Bila hamparan mengkuang dibentang, duduklah disitu pencari damai yang tenang. Termenung memikirkan suatu kejadian alam yang luas terpampang. Barangkali akal panjangnya cuba mentafsir utaian kata guru-guru agung yang ditemui. Temunya ia bukan di alam realiti bukan jua alam mimpi, tapi hati yang sentiasa terbuka memohon agar ditemukan kebenaran hakiki. Barangkali Tuhan cuba berbicara dalam bahasa alus melalui perantaraan yang paling sukar diketahui, malah sukar juga ditafsir oleh dirinya yang telah lama menanti. Setiap yang berlaku itu ada rahmat disebaliknya, itulah yang ia yakini, meskipun pengajian agamanya tidak seberapa, hanya merantau ke beberapa buah negeri namun keyakinan itulah yang dipegangnya hingga hari ini.
Tanpa disedari, gerimis yang kian lama bergenang menitis membasahi pipi. Apa benar dia menangis? Disentuhnya pipi yang cantik dan gebu. Basah…
Semakin lama, semakin basah pipi yang gebu itu dihujani gerimis yang telah sekian lama tidak turun. Jika sebelum ini, tidak berani ia mengalirkan air mata biar setitis pun, kerana itu janjinya, agar dia menjadi seorang yang tabah. Namun Tuhan itu Maha Luas PengetahuanNya, setiap kekuatan insan, akhirnya tunduk pada kekuasaanNya.
Sekilas ia melihat kepulan awan dilangit, terpancar kalimah Allah yang cantik terbentuk, seumpama hiasan pemujuk jiwa yang mendung, indah terukir dalam kekemasan dari tangan ajaib yang ingin memujuk. Senyum dia sebentar. Apakah ini rahmat Tuhan padanya? Tika tangisan penuh penyesalan mengalir dalam jiwanya, disambut dengan pujukan halus dari hati yang putih mulus, dipandu pula oleh kebijaksanaa akal yang penuh dengan cahaya ilmu. Seketika, kembali ia meraung, menginsak-insak, menyesali apa yang terjadi sambil merintih, “Tuhan, disaat aku melakukan kemaksiatan, Kau biarkan aku lena dalam hanyutan pujukan syaitan, namun dengan rahmatMu, aku kembali padaMU. Bagaimana bisa aku menadah tangan memohon padaMu, sedangkan siapalah aku untuk Kau tunaikan permintaanku.”
Semakin lama, semakin ia hanyut dalam serakan doa seiring air mata taubat nasuha. Tiada siapa yang mendengari, melainkan empunya diri yang merasai. Bening, malam itu dia kembali menjadi dirinya, sebagai seorang pencinta Illahi, pencinta kebenaran, pencinta kasih sayang…benar, ia menjadi seorang Pencinta. Cinta yang sekian lama dilupakan, digapainya dengan penuh adab sopan, tidak mahu ia terlepas lagi. Keazamannya menggunung tinggi, agar dihatinya penuh dengan cahaya Illahi. Tiada saat ia berlengah lagi. Ditanam suatu hala tuju yang jitu dipacu dengan doa dan restu, mahu ia segera mencari Ilmu, semoga cahaya Illahi bersinar di kalbu..
Dalam kekabutan malam, ditambah bunyi alam yang menjadi alunan nada merdu penghisas kegelapan malam, ia kembali merenung, bertafakkur. Bertasbih mengucap syukur..biar malam dinihari ia hanyut dalam dakapan doa dan air mata, setulus hati yang luhur mencari ketenangan abadi jua kebahagiaan yang sekian lama dinanti.
P/s : Menyusuri liku-liku kehidupan manusia pelbagai, membawa si “dia” mencari erti kebahagiaan dalam duka yang dirasa oleh individu yang berbeza. Keasyikkan manusia dalam zon selesa akan menyempitkan dirinya dalam pencarian penuh makna dan rahsia. Seandai dihitung masa hidupnya didunia, setimpal mana kefahaman yang ada dibanding dengan keilmuan yang terjumpa. Selagi manusia punya derita, selagi itu rahmat Allah pada manusia sentiasa dipinta, kerana pada Dia sahaja kita dicipta. J