Murid Di Hadapan Sang Guru


Ada beberapa jenis murid di hadapan sang guru,
Ada yang berlagak sudah pandai dan mahir terlalu,
Ada pula yang diam takzim kepada guru,
mendengar pelajaran dengan teliti mencari tuju

Yang berlagak pandai kadang mengejek guru,
Katanya sang guru kurang arif dan kurang Ilmu,
Sewajarnya orang melihat hujahnya yang fasih itu,
Hujah yang fasih dan indah itulah, katanya, yang harus ditiru

Kata-kata sang guru tidak menarik pendengaran,
Kadang kata-katanya pahit untuk ditelan oleh perasaan,
Guru yang benar tidak memilih kata-kata dalam pembicaraan,
Yang dipilih dan dipeliharanya ialah norma kebenaran

Murid sewajarnya tidak menjadi peniru,
Daripada pakaian yang membalut tubuh sang guru,
Tetapi hendaklah menjadi pengikut daripada roh diri sang guru,
Darah, daging, jantung hatinya, menjadi dirimu

Nukilan As-Salam,
Sebuah puisi mistik dan kerohanian.

Ulasan saya :

Intipati daripada penulisan As-Salam mengajak kita berbicara serta merenung sedalam-dalamnya beberapa persoalan berkenaan dengan panduan belajar bagi penuntut ilmu ya’ni
   1.       Apakah adab kita bila berguru?
   2.       Sejauh mana guru itu perlu disanjungi dan dihormati?
   3.       Bolehkah kita menegur  / mengkritik kesalahan yang dilakukan oleh sang guru ?
   4.       Pada sisi manakah kita harus belajar mengikut jejak langkah sang guru?

Merujuk kepada sebuah kitab yang dijadikan bahan wajib baca di pondok, sebuah kitab yang diberi nama Ta’alim al-Muta’allim Thariq al-Ta’allum (Pelita Penuntut @ Panduan Belajar bagi Penuntut Ilmu@ nama2 yang hampir serupa dengannya)- berkata sang guru yang mulia , Syeikh al-Zarnuji, yang paling wajib diajar serta belajar pada sang murid adalah adalah ilmu etika atau akhlak, atau adab. Kerana tanpa ‘adab, manusia akan rapuh dalam penilaiannya, akan gelojoh dalam keputusan, akan sentiasa silap memberi pandanganya. Tanpa adab, masyarakat semakin hilang pertimbangan, terus berlakulah apa yang selalu disebut oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-attas sebagai kekeliruan ilmu. Adab merupakan intipati pendidikan ilmu, dan dengan sebab itu, manusia yang beriman dan beramal soleh adalah manusia yang sentiasa menjaga setiap sisi lapisan dirinya dengan adab.

Disebutkan lagi didalam kitab Syeikh Az-Zurnuji ini juga, “ahli ilmu haruslah bersikap tawadhu’, sikap antara sombong dan rendah diri, serta bersikap iffah iaitu menjaga diri dari perbuatan rendah dan dosa. Menurut Habib Ali al Jifri, kesombongan itu adalah suatu kejahilan. Dan segala kerosakan yang berlaku dibumi ini adalah disebabkan dengan sifat sombong.

Justeru, amat sesuai sekali, seandainya intipati puisi diatas direnung dan difikir secara dalami bahawa sang murid bisa saja meniru pakaian zahir gurunya itu tapi gagal mengambil ibrah daripada sifat rohani gurunya yang semestinya punya hikmah mendalam. Teringat jua penulis bila menerima teguran dari guru penulis, katanya, “bersabarlah dalam menuntut ilmu, bahkan jangan terlalu yakin bahawa kamu sudah cukup memahami apa yang ditulis didalam kitab itu, terlalu banyak rahsia ulama terdahulu bila dikarangnya suatu ilmu”.





Hazabe al-Kelantani

No comments: