Gagasan Agung

Gagasan Agung

Oleh : Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud

I

Setiap bangsa yang merangka gagasan agung
Berazam memahat nama dalam sejarah tamadun terulung
Akan membina universiti dan pusat pengajian tinggi
Dan menyebarkan fahamnya tentang kewujudan ini
Tentang makna kemanusiaan dan kebahagiaannya.
Tentang maksud kemajuan dan nilai-ukurnya:
Dengan segala hujjah yang tidak tersangkal
Oleh mereka yang berakal;
Dengan segala bukti
yang tidak tertolak para pengkaji;
Dengan segala berita
yang tidak terdusta.

Bangsa yang tidak bermimpi menjadi maju
Tapi sedar insaf matlamat kudus yang dituju
Akan melahir lapisan demi lapisan pemimpin
Dalam pelbagai bidang, sebanyak mungkin.

Gagasan tinggi dipacak kukuh di universiti
Dan institusi lain dalam negeri secara serasi, bertali
Agar matlamat suci menotai Perjanjian Azali
Tidak tinggal sebagai mimpi.

Mimpi menjadi maju sifat bangsa yang tidur lena
Enggan bangun dan menjulang martabatnya.

II
Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjangnya umur
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.

Negara juga dianggap maju bukan:-
Panda bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikam gunung

Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung.
Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadab pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?

Universiti taman adabi medan penta’diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan
Yang paling cekap dan berkesan
Dalam sejarah makhluk Tuhan:-
Yang terbang lebih tinggi dari helang dan garuda
Menyelam lebih pantas dan dalam dari paus dan barakuda
Meracun lebih bisa dari kala jengking dan ular
Insan-haiwani latihan IPT mengatasi segala yang liar.

III
Di negara-negara mencengkam dunia berabad lama
Universiti puncak pemikiran tamadun mereka
Yang menyuluh pelbagai kefahaman zaman lalu
Yang membenihkan pelbagai pengetahuan zaman baru.

Pemimpin besar bangsa perkasa melihat jauh di ufuk sejarah
Mengukuhkan universiti tinggi, melahir pemikir penentu arah
Yang bebas menyampai kata, diiktiraf pelbagai anugerah
Lalu dunia memeluk mereka, jadi ukuran meningkat maruah.

Naib canselor dan dekan dipilih dari bangsa helang ilmi
Bukan dari bangsa pengurus, mulut terkunci depan menteri
Oxford, Leiden, Tokyo, Harvard, Sorbonne menjadi taman adabi
Walau mengkaji angkasa raya, sejarah sendiri diteliti ke akar umbi.

Walau kita berabad merdeka
Kepakaran agama dan sejarah kita digenggami mereka
Lampu dari Kaherah dan Madinah telah kehabisan zaitunnya
Pelita di Kuala Lumpur, menangin aku mengenang nasibnya.
Universiti umat di mana saja, kini dipenuhi semut mencari gula
Gedung ilmu menjadi tebu; gula, manisan merata.

IV
Gong dan gendang dipalu rentak ”ilmu harus diislamkan”
Bolehkan si buta mengajar melihat, si tempang lurus berjalan?
Mereka anggap ilmu seperti gula: menarik semut dan kerengga
Dan berfikir Islam seperti siyasah dan kegiatan iktisad
Lalu isi dan amal agama menjejaki dunia korporat.

Ilmu sebenar anugerah Tuhan pada diri ikhlas-berani
Ikhlas mengakui kejahilan diri, berani berguru kepada ahli
Ahli bukan yang mudah menuruti kehendak muridnya
Atau yang tunduk pada juhala memanas kerusi penguasa.

Sepanjang sejarah anbiya dan hukama semua bangsa
Guru murshid tegap berdiri, berani berkata, sederhana.

Murshid memimpin murid dan institusinya, seperti helang
Bukan memaksa terbang di paras rendah seperti puyuh, belalang.

Seorang Ibrahim disebut Allah sebagai Umat
Murshid pewaris Nabi memang wajar jadi penyelamat.

Pemalu rentak Islamisasi ilmu seperti penjual jamu
Yang tidak tahu bahan-bahan dan asal usul yang diramu
Yang tidak mencuba dengan sempurna jamu jajaan
Minatnya memalu gong dan menjaja jamu di pasaran
Di rumah, jamu diatur merata sebagai perhiasan
Anak-isteri terkeliru antara jamu dan jamu-jamuan!

Seorang pentadbir, salah seorang penjual jamu
Menganggap dir begitu pandai dan berilmu
Mengarahkan semua pensyarah membatal kuliah
Demi mera’i sang menteri yang memberinya anugerah
Mengarah menebang meranti berpuluh tahun umur
Konon cintakan kebersihan, tidak suka daunnya gugur!
Membelanjakan jutaan ringgit membeli bunga-bunga palsu
Yang mudah dipindahkan ke sana ke mari bersama pasu.
Bangga mananam pokok-pokok besi harga berjuta
Agar tidak dihinggapi burung, tupai dan serangga.

Sayang, jamu ramuan Alim Mukhlis dicuri ilmuwan tiruan
Diingat gula, bangsa semut datang berjuta mencari habuan
Pengislaman ilmu bertunjang pada mengenali sifat Tuhan
Berakar pada peningkatan akali-roh-akhlak bertiga segi
Kerana manisnya bukan seperti gula
Untungnya bukan pada peningkatan harta
Mulianya bukan pada pengiktirafan penguasa,
dan puji-pujian golongan massa.

Justeru itu jamu asli pengislaman ilmu, alam dan insan
Kini dianggap racun yang bakal memundurkan
Lalu dijauhkan mereka yang bergelar cendekiawan
Dan yang mengaku beriman
Disokong boneka di puncak kekuasaaan.

V
Universiti menyebar ilmu pancaran agama dan tamadun
Mengukuh hikmat leluhur agung turun temurun
Bukan menginsankan insan tujuan sebenarnya
Itu sekadar pencapaian sekelumit paling sederhana
Tapi mengakhlakkan insan dengan akhlak Tuhannya
Itulah matlamat tertinggi, makam terpuji bagi manusia.

Wahai ketua universiti dan semua warga di dalamnya:
Bangun dan hilangkanlah arang di wajah bangsa.
Semua anak helang di sangkarmu, lepaslah terbang
Yang cerah mata dan terang hatinya, pasti pulang
Bersenjatakan hikmah pemikir terbilang
Dan keberanian dan kepintaran para hulubalang


Gagasan Agung ini merupakan satu puisi hasil tulisan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud., Mantan Timbalan Pengarah ISTAC dan kini Pensyarah Kanan ATMA, UKM. Puisi ini dipetik daripada Buku Puisi beliau, Dalam Terang. Puisi ini mentafsirkan tuntutan amanah yang di terima insan serta peranan ilmu dan akhlak dalam masyarakat

dipetik daripada :-
(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Post 'runcitan' berupa teguran....

Jarang sekali saya menyentuh kesilapan orang tanpa disusuli dengan cadangan buat penambahbaikan. Tapi kali nih, mungkin sedikit berbeza mauduknya. Rasa kesabaran ada tahapnya, tapi bila dikejut 'Singa' yang sedang tidur, jangan menyesal, Singa tu akan terus berjaga, malah bakal meluaskan jajahan takluknya.


Kalau entri kali ini penuh dengan nada-nada emosi, harap dimaafkan kerana emosi manusia bukan statik, malah boleh berombak menghasilkan 'tsunami' garang menelan mangsa. Sebelum membuka isi huraian, perlu ada mukadimahnya kerana ramai akan menunding jari mencari salah siapa, SEBAIKNYA mengenal pasti masalah bagi orang yang tidak kenal dia bermasalah adalah lebih bermakna daripada mencari salah orang sedang diri sendiri tak tahu yang dia sebenarnya bermasalah. (It is better to realize a 'real problem' and u r clear about ur problem rather than u r blurred with ur own problem and not realizing the 'real' problem).

Kampus saya bukanlah suatu kampus yang besar. Hanya sekitar 2K jumlah pelajarnya. Apa yang dikesalkan adalah, kampus saya dipimpin dan diurus tadbir oleh kelompok 'ekskusif' yang berpandukan pada 'rasa-rasa'. Boleh saya definisikan 'rasa-rasa' disini sebagai "SANGKAAN" atau dzan yang beranggapan semuanya dilakukan atas nama 'kebajikan' tapi sebaliknya dibuat atas nama 'kebiadapan'. Apa yang dimaksudkan kebiadapan disini.Sekilas pandang, orang yang keliru akan menyangka 'gelas sebagai bekas minuman itu' berfungsi bila diisi cecair yang boleh diminumnya, tapi kurang tahu apakah cecair itu air yang halal, atau air yang haram.

Seperti analogi air 'kuning' - orang yang keliru akan mudah menjawab itu air 'karbonat epal', 'air jagung' dll, tapi orang yang berilmu akan mudah mengenali air kuning itu adalah 'arak', 'air kencing' kerana tahu daripada mana asal-usulnya. Orang yang keliru hanya menggunakan sepenuhnya 'pancaindera' yang ber'pandukan' tradisi dan ruang lingkup latar sosialnya sebagai penentu kepada suatu penilaian. Sebaliknya, orang yang berilmu, menggunakan pancaindera dan pengamatan daya akal fikiran serta pengetahuan yang 'luas' sebagai pemandu kepada setiap keputusannya.

Bila disangka yang benar itu batil maka itu adalah 'KEKELIRUAN', dan bila kebatilan dipertahankan jua sebagai yang benar meskipun dimaklumi maka itu dipanggail 'KEBIADABAN'.

Kalau entri kali ini berupa keluhan, maka manusia mana yang tiada mengeluh bila 'hantaran minyak wangi' dibalas dengan 'najis'. Bila 'nasihat berupa ilmu' dihujah dengan 'fitnah dan celaan'. Semoga Allah mengampunkan AKU dn KALIAN diatas perjalanan ini.


Pepatah Cina ada mengatakan, "Mengenal kelemahan 'musuh' adalah Kejayaan utama bagi sesebuah peperangan" . Musuh disini bermaksud 'kejahilan', 'kelesuan', 'perpecahan', 'ketaksuban' dan 'kemunduran'. Mana mungkin nak mengemudi sebuah bahtera kalau si Nakhoda orang yang tidak pernah belajar ilmu pelayaran. Mahu terus digadai semua 'anak kapal' kerana sangkaannya "Aku boleh belajar ilmu tersebut (pelayaran) di tengah laut nanti"? Akhirnya, belum pun meninggalkan pelabuhan, kapal karam melanggar batu-batu karang yang memecah seluruh badan kapal tersebut. Inilah fenomena yang berlaku di sesetengah kelompok 'mahasiswa' (????) yang berpandangan, 'jawatan itu adalah platform untuk kami' belajar' memimpin' - Beberapa kali sudah ku terangkan, malah mereka sendiri seringkali berbunga-bunga menasihati semua, "Amanah seorang pemimpin itu amat berat".


Kalau sudah disangka ianya 'berat', jangan berani berlagak sebagai 'pembuat kerja' tanpa kefahaman pada makna 'amanah' tersebut. Apa akan berlaku bila kata-kata tadi difahami secara KELIRU.Pokoknya, seorang pemimpin bukan semata-mata orang suruhan, tapi seorang yang perlu 'menyuruh'. Yang berlaku disini adalah sebaliknya. 'Pemimpin' disini hanya budak hingusan yang pabila disuruh berdiri maka dia berdiri, bila disuruh duduk, maka duduklah dia. Yang berlaku, pimpinan dalam 'kepimpinan'.


Orang akan bertanya, apa masalahnya? Bukankah, "A leader is a learner" ? (sekali lagi, ayat2 jiwang yang dicopy paste).

Jawapannya :- yes, a leader is also a learner yet he must be a learned person before he is assigned as a leader. (Cuba tengok analogi kapal tadi).

kalau soal 'learning' tu hanya berlaku pada proses 'kepimpinan'- apakah ini bermaksud, bila tiada jawatan, maka proses untuk belajar itu terhenti?


Ini belum dibicarakan soal kesilapan-kesilapan dalam keputusan yang dibuat atas nama 'KEBAJIKAN', 'RAKYAT' dan 'UNIVERSITI'. yang menghairankan, ada jua kelompok-kelompok 'pencinta Islam' tahu kebatilan yang berlaku, tapi disembunyikan/didiamkan atas dasar 'UKHUWAH'...


"Sayangkan anak, jangan sampai memberi makan gula berlebihan, takut mudah terkena penyakit." sayangkan SAHABAT, jangan sampai dilayan segala kemahuan ikut 'sangkaan' takut kita turut serta terjun ke lembah durjana. Kalau betul dibuat atas nama persahabatan, jadi, tunjukkanlah jalan kebenaran supaya dapat dihayati makna keinsafan.

"Memang mudah nak berkata-kata, sbb engkau bukan duduk dikalangan kami!" - Benar, tapi aku juga sebahagian daripada golongan yang 'dipimpin' yang berhak berkata-kata selagi mana ada benarnya. Atau kau mengajar aku supaya terus 'membisu' bila melihat kemungkaran yang dilakukan???

Tolonglah, sila refer balik ayat diatas, "Amanah seorang pemimpin itu BERAT". Kalau sudah merasa layak memimpin silakan, disini bukan untuk dibahaskan soal layak atau tidak, tapi soal 'EGO' pada pandangan yang jelas "JUMUD'/'SEMPIT'/"BEKU' dalam suasana selesa yang tidak pernah mahu menerima kritikan. Semoga kalian sentiasa bermuhasabah, kerana masih ada masa yang tinggal untuk memperbetulkan keadaan.

Seorang pemimpin perlu juga ada nilai 'ketegasan dalam kelembutan'- kalau anak buah tak layak memimpin, jangan terus disimpan buat pekasam, lebih baik PECAT, daripada dia menanggung amanah yang berat.



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya?

Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.

Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.

Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.

Benarlah kata para ulama :


Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE

"SALAM UKHWAH"

Antara Demokrasi dan Perebutan Kuasa

Sengaja saya bataskan perbincangan yang berkisar kepada aspek politik memandangkan hujah-hujah ilmiah itu selalu dipisahkan dengan pemerhatian politik. Tidak boleh tidak, biasness (berat sebelah) itu tetap berlaku bila pandangan tentang senario politik dihidangkan. Apa yang menyedihkan politik selaku alat untuk mewujudkan kesejahteraan rakyat telah merubah menjadi suatu senjata untuk melahirkan suasana yang agresif, sehingga memecahbelahkan kesatuan rakyat yang berbilang kaum.


Ramai orang politik mengatakan, “Yang kotor bukan politik, tetapi orangnya. Tokoh-tokoh politiklah yang mengotorkan politik.” Hal ini cukup jelas, meskipun dalam banyak bidang kehidupan yang bersih dalam dunia ini menjadi kotor disebabkan oleh tangan manusia. Politik sebagai suatu ‘alat’ telah disalahgunakan oleh orang ‘politik’ menyebabkan imej politik itu sentiasa tercalar. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam arena politik. Yang bersalah dilepaskan, yang jujur dihina, dipijak-pijak kejujurannya. Yang benar dikata salah, yang salah disokong membuta tanpa teguran.Kerana apa? Kerana matlamat telah menghalalkan cara. Tidak kira sama ada salah disisi undang-undang pentadbiran, atau salah disisi hokum agama, semua itu boleh diputarbelitkan demi mencapai matlamat yang ada.


Akhir sekali, wujud kesimpulan umum, bahawa Dunia Politik membuka banyak sekali kemungkinan untuk berbagai-bagai penyelewengan berlaku. Sehingga ada yang menyatakan, “ Kalau tidak sanggup menjadi oportunis, bermain kotor, dan menggunakan tipu helah, jangan cuba-cuba terjun ke dunia politik.”


Kalau di zaman dahulu, era penaklukan dan era “Siapa kuat, siapa berkuasa”, kekuasaan ditentukan oleh kekuatan ketenteraan. Kini, di zaman yang serba moden, kekuasaan ditentukan oleh wang dan tipu-helah politik. Sebagai contoh, dunia politik di Amerika, cukup terkenal dengan bermacam-macam skandal malah pembunuhan dan tembak-menembak bukan suatu perkara yang baru. Politik yang didasarkan dengan system demokrasi itu sudah menjadi suatu system perebutan kuasa dengan matlamat yang menghalalkan cara.


Saya juga percaya, ramai masih lagi ingat akan kisah perhambaan Negro, kisah pembunuhan Red Indian, dan perang saudara selama bertahun-tahun. Yang lebih mengaibkan, sejarah politik Amerika juga menceritakan beberapa Presidennya yang telah dibunuh. Pembunuhan Kennedy dua bersaudara, serta cubaan membunuh George Wallace, Gabenor Alabama yang menyebabkan beliau lumpuh seumur hidup dek hampir maut dimakan peluru membuktikan apa-apa saja bakal berlaku dalam system yang berstatus “Negara Demokrasi”.


Dalam konteks Negara kita hari ini, tidak kira perjuangan bangsa atau agama, semua itu bukan lagi menjadi mauduk utama yang meniti dibibir-bibir wakil rakyat. Yang utama, adalah membuka keaiban dan mencari jalan mengambil alih tampuk kekuasaan meskipun terpaksa menggunakan rakyat sebagai boneka perjuangan mereka. Disipilin Negara Berperlembagaan sudah tidak lagi menjadi batasan perjuangan politik. Yang ada hanya slogan retorik yang mendambakan perubahan tanpa berani meneroka isu-isu yang lebih merakyatkan kepimpinan sehingga ke akar umbi.


Politik tidak selamanya dapat ditegakkan atas dasar semangat. Rakyat tak akan selamanya dapat diajak mengambil bahagian secara aktif dalam politik dengan hanya mengoba-ngobarkan semangat. Makin lamaorang akan lupa pada perjuangan kebangsaan. Perjuangan agama. Perjuangan untuk mendatangkan kestabilan, kemakmuran, kemajuan. Dan makin lama, politik demokrasi yang diamalkan berubah menjadi politik perebutan kuasa tanpa ada lagi nilai-nilai agama, akhlak dan kemanusiaan. Kerana apa? Kerana “Kuasa” adalah capaian akhir matlamat kami.



Sebuah pemerhatian ringkas daripada senario politik berlatarbelakangkan Perspektif 1969-1979- Noor Azam



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"

Dakwah bukan untuk Jemaah, tetapi Jemaah adalah platform untuk berdakwah.

Saban waktu slogan taadud jemaah ini sudah lama dilupakan, kini ianya muncul kembali. Keupayaan dan wibawa para daie muda semakin terus dipersoalkan pada masa kini. Perebutan ahli sudah menjadi perkara biasa, tidak cukup dengan karenah memburukkan jemaah yang lain, ditambah pula dengan fitnah yang tiada sempadan yang dilontarkan. Apakah ini rupa sebenar jemaah Islam yang ada. Sebelum saya meneruskan penulisan, elok sangat sy terangkan terlebih dahulu, apa yang dimaksudkan dengan jemaah disini.


Jemaah yang dimaksudkan bukanlah dari sudut hakikat jamak kepada seluruh golongan muslim, TETAPI ia adalah suatu kumpulan manusia dan bersama-sama memperjuangkan agama menerusi wasilah dan metod yang diguna pakai dalam jemaah masing-masing. Dalam erti kata lain, jemaah yang ada adalah himpunan rasa kebersamaan dengan suatu entiti atau fikrah yang telah dibentuk (dalam konteks malaysia). Jadi apakah yang menjadi masalahnya disini?


Yang menjadi masalah bukanlah pada metod yang digunakan tetapi pada akhlak dan pemahaman seseorang dalam dunia Islam. Seringkali usrah-usrah yang ada, membincangkan pada kepentingan berjemaah. Tetapi sgt sedikit pula usrah-usrah yang membincangkan kepentingan peri penting pandangan alam islam (worldview of Islam), paham Ilmu, paham Keadilan dan sebagainya. Kenapa sedemikian naifnya jemaah yang ada pada hari ini? Adakah yang lebih utama dalam pembinaan negara bangsa itu bermula dengan pembentukan warganegara yang sempurna? Bagaimana pula dengan aspek pembinaan manusia yang sempurna?


Terbayang saya suatu hakikat sebuah jemaah yang suatu ketika dahulu penuh dengan nilai-nilai budaya ilmu, tetapi kini, hanyut diibawa oleh pemikiran politik sekular liberal yang telah menenggelamkan entiti utamanya selaku sebuah badan dakwah. Bukan hanya satu dua jemaah sahaja, boleh dikatakan hampir semua jemaah yang ada tidak lagi berada di dalam landasan perjuangan yang ilmiah, tetapi lebih kepada perjuangan semangat. Buktinya, kesinambungan para daie yang dibentuk pada peringkat sekolah, sehingga ke peringkat universiti terus hilang dan semakin kurang kualiti dalam menangani isu-isu semasa yang Intelektual. Jadi adakah dakwah yang dibawa itu semakin hilang fokus?


Jelas sekali slogan dakwah yang dibawa pada hari ini semakin hilang substancenya, yang ada hanya rupa zahir yang cantik yang akan pudar ditelan usia zaman. Tanpa kefahaman ilmu yang mantap, dan juga penafian pada keutamaan berguru telah menyebabkan arus dakwah yang ada pada hari ini semakin buta tanpa mengenali siapakah lawan dan siapakah kawan. Pembinaan negara Islam atau pun masyarakat Islam atau biah solehah bukan dengan pendekatan yang bersifat cebisan atau permukaan (surface) tetapi ianya memerlukan penglibatan ahli intelektual dan alim ulama dengan memberikan lebih banyak ruang-ruang wacana yang kritis kepada para daie muda atau para mahasiswa dan pelajar.


Berdakwah dengan substace tanpa metod adalah jumud dan beku, malah ia akan hanya membuahkan pengulangan.; ianya penting dalam hal-hal yang bersifat ritual seperti dalam ibadat puasa, haji dsb tetapi melemahkan dalam hal ehwal keilmuan. sosio-ekonomi, politik dsb.

Namun berdakwah dengan metod tanpa substance yang memadai akan merosakkan. Jika suatu gerakan dakwah boleh dikatakan sbg satu metod, yang berjuang habis-habisan untuk merealisasikan cita-cita gerakanya tanpa konsepsi Islam yang benar, maka kerosakan yang diakibatkan akan melebihi kemungkinan kebaikan yang diimpikan.

Metod tanpa substance yang memadai akan membuahkan fanatisme, fanatisme menghasilkan kezaliman.


Terus, apakah pilihan kita? Terus saja menyalahkan jemaah yang ada, lalu meninggalkan mereka. Atau mencari suatu alternatif untuk berwacana membuat perubahan secara lebih objektif dan bersedia melakukan perubahan.


Semoga Jemaah yang ada dapat bermuhasabah kembali, dan terus kembali kepada perjuangan murni kalian dalam memperjuankan agama Allah. Sumber epistimologi adalah suatu yang tidak boleh tidak harus dijadikan persoalan induk pada aspek perubahan yang dibahaskan disini.


Nukilan diatas adalah adaptasi daripada kertas kerja Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, "Beberapa Maslah dan Cabaran Intelegensia Muslim Malaysia Kini ! Satu Analisa Untuk Tindakan"


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"