Bertahan....

Lama tak menaip, tangan kaku jadi tak bermaya. Menerjah laptop yang semakin berusia, menginsafkan diri yang punya rasa. Entah kan sempat masih berusaha mencari jawapan suatu persoalan yang sentiasa ligat di ruang rentas kehidupan manusia.


Sekali imbas manusia itu serupa, kata Darwin, manusia berasal dari spesies haiwan. Namun dihadirkan akal buat membeza kita dan mereka. Manusia kekal berusaha buat memahami penangan sakit jiwa sedang mereka (haiwan) hidup hanya bermahkotakan rasa tanpa nilaian akal yang fungsinya tiada.


Bila akal diletak pada tempatnya songsang, nilaian kebaikan bertukar kejahatan. Ketika itu, taraf manusia beralih pulang, buat binatang dijadikan gelaran. Haiwan masih juga punya nilai kasih sayang. Segarang-garang harimau masih juga menyusu si anak. Membelai dan menjilat pipinya, tanda sayang pada anak yang amat namun manusia bila dicabut nikmat fikiran, hilang pedoman merancuni kehidupan. Anak sendiri dianiaya dibuang kehormatan, hilang kasih dan belas kasihan. Turunlah darjatnya merendahi darjat haiwan ternakan.


Siapa sangka, kita juga bisa demikian. Tanpa sedar jiwa semakin cedera bertompokan noda kehitaman. Alangkah rugi buat mereka yang tiada sedar, semakin hari kecederaan semakin parah, lalu segalanya berubah menjadi manusia yang hilang arah. Masakan tidak jiwa yang luka, tiada ditemui ubat mujarab, dibiar berlarutan hingga membengkak merosakan fizikalnya. Sakitnya dalaman ditayangkan luaran, diterjemahkan pula pada masyarakat sekitar, lalu rosaklah masyarakat yang kian parah.


Namun, adilkah kita membuat kesimpulan sedemikian rupa? Manusia itu hadirnya pelbagai cara. Punyai latar pengalaman yang berbeza. Ada yang senang dan juga susah, namun keadilan Tuhan bukan nilaian kesenangan mahupun kesusahan tapi ujian perasaan yang kian rancak bermain di dalam setiap insan. Pertemuan yang bagaimana yang kita harapkan? Dalam suatu perjalanan yang jauh, ditimbanya seberapa banyak amal soleh, namun amal yang tiada nilai taqwa umpama debu yang mengunung, terbang melayang bila ditiup angin.


Buat pencari jiwa suka jua bahagia,.. secacat manapun rupa, keikhlasan hati tetap jadi pedoman. Kerana yang diharap bukan paras rupa, jua bukan gambaran sempurna, tapi kebenaran yang hakiki yang membawa kepada jalan menuju Illahi. Semoga dipermudahkan segala urusan.


#nota ringkas:

baru menelaah karya Buya Hamka-“Lembaga Budi”, meskipun ada yang tidak bersetuju dengan pemikiran Hamka, namun dari sudut ilmu jiwa, Hamka adalah antara ahli ilmu jiwa yang cuba merungkai persoalan yang bermain dalam ruang litup perasaan manusia.

Biarpun ia sesuatu yang sukar untuk difahami, namun ia suatu anugerah Illahi yang diberi mereka yang bergelar makhluk. Hadirnya jiwa buat pelengkap kesempurnaan ciri manusia, namun kerana dirasa diri sudah cukup sempurna dengan apa yang ada, maka rosaklah kesempurnaa jiwa yang ada padanya.


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

2 comments: