Kalau dah namanya “ular”

Tajuk kali ini agak kompleks kerana ianya kiasan pada suatu karakter yang berwajah manusia tapi berwatak ular. Pernah dengan suatu perumpamaan yang berbunyi, “Lidah bercabang seperti ular”? Kenapa lidah ular bercabang? Kerana mudah makan dua hidangan sekaligus, atau mudah mematuk dua mangsa dalam satu masa? Atau mungkin, suatu kata boleh jadi dua makna. Ataupun boleh jadi dua karakter dalam satu masa.


Hmm, yang lebih bahaya bila ular itu berwajah manusia. Rupa zahirnya manusia tapi karakternya ular. Dalam diam ia menyusur akar, bukan hanya jalan-jalan makan angin tapi sibuk mengitip mangsa yang terdampar. Tiba masanya, tanpa belas, ia melilit mangsanya sehingga lemas. Strategi yang menarik, kelihatan diam pada kaca mata zahir, tanpa sedar ia menunggu peluang untuk bertindak balas. Begitulah dunia yang ada pada hari ini. Jadilah sebaik manusia yang tiada dendam, tapi dalam diam ramai orang yang sibuk menyimpan perasaan. Inilah yang dinamakan sebagai hati yang sakit. Dalam kitab mukasyafatul qulub karya Imam Al-Ghazali, antara contoh sakit hati ialah dendam. Kita seronok melihat kejatuhan orang lain, pada masa yang sama kita menzahirkan senyuman tanpa sedar, hati membara menyimpan dendam.


Lihat bagaimana bahaya orang yang jahil sibuk mengejar yang namanya “perubahan” tapi tak pernah tahu apa yang hendak dirubahnya itu. “Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, tapi amal tanpa ilmu adalah sesat” – kesimpulannya mudah, kalau mahu merubah sesuatu biarlah tahu apa yang hendak dirubahnya dulu, belajar untuk merubah diri supaya jangan mudah menyimpan dendam. Jangan terus terjun tanpa persiapan. Bila mahu jalan mudah, mulalah jadi ular yang berwajah manusia.


Anehnya manusia ialah pada sikap. Hari ini kita boleh bertegur sapa beramah mesra, hari esok adakah mungkin kita serupa? Dunia ini penuh unik, setiap orang menilai apa yang dilakukannya itu tepat, tapi setepat manakah keputusan kita itu? Sudah ada hujah disebaliknya? Yakin? Seyakin manakah kita dalam menerima apa yang dipanggil “kebaikan”. Jangan mudah terjun pada kesimpulan, sebaiknya nilailah pada pangkal persoalan. Kepada yang berwatak ular, atau mahu cuba menjadi ular, jangan lupa ramai pemerhati-pemerhati luar yang lebih tajam pandangan setajam mata helang. Silap hari bulan esok kita pula yang jadi mangsa. J


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"

No comments: