Universiti Semakin Ketandusan Idea


Universiti kita ketandusan idea

PENGUMUMAN THE World University Ranking 2010-2011 dengan data yang dibekalkan oleh Thomson Reuters baru-baru menunjukkan kedudukan universiti-universiti tempatan tidak memberangsangkan. Sepuluh universiti terbaik di dunia sekali lagi didominasi oleh Amerika Syarikat dan Britain.

Tamadun Eropah, khususnya suku Anglo-Saxon mendahului kecemerlangan universiti dengan Harvard University di tempat yang teratas, diikuti California Institute of Technology di tempat kedua, Massachussetts Institute of Technology (3), Stanford University (4), Princeton University (5), University of Cambridge dan University of Oxford (masing-masing 6) University of California, Berkeley (8), Imperial College, London (9) dan Yale University (10). Tidak ada universiti Malaysia berjaya menduduki tempat 200 pertama.

Korpus ilmu yang yang tersimpan dan dijana oleh pusat metropolitan Barat tiada tandingannya. Apakah kita masih berhasrat bersaing dalam penarafan Universiti Times Higher Education (THE) ini? Ada kalangan mengatakan bahawa kaedah yang digunakan itu tidak mengambil kira keadaan negara dan misi universiti di dunia bukan Barat.
Ada juga pemimpin universiti tempatan menyatakan mereka akan memperbaiki proses dan perjalanan universiti. Siapa tidak bangga melihat universitinya menduduki tempat teratas? Dan kenapa sedih jika itu tidak berlaku?

Di sini, saya ingin menimbulkan sebahagian yang wujud di kalangan universiti-universiti global tersebut, dan apa yang menjadikan mereka 'global.' Salah satunya ialah institusi-institusi pengajian tinggi seperti Harvard University, Yale University, University of Oxford, University of Cambridge dan Massachussetts Institute of Technology telah mengekalkan dan memperkasakan kecemerlangan bidang-bidang sains sosial, dan ilmu kemanusiaan, termasuk falsafah.
Sedangkan universiti-universiti di Malaysia mengenepikan dan mengabaikan pengajian tersebut. Malah di antara kira-kira 60 buah universiti di Malaysia, kurang dari lima mempunyai Jabatan/Bahagian Sejarah; dan tiada ada Jabatan Falsafah. Jika begitu keadaannya, bagaimana dapat kita mengajar pelajar kita berfikir dan bersoal; bagaimana dapat ahli akademik kita melahirkan keaslian pemikiran dan idea?

Universiti-universiti di Malaysia ketandusan idea dan saluran penebaran idea tersebut, walaupun ada yang mempunyai penerbitan universiti masing-masing.

Kita ambil satu contoh iaitu penerbitan ilmu oleh Massachusettes Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat. MIT mempunyai School of Humanities, Arts and Social Sciences dengan mengendalikan 22 disiplin, projek, dan bidang pengajian penyelidikan. Antara bidang-bidang yang ditawarkan ialah Sejarah, Falsafah, Ekonomi, Penulisan dan Kajian Humanistik, Media Perbandingan dan Pengajian Antarabangsa.

MIT mempunyai penerbitannya sendiri yang diasaskan pada 1926 apabila ia memulakan penerbitan siri syarahan dari seorang pemenang Hadiah Nobel. Bahagian penerbitan jurnal akademik ditambah pada 1968. Setakat ini, ia telah menerbitkan lebih 10,000 tajuk buku, dengan lebih 200 tajuk buku dan 40 tajuk jurnal setiap tahun.

Walaupun jumlah tersebut nampaknya tidak menakjubkan, nilai korpus ilmu yang diterbitkan itu telah mempengaruhi pemikiran tamadun moden. Lihat saja katalog MIT Press serta kritikan dan ulasan buku-buku tersebut di seluruh dunia.

MIT Press khususnya menerbitkan buku dalam bidang-bidang Seni dan Senibina, Sains Kognitif, Ekonomi, Media Baru dan Sains, Teknologi dan Masyarakat. Tajuk-tajuk jurnal yang diterbitkannya berbunyi seperti Asian Economic Papers, Daedalus, Innovations, Journal of Cold War Studies, Journal of Interdisciplinary History, Leonardo, Leonardo Music Journal, Linguistic Inquiry, dan Perspectives on Science.

Walaupun 10 universiti terunggul itu mempunyai sejarah dan asal-usul yang berbeza, namun tunjang mereka ialah penerbitan dan kegunaan ilmu, pemikiran dan kemahiran bagi penerokaan alam-alam yang wujud, menangani dan menyelesaikan masalah-masalah kemanusiaan dan peningkatan taraf hidup.

Saya bukan mengandaikan bahawa kita tidak mempunyai falsafah sedemikian, tetapi kesedaran, iltizam dan keupayaan kita menyedari falsafah sedemikian tidak terlihat dalam wacana-wacana yang sepatutnya terbit dari universiti-universiti tempatan.

Saya khuatir, sindrom pemikiran tertawan telah menguasai masyarakat universiti kita. Pemikiran tertawan berlawanan dengan kreativiti, inovasi dan menungan. Ia disifatkan sebagai satu cara berfikir yang imitatif dan tidak kritikal.

Sebenarnya, pemikiran tertawan mengandaikan bahawa senarai universiti yang terbaik di dunia mencerminkan pengukuran dan kebenaran apa yang dilakukan oleh institusi pengajian tinggi. Jawapannya sekali gus 'ya' dan 'tidak.'

Bukan mudah mendapat akses kepada pengendalian sesebuah universiti itu. Sudah tentu kita telah mencerap seni bina dan persekitaran fizikal institusi pengajian tinggi di Barat. Mereka dari kalangan pemimpin universiti, profesor dan pembuat dasar juga telah melawat lalu berinteraksi dengan pemimpin 10 universiti terunggul itu. Ramai juga yang belajar di sana. Apa yang kita telah ketahui dan apa yang tidak kita ketahui?

Mungkin kita hanya mengukur kualiti seseorang ahli akademik itu berdasarkan kuantiti penyelidikan dan penerbitan, serta jumlah paten. Universiti kini menggunakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dalam mengukur kemajuannya menjurus kepada hasrat disenaraikan pada kedudukan yang paling tinggi, 10 atau 100 pertama.

KPI adalah satu pendekatan pengukuran penerbitan intelektual yang mengekang dan membantutkan perkembangan bidang-bidang Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan itu sendiri. Ia membunuh pemikiran dan kreativiti.

Sarjana dan budiman di universiti dihimpit oleh universiti yang berfungsi sebagai kilang, dengan persekitaran dan iklim di kampus tidak ubah seperti persekitaran di kilang. Universiti bukan kilang dan ahli akademik bukan operator kilang yang terpaksa memenuhi sasaran setiap hari.

Ahli akademik tidak bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Ahli akademik bekerja 24 jam sehari. Penyelidikan dan penulisan tidak bermula atau berakhir pada sesuatu waktu yang ditetapkan. Imajinasi sosiologis dan kreativiti merentasi jam waktu.

Nilai-nilai dan amalan kini tidak memupuk hasrat menjadikan universiti-universiti kita terunggul di dunia. Istilah 'prestasi' tidak wujud dalam persekitaran universiti. Profesion akademik tidak memerlukan konsep 'prestasi.' Nilai kesarjanaan diukur dengan nombor dan kuantiti. Apakah keupayaan dan hikmah dalam menilai kesarjanaan itu telah luntur di kalangan profesor dan ahli akademik universiti tempatan sehinggakan boleh diibaratkan bahawa telah tidak ada lagi jauhari yang mengenal manikam? Apakah kesarjanaan telah terhakis dari sistem universiti kita?

Saya perhatikan dalam keghairahan kita menerbit jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data Thomson Reuters (dulunya ISI) dan Scopus, kita mengabaikan keaslian ilmu itu sendiri dan media penerbitan ilmu. Jika seseorang pensyarah atau sekumpulan akademik ingin memulakan sebuah jurnal dan mengharapkan artikel yang misalnya mencetus idea-idea dan wacana alternatif, hasrat itu tidak mungkin kesampaian.

