Dari Madrasah Ramadhan ke Mahligai Syawal: Satu Pertarbiyyahan





“Mengharap senang dalam berjuang bagai menanti rembulan di tengah siang”


Tanpa sedar, sambutan kemenangan disambut dengan penuh syukur. Iringan takbir bergema tanda memuji Allah yang Maha Esa. Sebulan melalui madrasah tarbiyyah belum cukup manusia itu mengenal dirinya yang lemah. Lemahnya manusia bukan pada pandangan zahiriah tapi batiniah yang menuntut pengorbanan yang tiada dapat dirasa melainkan dirinya yang penuh khusyuk dalam mencari kesempurnaan diri. Detik manusia melalui zaman gelap, hanya sekadar ujian penentu iman yang tetap. Namun siapa yang mampu punya sedemikian tegapnya iman?? Hadis Rasulullah yang agak panjang bicaranya, “andai iman itu tetap bagi diri manusia, nescaya malaikat akan sedia berjabat tangan dengan kita.” – Hadis yang menerangkan betapa iman manusia itu juga seperti ombak, tiada diduga naik dan turunnya, hanya rahmat Allah penentu segalanya.


Barangkali, ketika manusia gembira melalui sambutan syawal, ada yang berduka menyesali Ramadhan yang tersia. Bagaimana pula amalan dan doa yang dipinta? Mereka sedang asyik mencari rahmat, pengampunan dan pembebasan azab neraka dari Dia yang punya segalanya. Takkala manusia lain asyik sibuk meraikan syawal tiba, mereka hanyut dalam dakapan doa dan titisan air mata, bermunajat mencari petunjuk bagi cinta Yang Esa. Semakin Ramadhan berlalu, semakin hati gelisah tak menentu mencari malam yang rahmatnya beribu. Umpama air jernih yang turun dari bukit, indah mengalir membawa kesucian abadi, namun betapa bersih air mengalir bergantung pada laluan lancar tanpa debu, akhirnya tiba di muara yang tiada penjuru..




Ramadhan ya Ramadhan, suatu jalan penentu, hakikat ketaqwaan hamba yang satu.


Berjayakah kita??? Sedang manusia sibuk meraikan hari berbahagia, bicara bahagia bagaimana yang kita rasa?? Barangkali bukan kemenangan yang diraikan tapi kelegaan dari tekanan kelaparan yang berminggu ditahan hanya mungkin kerana paksaan. Mungkin jua sekadar ikutan.


Disebalik kelaparan dan ujian yang mendatang, punya maksud yang sukar difahami secara terus. Perlu kepada satu kajian yang bersepadu, yang menuntut renungan yang jauh mencari jalan penentu. Hadirnya rasa lapar bukan pra-syarat ujian yang dilalui, tapi ianya sebagai pemujuk hati dan nafsu agar tunduk pada akal yang sihat bermutu. Suatu bicara hadis yang agak panjang juga matannya yang disyarahkan oleh guruku yang disayangi, Syeikh Muhamad Fuad Kamaludin Al-Maliki, “nafsu itu tunduk pada saat dihadirkan baginya ujian kelaparan. Bila mana ianya diuji dengan kepanasan, tiada berkehendak ia mengaku akan Tuhan yang Satu, diujinya jua dengan kesejukan, masih degil ia tak mengaku. Namun akhirnya ia kalah bila ujian kelaparan yang ditentu.”

Itulah suatu falsafah bagaimana puasa itu mampu membentuk jiwa dan kalbu yang degil tak menentu.


Lapar dan dahaga, ujian para Nabi dan Wali. Suatu masa ia diuji, lapangnya dada, terbukalah hijab. Para ahli sufi gemar berbicara akan hakikat tawawuf. Bicara Imam Al-Junaid, “tassawuf itu bukan diajar dari mulut ke mulut tapi dalam keadaan lapar dan dahaga, dari keadaan yang kerdil tak bermaya,”.Itulah jua fasafah Ramadhan, punya maksud agar manusia beramal penuh penghayatan. Punya fikiran dan perasaan , agar hadir dalam diri makna tassawuf yang mendalam buat kekuatan diri dimasa depan.


(bicara tassawuf sememangnya panjang, akan dikongsikan seberapa tulisan bila masa terluang )


Setiap tuntutan Tuhan bukan sebarangan, namun punya maksud dan falsafah yang perlu dicungkil dan difaham. Kerana itu Ramadhan bukan sekadar latihan kelaparan jua bukan ujian kesusahan semata, tapi pendidikan yang diberi pada umat manusia agar diri patuh pada Tuhan. Duhai, benarlah kata, “biar selautan syukur kita pada tuhan, hanya setitis nikmat yang diberi”..sedalam manusia menyelam ke dasar hidupan, semakin kuat tekanan dan ujian. Samakah kita?- (tulisan dalam post “Kehidupan yang bagaimana yang dipanggil Kehidupan”)


Syawal menjelma, Ramadhan melambai berlalu pergi, suatu yang tidak dapat kita tentu, masihkah kita punya peluang untuk dipilih sebagai tetamu Ramdhan yang akan datang? Doa dan pengharapan dapat kita panjatkan, hanya rahmat Tuhan buat kita nantikan.



Ramadhan,


Suatu madrasah ciptaan yang agung,

Suatu ruang yang kita dapat bernaung,

Di bawah panji-panji Islam,

Kita bina kekuatan untuk kebangkitan ummat di masa depan.


Perginya dalam keterpaksaan,

Bukan upaya kita menghalang,

Namun doa dan restu tetap di panjatkan,

Agar Tarbiyyah Ramadhan kekal dalam perjalanan panjang….


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Kuduskan diri sebelum Mencari Illahi


Semenjak akhir-akhir ini gerimis turun tanpa dipaksai. Tanpa sedar diri kerdil terasa di hati. Sedar atau tidak namun itulah sebenarnya lumrah manusia yang terjadi. Bila saat diri tidak gagah berdiri, air mata turun membasahi pipi. Indahnya suatu saat itu, bila mata-mata manusia berair menyesali apa yang berlaku, doa dipohon buat pengampunan hamba yang luhur. Tiada yang lebih bermakna melainkan air mata yang tumpah demi mengharapkan redha tuhan yang Esa.


Sesekali cemburu menyapa diri, melihat mereka sujud menyembah bumi, deras air yang turun seiring doa yang dipohon, sesekali diri terpanggil untuk memberi tolong, namun segagah apakah diri yang kerdil ini, bimbang jadi seperti tin yang kosong, semakin diketuk semakin berbuat bising.





Keras…sekeras manakah keras?? Syahdu..sesyahdu manakah syahdu?. Hati yang keras tidak bermakna tiada punya masa untuk menjadi syahdu, diri yang syahdu bukan alasan untuk terus layu. Hakikat alam, terjadinya sesuatu bukan tanpa alasan tapi punya pengertian buat yang mereka bernama insan.


Sekudus manakah pandangan alam? Bisakah dijumpainya tuhan andai diri hilang tanpa pengetahuan?

“kenal diri sendiri sebelum kenal tuhan”. Ungkapan keramat seiring perjalanan menuju tuhan. Ramai yang menangis sambil menyalahi diri, kerana kesabaran yang tidak dapat terus bertahan bila diuji. Namun sedarlah mereka yang sering menangis, ujian itu hadir sebagai arahan untuk tangisan kelemahan insan. Manusia….bila dihinanya diri dihadapan tuhan, kemuliaannya diangkat buat martabat diri. Kerana hakikat insan itu terus disimpan, hutang yang ada tiada yang dapat menyimpan. Bukankah hakikat kejadian manusia itu ialah orang yang berhutang. Hutang kita bukan sebarangan tapi hutang kita dengan tuhan. Menangislah selagi kau mampu menangis.


Buat yang malu untuk menangis,


Sekeras mana lagi yang kau anggap keras. Kalau keras itu lambang kekuatan, mengapa lelaki yang kuat dinilai dari sudut kesabaran? Kuatnya kita hanya dihadapan makhluk, tapi lemahnya kita bila berhadapan kekuasaan Tuhan. Selagi punya nyawa dibadan, nikmat kekuatan hanya pinjaman. Angan apa yang menyapa dirimu, kalau air jernih yang turun disangka lambang kelemahan maka dimana pula nilai kemuliaan? Mulia bukan pada gambaran sempurna rupa, tapi jiwa yang mengharap pada kesudahan yang penuh kebaikan.




Sempurnanya Islam kerana Iman, Iman sempurna kerana taqwa, Taqwa tidak hadir tanpa amalan, Amalan yang ikhlas pembuka pintu cahaya jiwa.



Buat yang sentiasa mencari tuhan,

Pencarian panjang mencari tuhan, penuh godaan dan dugaan alam,

Sesukar mana pun dirimu ditekan, rahmat Tuhan pasti datang.

Kalau susah itu tanda kesukaran, kesenangan bagaimana pula yang kau jangkakan?

Manusia…semakin diuji semakin matang, tanpa sedar kita menghampiri tuhan…=)


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Itu..

Rindunya aku pada suatu saat itu,
bila manusia bertemu hanya kerana tujuannya satu,
sibuk mencari tanpa pernah jemu,
hingga yang lain dilupai lalu.

Ketika hadirnya mereka meraih ilmu,
kenikmatan terasa sebagai pengalaman yang baru,
kerdilnya diri bila sudah bertemu
suatu cahaya menyinari kalbu.

Manusia yang bagaimana lagi yang aku mahu,
jika bukan pada yang tunduk pada yang satu,
namun layakkah aku bergelar begitu,
sedang diri kerdil tiada yang tahu.

Saat manusia meratapi kehilangan kasih yang palsu,
aku menyendiri mengenang dosa lalu,
mencari sendiri kekuatan padu,
supaya menemui kekuatan ilmu.

Dilautan luas aku lemas mencari tuju,
ku sangka ku karam tanpa diberitahu,
hidayah Allah datang tiba-tiba meluru,
menyelamatkan aku dari lautan yang tiada penjuru.

aku masih lagi terus mencari sesuatu,
tanpa sedar, aku melangkah laju,
keseorangan aku keliru dan buntu,
kebimbangan berjumpa dengan titik yang tiada bertemu.



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Bertahan....

Lama tak menaip, tangan kaku jadi tak bermaya. Menerjah laptop yang semakin berusia, menginsafkan diri yang punya rasa. Entah kan sempat masih berusaha mencari jawapan suatu persoalan yang sentiasa ligat di ruang rentas kehidupan manusia.


Sekali imbas manusia itu serupa, kata Darwin, manusia berasal dari spesies haiwan. Namun dihadirkan akal buat membeza kita dan mereka. Manusia kekal berusaha buat memahami penangan sakit jiwa sedang mereka (haiwan) hidup hanya bermahkotakan rasa tanpa nilaian akal yang fungsinya tiada.


Bila akal diletak pada tempatnya songsang, nilaian kebaikan bertukar kejahatan. Ketika itu, taraf manusia beralih pulang, buat binatang dijadikan gelaran. Haiwan masih juga punya nilai kasih sayang. Segarang-garang harimau masih juga menyusu si anak. Membelai dan menjilat pipinya, tanda sayang pada anak yang amat namun manusia bila dicabut nikmat fikiran, hilang pedoman merancuni kehidupan. Anak sendiri dianiaya dibuang kehormatan, hilang kasih dan belas kasihan. Turunlah darjatnya merendahi darjat haiwan ternakan.


Siapa sangka, kita juga bisa demikian. Tanpa sedar jiwa semakin cedera bertompokan noda kehitaman. Alangkah rugi buat mereka yang tiada sedar, semakin hari kecederaan semakin parah, lalu segalanya berubah menjadi manusia yang hilang arah. Masakan tidak jiwa yang luka, tiada ditemui ubat mujarab, dibiar berlarutan hingga membengkak merosakan fizikalnya. Sakitnya dalaman ditayangkan luaran, diterjemahkan pula pada masyarakat sekitar, lalu rosaklah masyarakat yang kian parah.


Namun, adilkah kita membuat kesimpulan sedemikian rupa? Manusia itu hadirnya pelbagai cara. Punyai latar pengalaman yang berbeza. Ada yang senang dan juga susah, namun keadilan Tuhan bukan nilaian kesenangan mahupun kesusahan tapi ujian perasaan yang kian rancak bermain di dalam setiap insan. Pertemuan yang bagaimana yang kita harapkan? Dalam suatu perjalanan yang jauh, ditimbanya seberapa banyak amal soleh, namun amal yang tiada nilai taqwa umpama debu yang mengunung, terbang melayang bila ditiup angin.


Buat pencari jiwa suka jua bahagia,.. secacat manapun rupa, keikhlasan hati tetap jadi pedoman. Kerana yang diharap bukan paras rupa, jua bukan gambaran sempurna, tapi kebenaran yang hakiki yang membawa kepada jalan menuju Illahi. Semoga dipermudahkan segala urusan.


#nota ringkas:

baru menelaah karya Buya Hamka-“Lembaga Budi”, meskipun ada yang tidak bersetuju dengan pemikiran Hamka, namun dari sudut ilmu jiwa, Hamka adalah antara ahli ilmu jiwa yang cuba merungkai persoalan yang bermain dalam ruang litup perasaan manusia.

Biarpun ia sesuatu yang sukar untuk difahami, namun ia suatu anugerah Illahi yang diberi mereka yang bergelar makhluk. Hadirnya jiwa buat pelengkap kesempurnaan ciri manusia, namun kerana dirasa diri sudah cukup sempurna dengan apa yang ada, maka rosaklah kesempurnaa jiwa yang ada padanya.


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"