Orang tua selalu berkata, ‘alah bisa, tegal biasa’. Namun
disebalik kalimat yang diungkapkan belum tentu menjamin apakah yang bakal
menjadi kebiasaanya selepas ini. Kalau dahulu, bicara saja soal aurat, sudah
pasti menjadi perbincangan hangat dalam media perdana. Kini, cara pemakaian
bukan lagi isunya, apatah lagi pakaian yang mampu menggocang iman seseorang.
Kerana apa? Kerana “alah bisa tegal biasa”.
Kalau dahulu bicara soal murtad menjadi topik hangat yang
berlegar di setiap kawasan. Apatah lagi, yang murtad itu sudah berani
mengisytiharkan dirinya murtad secara terbuka. Meskipun dicemuh dan dipandang
jelek oleh orang Islam kebanyakkan, namun kini, murtad bukan suatu perkara yang
baru. Ibu bapa sendiri sudah tidak kisah agama apakah yang anaknya anuti
selepas berkahwin dengan seorang yang menganut agama lain. Sepi tanpa sebarang
bantahan. Kenapa? Kerana “alah bisa tegal biasa”.
Kini, perempuan merokok pula sudah bermaharaja lela
mengalahkan lelaki dalam soal jual beli rokok. Kalau dulu, pertama kali
memandang perokok wanita, memang agak jelek dan loya sehingga menimbulkan
pelbagai tanggapan. Kini, amalam merokok dalam kalangan wanita sudah tidak
asing lagi. Kerana apa? Alah bisa tegal biasa.
Tak mustahil juga, kalau soal agama yang melibatkan sumpah
laknat, qazaf, li’an yang jarang-jarang didengar akan menjadi suatu kebiasaan.
Sebabnya, alah bisa tegal biasa.
Hah, biarkan mereka dengan cara mereka, kau dengan cara kau. –Hujah sebegini memang selalu dibenci, malah dilabel pada kita sebagai ‘jaga kain orang’. Sudahlah demikian, kalau faham agama itu sudah tidak dapat diserapi sepenuhnya, memang apa guna solat berjemaah bersama-sama. Bukankah itu simbolik pada keutuhan ummah. Yang keruh dijernihkan, yang salah diperbetulkan. Kalau bisa sudah selamat menempuh jalan duniawi, bakal dijamin syurga yang hakiki, tiada masalah. Tapi kalau sendiri yang menjadi masalah, dan memberi masalah pada generasi masakini, saya tertanya-tanya, bagaimana kehidupan generasi masa depan dengan fenomena sebegini.
Hazabe al-Kelantani
No comments:
Post a Comment