Tiada kokokan kedengaran hari ini. Aneh sekali seolah-olah dunia terganggu fitrahnya yang semula jadi. Laksana pokok kelapa yang tumbuh di tanah paya berlecah, terapung-apung ia diikat pada batu pasir yang menimbus.
Selalunya dialah yang angkuh berbicara dalam bahasa haiwan yang tidak difahami. Kata-kata dusta dan nista terhijab oleh seni suaranya yang disangka merdu meluluhkan jiwa. Sekiranya ada yang cuba mencabar, ia bangkit menaikkan dada tanda angkuh akan kelebihan yang sementara malah mahal harganya yang perlu dibayar.
Kini, kokokan itu sepi membisu. Entahkan ada, entahkan tiada si empunya suara merdu. Hari ini dunia terasa asing bagi penduduk bumi yang mengenali peribadi diri. Msing-masing tertanya-tanya tanpa jawapan yang pasti. Masih tiada siapa yang mampu memberikan jawapan yang memuaskan hati.
Si jantan itu kini lebih suka termenung memikirkan diri. Kemegahan diagung dulu hanya cemuhan yang tinggal pada diri. Terdiam ia dengan sejuta persoalan alam tabii yang penuh rahsia yang tersendiri. Keinsafan kini benar-benar menyelimuti dirinya yang semakin keliru akan hakikat kebenaran hakiki.
Biar dipinggir dek masyarakat sekeliling, ia tiada peduli asalkan pencariannya menemui petunjuk yang pasti. Dia yang dahulunya gah berdiri memiliki kekuasaan yang tiada tandingan kini menjadi makhluk yang jijik senang dibuli. Kecantikan akan lusuh dimakan usia, kekayaan akan hilang ditelan zaman, manakala keturunan tiada yang pasti mendapat jaminan. Hanya hakikat kebenaran penyelamat kehidupan.
Air matanya mula menitis setitik demi setitik setelah lama ia berkurung dikunci pagar egois. Kelopaknya basah disirami air suci. Siapa sangka, keangkuhan seseorang akan tinduk bila petunjuk diperolehi. Rahmat tuhan suatu rahsia yang dicari tanpa boleh dibeli apatah lagi diganti. Melainkan dengan pengharapan yang tinggi mengucup matahari kerana Tuhan adalah Pemilik Tunggal alam semesta ini.
Pasir Tumboh,
15 Januari 2010
HAZABE
"SALAM UKHWAH"