Persoalan yang akan ditimbulkan ialah apakah guna menyokong dan menerbit artikel ke jurnal tersebut kerana ia tidak disenaraikan dalam pangkalan-pangkalan data yang diterima. Sikap para pensyarah kini ialah menerbitkan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data bagi memenuhi KPI bertujuan kenaikan gaji dan pangkat. Keikhlasan dicemari oleh sasaran yang ditetapkan.

Apakah akan terjadi kepada pertumbuhan kesarjanaan di Malaysia jika iltizam dan keikhlasan menerbitkan ilmu itu tidak diiktiraf? Dan tumpuan kepada jurnal-jurnal tersebut telah membentuk para pensyarah sebagai pekerja yang tidak berfikir dan tidak berupaya berfikir merentasi wacana.

Tidak ada istilah mengasaskan idea besar dan pemikiran agung. Keaslian ilmu dibantut. Tanpa berfikiran kritis, kita tidak dapat mencetuskan pemikiran dan idea asli. Ramai di antara pensyarah universiti hanya menggunakan teori, konsep dan andaian yang ada seolah-olah ia seperti dogma seolah ia bebas dari konteks sejarah, tamadun, budaya dan politik. Keadaan ini merentasi semua bidang pengajian daripada Sains, Teknologi dan Kejuruteraan sehinggalah kepada Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan.

Apakah ini boleh disebut sebagai kelompongan pemikiran? Kita tidak juga berusaha membincang dan mengkritik idea-idea asal dan gagasan-gagasan besar. Jika kita masih berhasrat menjadi universiti global, kita perlu belajar satu lagi dari 10 universiti yang tersenarai itu. Semua universiti tersebut mempunyai Jabatan Falsafah yang mantap. Itulah pemikiran yang melonjak tamadun Barat ke tahap yang ada sekarang ini.

A. Murad Merican
Profesor Ilmu Kemanusiaan
Universiti Teknologi Petronas


Petikan ini diambil daripada salah seorang teman pemikir dan intelektual muda serta graduan pendidikan bahasa Melayu, Saudara Zariff Hassan : -Disini

Ulasan saya :-

Amat memalukan seandainya seorang mahasiswa tepu dan jumud pemikiran terhadap isu-isu asasi yang melibatkan kehidupan, sosial, politik, ekonomi yang mana, perkara ini perlu diperhati secara kritis dan hormat dengan rasa keperihatinan kepada pembangunan negara.


Apa yang disuburkan dengan 'semangat patriotik' dan rasa 'kecintaan' pada agama perlu diperjelaskan dengan rangka pemikiran yang jelas dan meliputi semua aspek kehidupan. Mahasiswa bukan 'mechanical product' yang dihasilkan sekadar memenuhi pasaran kerja yang diukur sebagai tahap kecemerlangan universiti (bermaksud, semakin ramai graduan universiti mendapat kerja, maka semakin baik tahap universiti tersebut).


Apa yang boleh kita renungkan bersama, pendidikan dan kefahaman seolah-olah menjadi dualisme, ya'ni terdapat jurang yang besar diantara keduanya. Soal kefahaman dan daya upaya kreativiti mahasiswa hanya diukur pada status MARKAH. Tidakkah ini juga menunjukkkan suatu pengamatan dan penilaian yang terlalu bersikap empiricism? Yang bermaksud, segala-galanya diukur dengan angka??


Apakah kita mahu universiti kita hanya 'gah' pada angka, sedangkan mahasiswa menderita dengan 'kejahilan' yang disangka mereka itu adalah 'ilmu pengetahuan' sebaliknya mereka tidak ubah seperti komputer yang hanya mempunyai 'maklumat' tapi tidak bermanfaat untuk dirinya.


Kalau diselusuri dalam pengamatan yang lebih radikal, pensyarah sendiri boleh kita kategorikan sebagai 'pemudah cara' atau 'trainer' dan bukanya sebagai seorang 'guru'. Hal ini menjadi lebih parah, kalau si pengajarnya itu juga hanya memikirkan periuk nasi sendiri dan mengajar sambil lewa kepada mahasiswa. Justeru, inilah virus yang semakin parah mencengkam intelektual mahasiswa yang semakin hari semakin hanyut dalam dunia 'kecelaruan faham' yang menyebabkan suatu refleksi kepada aspek pembangunan sosial generasi muda di negara kita.

Hazabe al-Kelantani

No comments: