Musim Dingin.

Bila tangan menerjah ke keyboard lain yang difikir, lain yang ditulis. Semoga penulisan kali ini ada manfaatnya.


Rehat seketika setelah penat mencari nota-nota ilmiah yang dipaksanya otak untuk bekerja menelaah makna disebalik semua itu. Peperiksaan yang mendatang punya makna mendalam. Apa makna kejayaan pada seorang pimpinan? Sengaja saya persoalkan kerana hakikat kejayaan sering disalah tafsir.


Sering kali diri terasa tidak adil dalam meletakkan keperluan dan kehendak dalam melaksanakan sesuatu urusan.Jiwa muda memberontak, mencari identiti, semua itu bukan lagi satu yang dinafi. Keperluan selalunya dirujuk pada sesuatu yang mesti didahulukan manakala kehendak sering kali didorong oleh nafsu dan keinginan yang sememangnya amat indah andai dikawal dan dijaga oleh diri yang punya nilai akidah.


Semalaman tertidur tanpa sedar ketemu mimpi indah memuhasabahkan diri yang bisa kalah dipandu jahiliah. ‘Letakkanlah sepenuh pengharapan pada Allah’-begitu dalam sekali maksudnya. Namun ku akui diri sering kali berlaku zalim dalam menafikan semua itu. Hakikat kejadian datang dari Allah. Kerana rasa tawwaduk dalam diri, sering kali ulama-ulama mahupun ustaz-ustaz mengungkapkan kata ‘yang baik datang dari Allah, dan yang buruk datang darinya sendiri’. Indahnya ungkapan kalau dihayati sepenuh makna yang terselit di balik ungkapan tadi. Rasa rendah diri dan tawwaduk serta berlaku sopan di hadapan Allah dalam menilai sesuatu biarpun hakikat semua itu datang dari Dia yang punya ilmu.


Apbila manusia berhadapan dengan dua jalan mati, lihatlah dengan pandangan mata hati. Sering kali ulama tasawwuf menekankan penghayatan dan pembersihan rohani dalam menilai kejadian alami. Satu ungkapan indah yang diungkapkan suatu ketika dulu oleh syeikh Fahmi Zamzam An-Nadwi Al-Maliki dalam syarahnya pada kitab al-Hikam, “kalau mahu lihat bagaimana posisi kita dihadapan Allah, maka terlebih dahulu lihatlah apa posisi Allah dalam hati kita’. Begitu tawadduknya ulama-ulama tassawuf. Bagaimana mungkin ada yang mengatakan mereka sesat? Sungguh jahil orang yang tidak pernah mengenal ulama dan tidak pernah sekalipun menghadiri majlis zikir, mengatakan sedemikian. Inilah yang selalu terjadi, fitnah kepada mereka yang menyebarkan ilmu Allah di muka bumi. Semoga Allah merahmati perjuangan mereka.


Kejayaan pada kaca mata dunia hari ini lebih suka kepada benda, pangkat dan kedudukan. Mengapa?


Apabila diri sudah punya kedudukan, maka dipandangnya tinggi pada kemuliaan. Pabila kemuliaan letaknya bukan pada tempatnya, hinalah manusia dalam melihat kejayaan.


Dalam melihat kejayaan pada perspektif keperluan dan kehendak, perlu kita dasari ia dengan hujahan dan pandangan ilmu. Ilmu yang cetek gagal mentafsirkan kejayaan pada sifatnya. Sungguh, kejayaan bukan nilaian darjat dan kebendaan tapi nilaian hakikat insan dan kemuliaan. Lihat sahaja apa definisi kejayaan pada kaca mata modenis. Yang tinggi melangit itu dikatakan berjaya, yang rendah menjunjung dikatakan mundur. Yang paling moden, mereka yang suka bersosial, yang dipanggil jumud mereka yang tak punya jiwa. Itulah difinisi kejayaan pada kaca mata mereka. Samakah kita??? (kalau sama, Tahniah, sebab anda terpilih untuk kelas Tafaqquh fi-Din anjuran APIS..haha)-spoil mood menulis lak.


Kejayaan pada kaca mata muslim sudah tentu berbeza. Kita melihat kejayaan pada kebebasan mutlak kita dari sistem hidup jahiliah, dan pengabadian kita kepada Allah secara total tanpa ragu. Mungkin ramai punya pandangan dan pendapat yang berbeza, namun hakikat kejayaan itu sendiri besar maknanya. Namun sudah tentu, penafsiran kejayaan bukan hanya melihat pada perspektif semata, tapi didasari dengan fakta dan hujahan ilmiah. Andai kejayaan dinilai dari sudut perspektif atau pandangan setempat, sudah tentu nilai dan maknanya juga berbeza daripada kajayaan yang sebenar.


Hujan yang turun membawa rahmat, biar lebat sekalipun ia tetap dinanti oleh mereka yang punya hati. Namun bilamana hujan semakin berat, ramai menyangka ia membawa mudarat. Disebalik kejadian itu punya suatu isi tersirat, kerana tiada yang mampu untuk mengaggak, apakah rahsia disebalik semua ini.


Ramai berjaya mentafsirkan kejayaan itu pada siri episod kehidupan. Lihat saja bagaimana seorang pelari pecut 100m misalnya, berjaya memenangi pingat dalam kejohanan yang disertainya. Itulah kejayaan yang dicapainya. Namun bila ditanya, apakah si pelari tadi sudah puas dengan kejayaan itu, sudah tentu jiwanya akan sentiasa berazam untuk menjadi lebih hebat lagi. Oleh itu, hakikat kejayaan itu tiada kesudahan melainkan yang dinilai itu hanya pada juzuk keduniaan semata.


Jadi apa sebenar takrifan kejayaan. Jika dikaji suatu ketika dahulu, ummat Islam pernah menjadi sebuah tamadun yang paling unggul mengeluarkan manusia dari belengu kejahilan. Kejayaan disebalik semua itu bukan kerana hakikat kejayaan yang bersifat nisbi tapi menjangkaui nilai kebendaan dan keduniaan. Yang dikejar oleh mereka suatu ketika dahulu ialah pengabdian diri mereka sepenuhnya pada Allah dalam segala bidang yang diceburi. Bagi tokoh-tokoh pemikir agung di zaman itu telah wujud satu methodology disiplin ilmu yang begitu tinggi. Misalnya lihat saja tokoh-tokoh pemikir Islam, mereka bukan saja punya ketajaman pikiran yang tiada tolok bandingnya malah mereka juga menguasai pelbagai cabang ilmu yang sesuai untuk kehidupan sejagat.


Kejayaan itu sememangnya suatu benda yang abstrak. Apakah orang kampung yang punya kebun getah sekangkang tanah dikatakan kurang berjaya? Dari sudut pandangan Islam, kejayaan itu dinilai bilamana seorang muslim berjaya menemui apa yang dicari dalam hidupnya yakni kebenaran. Kebenaran itulah suatu yang dikatakan kejayaan. Bukan semua manusia mampu bertemu dengan kebenaran, dan bukan yang ada dihadapan kita dipanggil kebenaran. Hujahan dan data-data yang dikumpul mungkin masih belum cukup untuk dikatakan kebenaran kerana yang hadir dalam proses pencarian itu adalah ketentuan Allah swt. Oleh itu sebagai seorang muslim, tiada jalan pintas untuk ketemu dengan kebenaran apatah lagi nilai kejayaan itu tinggi harganya. Jangan kerana terlalu gopoh dalam pencarian kerana kelak akan jadi seperti ungkapan peribahasa yang disebut “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran,”


-selamat menghadapi peperiksaan buat semua sahabat di Monash University-



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)


HAZABE
"SALAM UKHWAH"

No comments: