Suka Duka

Bila hamparan mengkuang dibentang, duduklah disitu pencari damai yang tenang. Termenung memikirkan suatu kejadian alam yang luas terpampang. Barangkali akal panjangnya cuba mentafsir utaian kata guru-guru agung yang ditemui. Temunya ia bukan di alam realiti bukan jua alam mimpi, tapi hati yang sentiasa terbuka memohon agar ditemukan kebenaran hakiki. Barangkali Tuhan cuba berbicara dalam bahasa alus melalui perantaraan yang paling sukar diketahui, malah sukar juga ditafsir oleh dirinya yang telah lama menanti. Setiap yang berlaku itu ada rahmat disebaliknya, itulah yang ia yakini, meskipun pengajian agamanya tidak seberapa, hanya merantau ke beberapa buah negeri namun keyakinan itulah yang dipegangnya hingga hari ini.


Tanpa disedari, gerimis yang kian lama bergenang menitis membasahi pipi. Apa benar dia menangis? Disentuhnya pipi yang cantik dan gebu. Basah…


Semakin lama, semakin basah pipi yang gebu itu dihujani gerimis yang telah sekian lama tidak turun. Jika sebelum ini, tidak berani ia mengalirkan air mata biar setitis pun, kerana itu janjinya, agar dia menjadi seorang yang tabah. Namun Tuhan itu Maha Luas PengetahuanNya, setiap kekuatan insan, akhirnya tunduk pada kekuasaanNya.


Sekilas ia melihat kepulan awan dilangit, terpancar kalimah Allah yang cantik terbentuk, seumpama hiasan pemujuk jiwa yang mendung, indah terukir dalam kekemasan dari tangan ajaib yang ingin memujuk. Senyum dia sebentar. Apakah ini rahmat Tuhan padanya? Tika tangisan penuh penyesalan mengalir dalam jiwanya, disambut dengan pujukan halus dari hati yang putih mulus, dipandu pula oleh kebijaksanaa akal yang penuh dengan cahaya ilmu. Seketika, kembali ia meraung, menginsak-insak, menyesali apa yang terjadi sambil merintih, “Tuhan, disaat aku melakukan kemaksiatan, Kau biarkan aku lena dalam hanyutan pujukan syaitan, namun dengan rahmatMu, aku kembali padaMU. Bagaimana bisa aku menadah tangan memohon padaMu, sedangkan siapalah aku untuk Kau tunaikan permintaanku.”


Semakin lama, semakin ia hanyut dalam serakan doa seiring air mata taubat nasuha. Tiada siapa yang mendengari, melainkan empunya diri yang merasai. Bening, malam itu dia kembali menjadi dirinya, sebagai seorang pencinta Illahi, pencinta kebenaran, pencinta kasih sayang…benar, ia menjadi seorang Pencinta. Cinta yang sekian lama dilupakan, digapainya dengan penuh adab sopan, tidak mahu ia terlepas lagi. Keazamannya menggunung tinggi, agar dihatinya penuh dengan cahaya Illahi. Tiada saat ia berlengah lagi. Ditanam suatu hala tuju yang jitu dipacu dengan doa dan restu, mahu ia segera mencari Ilmu, semoga cahaya Illahi bersinar di kalbu..


Dalam kekabutan malam, ditambah bunyi alam yang menjadi alunan nada merdu penghisas kegelapan malam, ia kembali merenung, bertafakkur. Bertasbih mengucap syukur..biar malam dinihari ia hanyut dalam dakapan doa dan air mata, setulus hati yang luhur mencari ketenangan abadi jua kebahagiaan yang sekian lama dinanti.


P/s : Menyusuri liku-liku kehidupan manusia pelbagai, membawa si “dia” mencari erti kebahagiaan dalam duka yang dirasa oleh individu yang berbeza. Keasyikkan manusia dalam zon selesa akan menyempitkan dirinya dalam pencarian penuh makna dan rahsia. Seandai dihitung masa hidupnya didunia, setimpal mana kefahaman yang ada dibanding dengan keilmuan yang terjumpa. Selagi manusia punya derita, selagi itu rahmat Allah pada manusia sentiasa dipinta, kerana pada Dia sahaja kita dicipta. J


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Titik Yang Kian Bersambung…..

Usai sudah imtihan yang memeningkan kepala apalagi dengan semester yang padat dengan kerja-kerja yang menjadi beban tanpa dipaksakan hadir, apatah lagi beban itu direka sendiri buat diri yang asyik merenung mencari sesuatu yang lain.Sungguh, kesibukan yang menyesakkan jiwa, menangguhkan segala kerja yang sudah dirancang seawal mungkin. Namun utaian kata pemujuk hati sering kali berlegar di kepala menyatakan, andai seteliti mana pun perancangan manusia, masih tidak mampu mengatasi perancangan yang Maha Agung.


Ingin sekali ku nukilkan sesuatu buat manfaat pada diri sendiri yang juga dikongsi pada mereka yang sudi. Blog yang tandus ini perlu disuburkan kembali, dibajai dengan benih-benih ilmu yang dicari, biar ianya jadi pelaburan panjang jua suatu penelitian akan hakikat ilmu itu sendiri. Seringkali diri merenung awangan indah memancar ketenangan, dengan harapan agar kebenaran itu dapat dicungkil dan ditegakkan kembali, biar Islam itu teguh berdiri kelak ummat kembali bersatu.


Keletihan berada ditengah-tengah medan akademik yang menuntut ketekunan jua medan intelektual yang mementingkan kesabaran memaksa diri mencari nafas baru, buat azimat untuk kembali menjadi diri sendiri. Biar apa dikata mereka, segila mana pun pemikiran ini, masih tegar ia pada suatu pegangan yakni mencintai kebenaran. Benar, kebenaran itu hadir dengan izinNya, dan hanya DIa yang menentukannya. Namun berapa ramai antara pencari kebenaran, disaat ditemukan mereka kebenaran yang mutlak, mereka kembali terpesong, meniddakkan hak yang sewajarnya. Sungguh manusia bukan pembuat keputusan benar atau salah, tapi hukum alam tidak pernah menipu, andai titisan air yang turun dari langit itu hujan yang memberi rahmat, kenapa dibenci ia sehingga jelek mendengar namanya. Disaat kebenaran hadir dalam diri, biar apa pun pendirian yang diyakini, hakikatnya, kepalsuan itu tetap palsu dan tidak ada yang boleh menyangkal kebenaran lagi.


Tulisan ini hanya sekadar pembuka bicara, antara peperangan kebenaran dan kepalsuan. Disaat manusia daif seperti diri ini merangkak mencari batu persinggahan buat penghilang keletihan dalam perjalanan panjang, tiba-tiba batu yang dipegang licin menggelongsor, terlepas dari pegangan, akibatnya, perjalanan diteruskan tanpa perhentian yang pasti. Sudah masanya, kepalsuan dilupuskan, dan kebenaran ditegakkan. Hanya masa dan usaha penentu kejayaan.


Perjuangan menuntut pengorbanan, namun sokongan dari mereka yang disayang jua masih diharapkan. Tulisan kali ini hanyalah gambaran azam yang ditanam dalam diri untuk dimuntahkan dalam cuti panjang yang dilalui. Kekuatan itu hadir bila merenung si bulan di sana yang memancar terang. Falsafah bulan itu begitu bermakna, kerana di situlah ku sumberkan ilham dan motivasi buat bekal dalam perjalanan nanti.


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"