Pengamatan ringkas pada Liberalism


Ketika mula tangan menerjah ke papan kekunci, idea-idea baru datang tanpa henti. Sehinggakan sukar untuk menapis apa yang perlu diisi dalam blog yang semakin lama tidak berpenghuni.
Namun, bisikan kecil menjerit, “Tulislah atas nama Kebenaran” – ketika saat manusia sibuk melayan hawa nafsu yang melampau, ketika apa yang disangka benar itu batil, ketika keghairahan yang tinggi melayan slogan palsu, aku tetap berpegang pada suatu kata nasihat,-

“Biarkan Manusia Membencimu kerana Kebenaran yang Disampaikan, daripada Manusia menyanjungimu kerana Kebatilan yang Dipertahankan”- Hazabe al-Kelantani.


Usai aku membaca dan menelaah “Atas Nama Kebenaran” tulisan Dr Khalif Muaamar, salah seorang murid Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, aku terpanggil berkongsi untuk melakar ceritera pandangan alam (weltanschauung) Barat yang kini semakin parah dalam kekeliruan tentang ma’na hakikat sebuah kehidupan.


Sejarah awal Liberalisme
Ingin ditegaskan, dalam perbincangan ini maksud ‘peradaban Barat’ meliputi seluruh aspek anutan faham yang menjadi pegangan Barat ketika ini. Justeru, agak mustahil untuk menghadkan maksud peradaban kepada sesebuah Negara besar ataupun sesebuah kuasa Vektor, sedangkan hampir semua Negara-negara Barat sedang dilanda krisis keyakinan pada hakikat kehidupan.
Liberalisme bermula dengan gerakan reformasi (Reformation Period) yang bangkit menentang sistem pemerintahan yang bersifat diktatorism yang memerintah atas nama tuhan (the divine right of king). Keangkuhan gereja dan institusi agama dalam mengawal semua kebebasan termasuklah beberapa tekanan pada sebahagian besar ahli-ahli sains Barat menyebabkan institusi gereja dipersoalkan ketelusan dan sifat rationalnya. ( Ketika zaman gelap, nilai2 irrationalisme itu amat dipertahankan, sehinggakan menafikan peranan aqal dalam masalah-masalah kerohanian yang bersifat keyakinan)
Terus, lahirlah beberapa orang tokoh falsafah yang mengetengahkan idea ini (aql adalah peranan utama) kerana peranan gereja atau institusi beragama itu semakin diragui sama-sekali. Diantara tokoh-tokoh falsafah yang mula-mula melopori liberalism ini adalah :-
  1. 1.       John Locke (M.1704)
  2. 2.       Adam Smith (M.1790)
  3. 3.      Thomas Paine (M. 1809)
  4. 4.       Benjamin Constant (M.1830)
  5. 5.       James Medison (M.1836)
  6. 6.       Jeremy Bentham (M. 1832)
  7. 7.       John Stuart Mill (M. 1873)

Salah satu slogan yang paling popular adalah yang diketengahkan oleh Rene Descartes (M. 1650) yang berbunyi, “Cogito, ergo sum” – bermaksud “AKU BERFIKIR, MAKA AKU WUJUD”. Slogan ini jelas menaikkan dan meninggikan martabat akal sebagai suatu hakikat yang pasti (aqal rational).
Secara umum, terdapat 2 bentul liberalism yang diketengahkan oleh Dr. Khaliff iaitu :-
1.       Liberalism klasik (yang mana, pada tahap ini, fahaman liberalism masih lagi berpegang pada hukum Alam) – yang bermaksud Tuhan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada manusia untuk mentafsir dan menemukan hukum tarikan dengan pancaindera (empirisisme), yang jelas terbatas pada aspek-aspek politik, moral dan ekonomi.
2.       Liberalism moden (yang lebih tertumpu pada aspek sosial)- yang mana kebebasan itu bermaksud “Hak seorang individu yang baik dari sebarang campur tangan dari pihak luar” ; nilai-nilai kehidupan adalah kehidupan peribadi yang akhirnya melahirkan individualism anarchism.

Justeru, daripada 2 konsepsi liberalism ini, lahir ‘anak-anak pokok’ yang menjadi ‘pemandu’ kepada fahaman liberalism ini.
Kalau dilihat dari sudut ekonomi, liberalism yang dipelopori oleh Adam Smith ini memberi fokus pada free enterprise, loissez-faire, kapitalisme yang mana tiada ada campur tangan pemerintah dalam kegiatan ekonomi. Pemerintah hanya sebagai alat, memberikan ruang untuk masyarakat  berniaga.
Dari sudut sosial pula, liberalism memberikan kebebasan yang positif yang menekankan tanggunggjawab pemerintah terhadap kebebasan individu seperti pendidikan, kesihatan, peluang ekonomi. Kalau dilihat secara langsung, kebebasan yang keterlaluan kepada aspek individualism memberikan impak yang negative, yang mana seseorang itu bebas melakukan apa sahaja tanpa campur tangan orang lain yang akhirnya melahirkan suatu konsep yang disebut ‘Open Society’.

Liberalism sebagai Pandangan Hidup Barat
Di Barat, liberalism merupakan semangat perubahan dan pembangunan untuk merealisasikan kemajuan dalam segenap bidang kehidupan. Apa yang pasti, setiap pembangunan yang berlaku di Barat adalah bebas nilai, yang mana, tiada langsung intipati nilai-nilai sahsiah yang boleh dibanggakan.
Hal ini jelas bertentangan dengan apa yang berlaku dalam tradisi Islam. Pembangunan dalam Islam lebih kepada menghidupkan kembali yang lama (tradisi) sesuai dengan perkembangan semasa. Pembangunan dalam Islam tidak meletakkan agama itu terpisah dalam segenap segi, tapi agama itu sebagai pemandu kepada matlamat akhir sesuatu perubahan yang dibuat.
Keadaan yang ‘trauma’ dalam tradisi peradaban Barat menyebabkan mereka dilanda mimpi ngeri yang takut untuk melihat kebangkitan ‘rasa beragama’ dikalangan hidup masyarakat sana. Sebab itu, ada kebimbangan yang besar dalam menanggapi masalah-masalah yang bersifat ketuhanan, keyakinan, keadilan dan kebebasan di dunia Barat.
Walaupun sejarah menunjukkan, perjuangan di Barat ini muncul dengan suatu rasa iaitu ‘memperjuangkan hak asasi manusia’, namun ia jelas tidak terhenti pada suatu tempoh tertentu, malah ia sentiasa berkembang menjadi suatu bentuk ideology dan diambil secara rambang sebagai suatu pandangan hidup. Pandangan liberalism ini menjadikan individualism sebagai asasnya, yang mana melahirkan suatu lagi teori moral “liberal ethics” yang dikenali juga sebagai utilitarianism. Dalam tulisan ini, Dr Khaliff juga mengambil kata-kata John Stuart Mill dalam membahaskan konsep kebebasan (liberty) sebagai refleksi yang menunjukkan pembangunan itu sinonim dengan individuality.
Falsafah yang digagaskan Mill ini berpandangan bahawa “perkara yang baik adalah setiap perkara itu dapat merealisasikan pembangunan individu”. Ini bermaksud, dengan memberikan pembebasan pada individu sahajalah maka kesempurnaan dan pembangunan manusia dapat tercapai.

Namun, daripada tesis tersebut, perlu dipertanyakan, apakah setiap perkara yang diingini oleh seseorang individu itu semestinya membawa kebaikan padanya? 

Barangkali persoalan itu bakal membuka suatu lagi ruang perbahasan yang memberi takrifan pada istilah ‘baik’ tersebut.

Dalam membicarakan hal liberalism ini, perlu diingat, nilai kebebasan itu tidak semestinya bersifat individualistik, dan ianya juga bukan bersifat boundless (tiada sempadan). Kebebasan yang diberikan tanpa sempadan, membawa kepada kehancuran. Sebagai contoh di Barat, nilai moral hanya dipandang sebagai suatu hak individu membuka ruang kepada satu lagi masalah sosial dikalangan masyarakat disana. Masalah pornography misalnya adalah suatu yang sah, dan ianya adalah hak individu masing-masing. Tidak kurang juga dilihat dari sudut perkahwinan sejenis, dan sebagainya.


Kecelaruan pada peggunaan ‘aql tanpa batasan ini memberikan ruang pada kita untuk terjerumus kepada suatu penaksiran yang salah, malah ada sebahagian besar umat Muslim pada hari ini memandang Liberalism itu dibolehkan, sama ada ‘diambil secara langsung’ daripada aliran pemikiran liberal ataupun ‘diambil tanpa sedar’ dalam menanggapi isu permasalahan hak asasi dikalangan masyarakat. Justeru, pemahaman kepada akar sejarah liberalism ini sedikit sebanyak membuka mata, bahawa dalam agenda proses liberalisasi kehidupan manusia, terdapat kategori dan bentuk liberal yang perlu dilihat secara cermat. 

Malah yang lebih membahayakan apabila istilah ‘liberalism’ , ‘pembebasan’, ‘hak individu’, dan istilah-istilah yang kelihatan ‘murni’ sebenarnya membawa pengertian yang mengelirukan dan juga mampu memberi kesan pada pandangan hidup umat Islam pada hari ini. Adakalanya, disebalik pemahaman agama yang cetek, kita tanpa sedar menganggumi dan mengambil idea ini sebagai suatu usaha yang ‘baik’ pada pengamatan zahir kita. Menjadi tangunggjawab besar pada mereka yang khususnya digelar para ‘du’at untuk memberikan lebih masa mengkaji permasalahan ini secara mendalam sebagai ruang untuk memahamkan masyarakat bahawa agenda serangan ‘pemikiran’ tidak boleh dilihat dari sudut yang ‘subjektif’ malah ianya perlu dikaji secara objektif dengan ruang perbincangan yang kritis dalam kalangan generasi belia.



Coretan ini adalah adaptasi sedikit sebanyak daripada Topik 1 : Atas Nama Kebenaran: Kebenaran Versus Keraguan dan Kekeliruan tulisan Dr Khaliff Muammar terbitan Akademi Kajian Ketamadunan (AKK).



Hazabe al-Kelantani

No comments: