Antara realiti dan ilusi

Indahnya lampu neon itu. Di segenap jalan ia bersinar, menerangi jalan yang dulunya kelam, tidak berturap, cacat seperti tiada yang mahu. Kini jalan yang dulunya kecil semakin membesar, diturap dan dibaiki secantiknya untuk keselesaan pengguna yang melaluinya. Redha. Semakin masa berlalu, diciptakan pula hiasan jalan yang besar itu dengan lampu neon jalanan yang mencantikkan pemandangan.



Saujana mata memandang, lihat saja keindahan jalan itu di malam hari. Masakan ramai yang ramai yang berani melaluinya takkala melihat ketenangan dan keindahan cahaya neon di sepanjang jalan. Sekali pandang, kelihatan seperti jambatan cahaya di malam hari menghubungkan manusia dari pelbagai destinasi. Ketenangan terpancar bukan kerana adanya lampu tapi lancarnya perjalanan ke destinasi idaman.



Indahnya pemandangan malam itu.



Namun, langit tidak selalunya cerah, lampu bisa rosak kalau dipasangkan terlalu lama, jalan bisa berlubang dibiarkan tanpa diturap dijaga. Lumrah alam, tiada yang mampu mengekalkan sifatnya. Kerana alam itu sendiri milik empunya segala hak. Dia yang menjadikan, mengekalkan dan memusnahkan segala yang ada. Siapa sangka, jalan yang gah diturap, bakal lusuh diluput zaman. Lampu neon yang terang, bakal padam, rosak di tengah-tengah jalan. Kerdilnya alam. Tiada yang dapat menafi, ‘keindahan’ jalan itu bukan disebabkan kerana adanya lampu neon disisi, tapi kerana hati diberikan ‘rasa’ untuk menghayati. ‘ketenangan’ bukan ditafsir melalui lancarnya perjalanan sambil melihat sinaran lampu yang terang, tapi kerana ‘rasa’ pada tenang itu yang telah hadir dalam diri.



Namun, kerana manusia gemar kepada ilusi, yang dikatakan itu hanya pada kukuhnya jalan, cantiknya lampu, indahnya pemandangan. Tanpa sedar, yang mengukuhkan jalan bukan dengan turapan tar yang banyak, tapi arkitek yang bijak mereka membina. Yang mencantikkan lampu bukan dengan cahaya yang dipancarkan, tapi hasil kreatif pereka yang halus jiwanya. Jadi jelas mengapa ramai yang masih melihat ilusi, gambaran kosong yang tidak punya nilai pada ‘pembuat’ semua itu. Yang dipuji hanyalah keindahan gambaran mata kasar yang tak punya kuasa. Kerana manusia itu sering lalai dan lupa. Yang disangka ‘yakin’ itu bukan pada hujah ilmu, tapi pada nilaian ‘rasa’ yang jadi ikutan sejak zaman berzaman. Apa bezanya?



Lihat sahaja pohonan mawar membunga, kembang mewangi menarik hati. Siapa yang tak sudi? Namun ramai membenci kerana disangka duri mawar tajam mencederakan diri. Aneh bukan. Kenapa perlu punya tanggapan begitu? Kerana manusia suka menilai berdasarkan perkara lalu bukan pada kajian dan nilaian ilmu. Andai pengetahuan dan ilmu itu jadi penentu, dipetik juga mawar membunga itu tanpa peduli duri yang tajam meyengat, kerana makna ‘cedera’ itu bukan pada luka tusukan duri tapi pada diri yang kerdil tak punya hati. Penyebab bagi semua itu sudah tentu milik mutlak Pemilik diri-diri manusiawi bukan pada duri yang tajam membela diri.



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

No comments: