Musim Dingin.

Bila tangan menerjah ke keyboard lain yang difikir, lain yang ditulis. Semoga penulisan kali ini ada manfaatnya.


Rehat seketika setelah penat mencari nota-nota ilmiah yang dipaksanya otak untuk bekerja menelaah makna disebalik semua itu. Peperiksaan yang mendatang punya makna mendalam. Apa makna kejayaan pada seorang pimpinan? Sengaja saya persoalkan kerana hakikat kejayaan sering disalah tafsir.


Sering kali diri terasa tidak adil dalam meletakkan keperluan dan kehendak dalam melaksanakan sesuatu urusan.Jiwa muda memberontak, mencari identiti, semua itu bukan lagi satu yang dinafi. Keperluan selalunya dirujuk pada sesuatu yang mesti didahulukan manakala kehendak sering kali didorong oleh nafsu dan keinginan yang sememangnya amat indah andai dikawal dan dijaga oleh diri yang punya nilai akidah.


Semalaman tertidur tanpa sedar ketemu mimpi indah memuhasabahkan diri yang bisa kalah dipandu jahiliah. ‘Letakkanlah sepenuh pengharapan pada Allah’-begitu dalam sekali maksudnya. Namun ku akui diri sering kali berlaku zalim dalam menafikan semua itu. Hakikat kejadian datang dari Allah. Kerana rasa tawwaduk dalam diri, sering kali ulama-ulama mahupun ustaz-ustaz mengungkapkan kata ‘yang baik datang dari Allah, dan yang buruk datang darinya sendiri’. Indahnya ungkapan kalau dihayati sepenuh makna yang terselit di balik ungkapan tadi. Rasa rendah diri dan tawwaduk serta berlaku sopan di hadapan Allah dalam menilai sesuatu biarpun hakikat semua itu datang dari Dia yang punya ilmu.


Apbila manusia berhadapan dengan dua jalan mati, lihatlah dengan pandangan mata hati. Sering kali ulama tasawwuf menekankan penghayatan dan pembersihan rohani dalam menilai kejadian alami. Satu ungkapan indah yang diungkapkan suatu ketika dulu oleh syeikh Fahmi Zamzam An-Nadwi Al-Maliki dalam syarahnya pada kitab al-Hikam, “kalau mahu lihat bagaimana posisi kita dihadapan Allah, maka terlebih dahulu lihatlah apa posisi Allah dalam hati kita’. Begitu tawadduknya ulama-ulama tassawuf. Bagaimana mungkin ada yang mengatakan mereka sesat? Sungguh jahil orang yang tidak pernah mengenal ulama dan tidak pernah sekalipun menghadiri majlis zikir, mengatakan sedemikian. Inilah yang selalu terjadi, fitnah kepada mereka yang menyebarkan ilmu Allah di muka bumi. Semoga Allah merahmati perjuangan mereka.


Kejayaan pada kaca mata dunia hari ini lebih suka kepada benda, pangkat dan kedudukan. Mengapa?


Apabila diri sudah punya kedudukan, maka dipandangnya tinggi pada kemuliaan. Pabila kemuliaan letaknya bukan pada tempatnya, hinalah manusia dalam melihat kejayaan.


Dalam melihat kejayaan pada perspektif keperluan dan kehendak, perlu kita dasari ia dengan hujahan dan pandangan ilmu. Ilmu yang cetek gagal mentafsirkan kejayaan pada sifatnya. Sungguh, kejayaan bukan nilaian darjat dan kebendaan tapi nilaian hakikat insan dan kemuliaan. Lihat sahaja apa definisi kejayaan pada kaca mata modenis. Yang tinggi melangit itu dikatakan berjaya, yang rendah menjunjung dikatakan mundur. Yang paling moden, mereka yang suka bersosial, yang dipanggil jumud mereka yang tak punya jiwa. Itulah difinisi kejayaan pada kaca mata mereka. Samakah kita??? (kalau sama, Tahniah, sebab anda terpilih untuk kelas Tafaqquh fi-Din anjuran APIS..haha)-spoil mood menulis lak.


Kejayaan pada kaca mata muslim sudah tentu berbeza. Kita melihat kejayaan pada kebebasan mutlak kita dari sistem hidup jahiliah, dan pengabadian kita kepada Allah secara total tanpa ragu. Mungkin ramai punya pandangan dan pendapat yang berbeza, namun hakikat kejayaan itu sendiri besar maknanya. Namun sudah tentu, penafsiran kejayaan bukan hanya melihat pada perspektif semata, tapi didasari dengan fakta dan hujahan ilmiah. Andai kejayaan dinilai dari sudut perspektif atau pandangan setempat, sudah tentu nilai dan maknanya juga berbeza daripada kajayaan yang sebenar.


Hujan yang turun membawa rahmat, biar lebat sekalipun ia tetap dinanti oleh mereka yang punya hati. Namun bilamana hujan semakin berat, ramai menyangka ia membawa mudarat. Disebalik kejadian itu punya suatu isi tersirat, kerana tiada yang mampu untuk mengaggak, apakah rahsia disebalik semua ini.


Ramai berjaya mentafsirkan kejayaan itu pada siri episod kehidupan. Lihat saja bagaimana seorang pelari pecut 100m misalnya, berjaya memenangi pingat dalam kejohanan yang disertainya. Itulah kejayaan yang dicapainya. Namun bila ditanya, apakah si pelari tadi sudah puas dengan kejayaan itu, sudah tentu jiwanya akan sentiasa berazam untuk menjadi lebih hebat lagi. Oleh itu, hakikat kejayaan itu tiada kesudahan melainkan yang dinilai itu hanya pada juzuk keduniaan semata.


Jadi apa sebenar takrifan kejayaan. Jika dikaji suatu ketika dahulu, ummat Islam pernah menjadi sebuah tamadun yang paling unggul mengeluarkan manusia dari belengu kejahilan. Kejayaan disebalik semua itu bukan kerana hakikat kejayaan yang bersifat nisbi tapi menjangkaui nilai kebendaan dan keduniaan. Yang dikejar oleh mereka suatu ketika dahulu ialah pengabdian diri mereka sepenuhnya pada Allah dalam segala bidang yang diceburi. Bagi tokoh-tokoh pemikir agung di zaman itu telah wujud satu methodology disiplin ilmu yang begitu tinggi. Misalnya lihat saja tokoh-tokoh pemikir Islam, mereka bukan saja punya ketajaman pikiran yang tiada tolok bandingnya malah mereka juga menguasai pelbagai cabang ilmu yang sesuai untuk kehidupan sejagat.


Kejayaan itu sememangnya suatu benda yang abstrak. Apakah orang kampung yang punya kebun getah sekangkang tanah dikatakan kurang berjaya? Dari sudut pandangan Islam, kejayaan itu dinilai bilamana seorang muslim berjaya menemui apa yang dicari dalam hidupnya yakni kebenaran. Kebenaran itulah suatu yang dikatakan kejayaan. Bukan semua manusia mampu bertemu dengan kebenaran, dan bukan yang ada dihadapan kita dipanggil kebenaran. Hujahan dan data-data yang dikumpul mungkin masih belum cukup untuk dikatakan kebenaran kerana yang hadir dalam proses pencarian itu adalah ketentuan Allah swt. Oleh itu sebagai seorang muslim, tiada jalan pintas untuk ketemu dengan kebenaran apatah lagi nilai kejayaan itu tinggi harganya. Jangan kerana terlalu gopoh dalam pencarian kerana kelak akan jadi seperti ungkapan peribahasa yang disebut “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran,”


-selamat menghadapi peperiksaan buat semua sahabat di Monash University-



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)


HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Antara realiti dan ilusi

Indahnya lampu neon itu. Di segenap jalan ia bersinar, menerangi jalan yang dulunya kelam, tidak berturap, cacat seperti tiada yang mahu. Kini jalan yang dulunya kecil semakin membesar, diturap dan dibaiki secantiknya untuk keselesaan pengguna yang melaluinya. Redha. Semakin masa berlalu, diciptakan pula hiasan jalan yang besar itu dengan lampu neon jalanan yang mencantikkan pemandangan.



Saujana mata memandang, lihat saja keindahan jalan itu di malam hari. Masakan ramai yang ramai yang berani melaluinya takkala melihat ketenangan dan keindahan cahaya neon di sepanjang jalan. Sekali pandang, kelihatan seperti jambatan cahaya di malam hari menghubungkan manusia dari pelbagai destinasi. Ketenangan terpancar bukan kerana adanya lampu tapi lancarnya perjalanan ke destinasi idaman.



Indahnya pemandangan malam itu.



Namun, langit tidak selalunya cerah, lampu bisa rosak kalau dipasangkan terlalu lama, jalan bisa berlubang dibiarkan tanpa diturap dijaga. Lumrah alam, tiada yang mampu mengekalkan sifatnya. Kerana alam itu sendiri milik empunya segala hak. Dia yang menjadikan, mengekalkan dan memusnahkan segala yang ada. Siapa sangka, jalan yang gah diturap, bakal lusuh diluput zaman. Lampu neon yang terang, bakal padam, rosak di tengah-tengah jalan. Kerdilnya alam. Tiada yang dapat menafi, ‘keindahan’ jalan itu bukan disebabkan kerana adanya lampu neon disisi, tapi kerana hati diberikan ‘rasa’ untuk menghayati. ‘ketenangan’ bukan ditafsir melalui lancarnya perjalanan sambil melihat sinaran lampu yang terang, tapi kerana ‘rasa’ pada tenang itu yang telah hadir dalam diri.



Namun, kerana manusia gemar kepada ilusi, yang dikatakan itu hanya pada kukuhnya jalan, cantiknya lampu, indahnya pemandangan. Tanpa sedar, yang mengukuhkan jalan bukan dengan turapan tar yang banyak, tapi arkitek yang bijak mereka membina. Yang mencantikkan lampu bukan dengan cahaya yang dipancarkan, tapi hasil kreatif pereka yang halus jiwanya. Jadi jelas mengapa ramai yang masih melihat ilusi, gambaran kosong yang tidak punya nilai pada ‘pembuat’ semua itu. Yang dipuji hanyalah keindahan gambaran mata kasar yang tak punya kuasa. Kerana manusia itu sering lalai dan lupa. Yang disangka ‘yakin’ itu bukan pada hujah ilmu, tapi pada nilaian ‘rasa’ yang jadi ikutan sejak zaman berzaman. Apa bezanya?



Lihat sahaja pohonan mawar membunga, kembang mewangi menarik hati. Siapa yang tak sudi? Namun ramai membenci kerana disangka duri mawar tajam mencederakan diri. Aneh bukan. Kenapa perlu punya tanggapan begitu? Kerana manusia suka menilai berdasarkan perkara lalu bukan pada kajian dan nilaian ilmu. Andai pengetahuan dan ilmu itu jadi penentu, dipetik juga mawar membunga itu tanpa peduli duri yang tajam meyengat, kerana makna ‘cedera’ itu bukan pada luka tusukan duri tapi pada diri yang kerdil tak punya hati. Penyebab bagi semua itu sudah tentu milik mutlak Pemilik diri-diri manusiawi bukan pada duri yang tajam membela diri.



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Bulan Mengambang


(gambar pada malam ni- 5 june 2009)
bulan penuh kan....


Subhanallah, cantiknya ciptaan Allah. Dijadikan bulan itu penuh bercahaya pada malam ni. Apakah rahsia disebaliknya? Dijadikan ia seperti bulatan cahaya yang menerangi malam yang suram. Sudah tentu ia tidak akan mampu keseorangan kerana dibelakang punya matahari yang membakar diri. Kagumnya aku akan keteguhan matahari. Tidak kedekut dan juga sombong malah masih terus sedia berkongsi demi si bulan yang berada di sisi.



Ku tatapi wajahnya bulan. Biar pun tenang di mata, ku punya naluri ia resah dijiwa. Apakah masalah engkau wahai rembulan? Kau bimbangi dirimu hipokrik, kelihatan gah di tengah kegelapan, namun kau punya pinjaman pada matahari yang sentiasa di belakang. Atau mungkin kau bimbangi dirimu bakal kelam ditinggalkan dia yang sentiasa menaruh harapan?



Biar apapun dikata, renungilah dirimu yang punya perasaan. Bukan selemah itu yang ku jangkakan padamu bulan. Lihat sahaja kejadian dirimu, punya tarikan yang luar biasa anugerahnya. Tidakkah kau suka? Sedarkah engkau akan segalanya hanya milik Dia? Dijadikan dengan penuh bijaksana. Nilai mata kasar tidak seindah mata hati. Mata hati punya naluri yang sentiasa kuat pada keyakinan diri.

Jangan diukur nilaian kasar luaran sebaliknya renungilah ia dengan jiwa yang sentiasa mendahagai rahsia. Rahsia itu bukan jawaban bagi penilaian rupa tapi penjelasan bagi pertanyaan jiwa.



Ku tatapi manisnya bulan itu,

Laksana permata di celahan debu-debu,

Biar apapun yang engkau ragu,

Kau punya mereka yang sentiasa di belakangmu.



Ku lihat pungguk merenung si bulan,

Setia menanti bilakah malam,

Kerana pandangannya punya nilaian,

Agar si bulan gagah menerangi kegelapan



Sungguh cantik bulan pada malam ni. Apakah hanya aku disini yang dapat merasai? Atau mereka disana juga turut sedari. Bulan mengambang bukan selalu ditemui, hanya mereka yang punya hati selalu jumpai. Namun ku bimbangi, biar secantik mana pun bulan dipuji, tapi masih ada yang tidak mampu melihat keindahannya ini….kerana..(mungkin diri sendiri yang punya jawapan sendiri)


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

Blaming Others

Bila diri terasa mulia, segala disekeliling hina nestapa, membiarkan nafsu menguasai jiwa, menuturkan segala nista, membuatkan mereka yang khilaf terus berduka.

Apakah nilai sebuah hubungan pada kaca mata kita??

Akar persoalan yang bakal merungkai suatu rantingan dahan pada jiwa manusia.



Teringat saya pada suatu kata-kata, “kata ibarat pedang yang tajam bisa membunuh lawan”. (lirik lagu in-team rupanya).



Apakah kata itu bisa keluar tanpa penilaian akal semata, menghujah sesuatu tanpa sebarang nilai? Apakah kata itu seperti intonasi melodi jiwa yang mudah meminta maaf selepas menghujah tanpa sebarang faedah?

Apakah ia suatu yang boleh dijadikan nilaian dalaman diri mereka yang bergelar manusia?



Tidak dapat dibayangkan, apakah selama ini aku juga punya diri sedemikian? Menghujahkan sesuatu tanpa sebarang pengertian. Ku punya hati, ku punya perasaan..tapi lupakah aku akan mereka yang turut sama bergelar insan, dijadikan oleh Tuhan yang Maha Kuasa, diberikan juga jiwa dan perasaan?

Tidakkah kita lupa banyak hadis dan ayat-ayat Al-Quran menjelaskan betapa pentingnya nilai sebuah hubungan dalam agama Islam.

Lupakah kita pada hadis Nabi saw- “tidak beriman diantara kamu melainkan kamu mengasihi saudaramu seperti mana kamu mengasihi dirimu”. Begitu juga dalam hadis yang lain Rasulullah saw menganjurkan pada sahabatnya ucapkanlah “uhibukafillah” (aku cinta dan kasih pada mu kerana Allah) selagi punya masa dan waktu.(lebih kurang sama maksudnya)

Marah, sedih, kesal, duka bercampur duka- perasaan yang bermain dijiwa. Lihat saja anak-anak muda yang masih belum mengenal erti hidup, memilih jalan yang semakin tertutup. Dimanakah nilai dakwah dan tarbiyyah buat mereka yang punya rasa (daie)- untuk dipimpin adik2 yang masih muda, kembali ke jalan menuju Tuhan yang Maha Esa. Dimana lagi nilai kasih dan cinta andai kita benar mengimani hadis baginda.



Kekecewaan terus dilanda takkala didengari suatu kata dari mereka yang punya rasa- “tarbiyyah kita hanya untuk mereka yang betul2 ada fikrah, didik mereka supaya meneruskan dakwah kita”. Huh.. kata-kata yang ku kira sebagai laungan semangat tanpa ada nilai kefahaman dalam jiwa.

Wajarkah hukuman itu kita berikan buat mereka yang tiada kenal erti bahagia. Tercari-cari di mana letaknya makna dunia, kerana tiada yang cuba untuk mendekati mereka supaya kembali ke jalan yang punyai nilai hidup sejahtera.



Memang benar apa yang ku rasakan- manusia pantas menghukum jiwa, merendahkan nilaian manusia itu sendiri. Menghinakan mereka yang tidak ‘semulia’ mereka. Mengotorkan mereka yang tidak ‘sesuci’ mereka. Nilaian hanya pada kesedaran dakwah dan tarbiyyah tanpa disedari ketidakfaham diri akan maksud itu semua. Yang diyakini hanyalah slogan semata, tanpa pencerahan dalam jiwa yang semakin ganas menghukum jiwa-jiwa yang kelam.



Tampak runcing sekali permasalahan yang dihadapi manusia, bilamana sedikit demi sedikit kita berjaya dipecahbelahkan oleh nafsu dan syaitan, kita garap segala teori dan praktikal tapi kita lupa diri masih belum cukup ampuh untuk digerakkan tanpa DIa yang menguasai segalanya. Seringkali kealpaan mencengkam diri, bila dirasa sucinya ‘perjuangan’ ini. Pantas benar kita mengungkapkan kata, menafikan mereka yang hilang upaya. Apakah selama ini diskriminasi berlaku, bila dakwah dan tarbiyyah hanya pada mereka yang punya jiwa? Ya..kita semakin lupa benar, apakah laungan amar makruf nahi mungkar itu sudah kita hadam maksudnya. Kalau sudah, mengapa semakin manusia melaungkan jihad mungkar, semakin tinggi nilaian negatif dalam masyarakat?



Tidak faham ya?...

Baca pelan-pelan, kelak ketemu maksud di sebalik makna semua.



Nilai hubungan yang sepatutnya dinikmati oleh semua semakin terhakis oleh virus sombong dan bongkak dalam diri. Biar beratus kali diteguri, semakin hilang rasa kejahilan dalam diri, kerana dirasa sudah cukup ‘matang’ dalam menangani krisis. Apalah gunanya seruan dakwah tanpa makna. Apalah nilai sebuah hubungan andai penawar ‘respect’ dan rendah diri semakin terhakis. Enak saja kita mengungkapkan kata menyeru kepada yang ‘baik’ tapi memecahbelahkan jiwa yang ketandusan ‘unity’.



Manusia mudah saja menghukum, menilai dari kaca mata luaran, menafikan pandangan hati yang lebih suci, namun andai hati kelam mati, hilanglah upaya diri untuk menganalisis. Kata Prof Syed Muhammad Naquib Al-attas dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin (semakin dibaca, semakin ketagih untuk mencari nilai ‘faham’ yang diketengahkan, tunggu la cuti nanti, nk hadam buku al-attas lak, insyaAllah)– “ hati itu mengolah segala yang dilihat, akal mengarah kepada tindakan anggota” – mana mungkin lidah dan kata punya upaya tanpa dinilai dan ditafsirkan dalam hati dan difikirkan akal, mengarahkan tindakan dalam pelbagai keadaaan. Tampak kesinambungannya??



Bila mana diri tidak lagi dirasa punya entiti,

Segala yang ada dituruti membuta tuli,

Apakah nilai ‘pemuda’ pada masa kini, Bila dikaji dan diteliti,

Mereka punyai daya dan potensi,

Namun tiada yang peduli, pada mereka yang inginkan pencerahan diri.

Mengapa dilaung suara yang tinggi, tanpa kefahaman disisi.

Mengapa dirasa diri yang suci sedangkan hati kotor mati menidakkan mereka yang punya potensi,

Apa nilaian hubungan manusiawi, bila hakikatnya semakin dikaburi, laksana kabus yang semakin terus meliputi..

Carilah ‘diri’ dalam diri, kelak ketemu suara hati, yang semestinya mahukan suatu benda yang suci…

-semakin ku mencari kebenaran, kepahitan yang ditelan diganti dengan madu yang mengubat kesakitan-



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"