Sengaja saya bataskan perbincangan yang berkisar kepada aspek politik memandangkan hujah-hujah ilmiah itu selalu dipisahkan dengan pemerhatian politik. Tidak boleh tidak, biasness (berat sebelah) itu tetap berlaku bila pandangan tentang senario politik dihidangkan. Apa yang menyedihkan politik selaku alat untuk mewujudkan kesejahteraan rakyat telah merubah menjadi suatu senjata untuk melahirkan suasana yang agresif, sehingga memecahbelahkan kesatuan rakyat yang berbilang kaum.
Ramai orang politik mengatakan, “Yang kotor bukan politik, tetapi orangnya. Tokoh-tokoh politiklah yang mengotorkan politik.” Hal ini cukup jelas, meskipun dalam banyak bidang kehidupan yang bersih dalam dunia ini menjadi kotor disebabkan oleh tangan manusia. Politik sebagai suatu ‘alat’ telah disalahgunakan oleh orang ‘politik’ menyebabkan imej politik itu sentiasa tercalar. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam arena politik. Yang bersalah dilepaskan, yang jujur dihina, dipijak-pijak kejujurannya. Yang benar dikata salah, yang salah disokong membuta tanpa teguran.Kerana apa? Kerana matlamat telah menghalalkan cara. Tidak kira sama ada salah disisi undang-undang pentadbiran, atau salah disisi hokum agama, semua itu boleh diputarbelitkan demi mencapai matlamat yang ada.
Akhir sekali, wujud kesimpulan umum, bahawa Dunia Politik membuka banyak sekali kemungkinan untuk berbagai-bagai penyelewengan berlaku. Sehingga ada yang menyatakan, “ Kalau tidak sanggup menjadi oportunis, bermain kotor, dan menggunakan tipu helah, jangan cuba-cuba terjun ke dunia politik.”
Kalau di zaman dahulu, era penaklukan dan era “Siapa kuat, siapa berkuasa”, kekuasaan ditentukan oleh kekuatan ketenteraan. Kini, di zaman yang serba moden, kekuasaan ditentukan oleh wang dan tipu-helah politik. Sebagai contoh, dunia politik di Amerika, cukup terkenal dengan bermacam-macam skandal malah pembunuhan dan tembak-menembak bukan suatu perkara yang baru. Politik yang didasarkan dengan system demokrasi itu sudah menjadi suatu system perebutan kuasa dengan matlamat yang menghalalkan cara.
Saya juga percaya, ramai masih lagi ingat akan kisah perhambaan Negro, kisah pembunuhan Red Indian, dan perang saudara selama bertahun-tahun. Yang lebih mengaibkan, sejarah politik Amerika juga menceritakan beberapa Presidennya yang telah dibunuh. Pembunuhan Kennedy dua bersaudara, serta cubaan membunuh George Wallace, Gabenor Alabama yang menyebabkan beliau lumpuh seumur hidup dek hampir maut dimakan peluru membuktikan apa-apa saja bakal berlaku dalam system yang berstatus “Negara Demokrasi”.
Dalam konteks Negara kita hari ini, tidak kira perjuangan bangsa atau agama, semua itu bukan lagi menjadi mauduk utama yang meniti dibibir-bibir wakil rakyat. Yang utama, adalah membuka keaiban dan mencari jalan mengambil alih tampuk kekuasaan meskipun terpaksa menggunakan rakyat sebagai boneka perjuangan mereka. Disipilin Negara Berperlembagaan sudah tidak lagi menjadi batasan perjuangan politik. Yang ada hanya slogan retorik yang mendambakan perubahan tanpa berani meneroka isu-isu yang lebih merakyatkan kepimpinan sehingga ke akar umbi.
Politik tidak selamanya dapat ditegakkan atas dasar semangat. Rakyat tak akan selamanya dapat diajak mengambil bahagian secara aktif dalam politik dengan hanya mengoba-ngobarkan semangat. Makin lamaorang akan lupa pada perjuangan kebangsaan. Perjuangan agama. Perjuangan untuk mendatangkan kestabilan, kemakmuran, kemajuan. Dan makin lama, politik demokrasi yang diamalkan berubah menjadi politik perebutan kuasa tanpa ada lagi nilai-nilai agama, akhlak dan kemanusiaan. Kerana apa? Kerana “Kuasa” adalah capaian akhir matlamat kami.
Sebuah pemerhatian ringkas daripada senario politik berlatarbelakangkan Perspektif 1969-1979- Noor Azam
No comments:
Post a Comment