Ilmu dan Amal ~ Dua Jiwa Dalam Satu Hati

Bicara bonda dalam wasiat buat anakanda tercinta, “pernikahan itu menyatukan dua jiwa dengan seribu perbezaan namun bertaut oleh suatu rasa,”. Begitulah jiwa ku kira dalam tajuk yang dinukilkan di sini. Ilmu dan amal, hakikat perbahasan agama, rahsia makna dalam dua laluan yang berbeza.


Ilmu itu suatu jalan cahaya yang terang memancar dalam kegelapan jiwa. Sifatnya yang terang bisa menjelaskan hakikat ma’na namun sesekali disiplin pancarannya kabur tak terjaga, ia bisa hilang tanpa sempat dirasa. Umpama alam indah teratur patuh kejadiaannya, begitulah ilmu yang sedia terjaga andai dipatuhi hukum hakamnya.


Bila aturan dilanggar oleh nafsu yang membara dek takkabur yang meresapi dalam dunia rohani, terhapuslah sudah keindahan pancaran abadi ~ Ilmu yang benar menuntun kita ke laluan Illahi. Kerana kata al-Imam Syafie dalam mutiara nasihatnya buat penduduk bumi, “Ilmu itu cahaya, tak akan ia hadir dalam jiwa yang gelap x bersinar,”.


Amal pula suatu penisbahan pada daya fahaman manusia. Andai ilmu diperolehi berkat membawa rahmat, maka amalan dijaga meredahi laluan manusia. Amal yang berkat, kunci pintu bahagia, biar berliku ia sukar dirasa, tapi oleh kerana berkatnya ilmu, ikhlasnya amal,kebahagiaan dijanji Tuhan buat mereka sedia dicabar.


Laluan hidup itu disatukan ia dalam dua cara berbeza. Andai beramal tanpa ilmu adalah sesat, berilmu tanpa amal adalah sia-sia. Tiada lagi rahsia ibadat yang dibuka dan diteroka andai ilmu dan amal berjalan seiring dan sekata. Jika Ilmu itu penerang jiwa, maka amal pula penambah cahaya muka.


Amalan jua punya aturan yang sudah dijaga. Ulama terkemuka sering berbicara, andai amalan hanya mencari kemuliaan dan kehormatan manusia, terhapuslah ia hingga tiada nilai semata. Rasul junjungan pula bersabda, ketakutan yang baginda sangat risaukan ialah amalan umatnya yang tercemar oleh rasa pujian manusia (riak).

Pasir Tumboh

12 Januari 2010


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

No comments: