bisa mengungkap kata;- itulah kata-kata dari guruku yang mulia- Habib Ahmad Syarifuddin Al-Hadi. Seorang keturunan Rasulullah yang semakin hilang pada pandangan umat manusia. Rahsia hanya terhijab seperti manusia yang punya sumber cahaya yang berjalan dalam kegelapan malam gelita, menyuluh jalan mencari tujuan yang kekal selamanya.



“Kebenaran bukan hanya ungkapan, bukan jua cita-cita indah untuk digapai, tapi suatu rahsia yang punya kunci untuk dibuka pada mereka yang ikhlas dalam mencari, agar rahmat Allah sentiasa disisi”


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki



PEPATAH Arab menyebut, “masa itu ibarat pedang, kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita.” Itulah yang menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Kamaludin, 32. Walaupun berada di Bumi Para Anbia’ Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi beliau memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.

Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan pelajar yang ramai, sebaliknya anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian daripada ‘kulit ke kulit’.

Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal dari seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yemen, Dubai dan Sudan.

Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengambilnya sebagai anak angkat. Kesemua mereka memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia. Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki, kepada beliau.

“Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar ini memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.

Muhammad Fuad hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.

“Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi saya ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari.

“Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid,” kata Muhammad Fuad yang amat memuliakan kesemua gurunya.

Walaupun demikian, beliau diminta oleh rakan pelajar mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti. Anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam bahasa Arab pada tahun 1993 selepas setahun berada di Mesir.

Disiplin

Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata itu telah menghasilkan 115 kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli-ahli agama. Ia menjadi rujukan ulama tempatan dan luar negara.

Kitab-kitab tersebut ialah tiga kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 kitab karangan fikah, sembilan kitab karangan tasawuf, enam kitab karangan sirah, 10 kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.

Malah, Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan turut menulis 12 kitab bahasa Arab. Kitab Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari yang berkaitan ilmu hadis diterbitkan di Mesir. Kitab itu mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al-Azhar, Mesir seperti Profesor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir al-Quran al-Azhar.

Ketokohan anak muda ini bukan sahaja diperakui dalam negara. Beliau turut mendapat undangan berceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.

Menceritakan proses penulisan buku, Muhammad Fuad mensyaratkan dirinya menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.

“Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya,” katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.

Beliau, bagaimanapun, mengakui dirinya terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding muslim masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.

“Sebagai contoh, Ibn Shahin menulis 33,000 kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari menulis lebih 600 jilid kitab dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah mensyaratkan dirinya menulis setiap hari sebanyak 40 helai.

“Tanpa elektrik, komputer dan internet, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini. Justeru, tidak mustahil bagi kita yang memiliki segala-gala kemudahan itu untuk turut sama berbuat demikian,” katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selepas pulang ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau ini membuka pondok pengajiannya seluas 0.2 hektar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17. Ketika itu beliau berusia 22 tahun.

Kini, penuntutnya semakin bertambah sehingga beliau memerlukan kawasan yang lebih besar. Maka kawasan kira-kira empat hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.

Usaha tersebut, bagaimanapun, menerima pelbagai tohmahan dan fitnah. Orang memfitnahnya mengatakannya membawa fahaman yang sesat.

“Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan kini masyarakat mulai dapat menerima usaha yang saya jalankan,” katanya.

Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.

“Saya tidak berasa tekanan. Saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya,” ujar beliau.

Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya daripada Pencipta.

“Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal; orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia; dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat,” katanya.

sumber : http://jomfaham.blogspot.com/2008/12/sheikh-muhammad-fuad-kamaluddin.html