Semakin hari berlalu, semakin diri sudah tiada punya waktu.
Bila mata tertutup rapat, hati dikunci mengenang masa lalu.
Terbayang noda-noda kehidupan yang berlaku,
Rasa diri sudah tiada yang mahu, geli dan jijik terbayang di situ.
Keliru…mencari jawapan yang jitu
Siapakah aku…siapakah aku..
Semakin dalam ku menyelam di lautan kehidupan,
Semakin hebat tekanan yang mendatang,
Bagai tiada diberi peluang..
Hanya semangat juang penerus perjalanan,
Membiarkan diri ditekan ujian,
Tanpa sedar diri hilang panduan
Apabila ujian dirasa semakin ringan,
Rasa bangga mendabik dada,
Dimana pula kunci kejayaan,
Andai hati sombong menguasai jiwa
Diterus juga perjalanan menuju lautan dasar,
Akhirnya ketemu mutiara indah terang memancar,
Menerangi hampir segenap lautan pudar,
Tak sia-sia penemuan sebuah perjalanan,
Mencari dasar meneroka kehidupan
Mutiara indah hanya mampu dipandang tanpa daya untuk memegang,
Apatah lagi hati teringin untuk memiliki,
Namun takdir Tuhan menguasai segala tindakan,
Ditinggalkannya dengan penuh harapan,
Supaya kembali menuntut janji suatu hari nanti.
Digagahi perjalanan panjang mencari Tuhan,
Tanpa berpaling, hati tekad mencari panduan,
Biar apa pun dikata orang, diri masih punya harapan,
Tika manusia lemas dalam khayalan, diri tenggelam dalam penghayatan kefahaman,
Semoga ditemukan sebuah kehidupan,
Yang tiada lagi mainan perasaan,
Tapi diyakini kebahagiaan yang berkekalan,
Permudahkanlah wahai Tuhan,
Semoga di sana, ku temui erti sebuah perjalanan
# sedalam mana berenang ke dasar lautan, diri mencari-cari dimana keindahan alam. Bisakah ditemui andai hati mati dalam khayalan keduniaan. Bila dirasa ditemui sebuah kebenaran, kekeliruan terjadi tanpa penghayatan mendalam, kabur dalam alam kepelbagaian pemikiran. Sejauh mana kita redha hakikat ujian Tuhan, yang menuntut sebuah pengorbanan dari setiap insan, untuk dinobatkan sebagai penghuni di kemuncak sebuah perjalanan.
Konsep reformis modernis yang kian rancak mewarnai pentas dakwah yang dislogankan pada gerakan islam di seluruh dunia memperlihatkan kedaifan yang tanpa sedar membelengu para aktivis khususnya para daie yang kian lupa apakah sebenar hakikat dakwah. Kerancakan menggunapakai istilah dan kata yang dibawa oleh golongan gerakan Islam suatu ketika dulu menjahilkan pemikiran dalam melihat makna sebenar apakah yang dimaksudkan padanya.
Siapa kata, dakwah perlu melalui tamrin, usrah, muqa’yam,mabid dan pelbagai istilah lain untuk tarbiyah? Istilah-istilah inilah yang akhirnya tidak mampu melahirkan outcome yang ideal dalam mencorak pemikiran sahsiah yang tulen bersepadu dengan kefahaman yang jitu dalam memperkasakan usaha dakwah. Kerancakan menggunapakai sistem yang diasaskan oleh gerakan Islam suatu masa dahulu tanpa nilai kritis dan hormat menjadikan para aktivis hanya mampu beretorik melaungkan slogan jihad tanpa fahami makna yang benar.
Berapa ramai yang mampu mengolah gerakan musuh islam yang telah lama mengkaji budaya dan pemikiran orang Islam sejak berkurun lamanya?Berapa ramai yang mampu hadir menjelaskan solusi berperingkat kearah kemantapan roh islamiah yang bersedia menghadapi serangan pemikiran musuh Islam? Apakah kita sudah bersedia dengan hanya merujuk pada satu dua hadis dan tafsiran Al-Quran untuk berhadapan dengannya? Apakah yang sebenarnya diperjuangkan oleh para aktivis Islam?
Slogan khilafah dan daurah Islamiah sering bergema. Apakah yang kita telah perlengkapkan pada diri dan masyarakat Islam untuk kearah itu? Cukupkah dengan hanya kesedaran tanpa hujahan ilmiah untuk menangkis pihak lawan? Dimana modul dan pelan tindakan sistem Islam yang disediakan untuk semuanya? Apakah tindakan yang drastik kearah pelaksanaan sistem Islam yang akan digunapakai tanpa melihat pada penerimaan masyarakat yang berbilang agama dan kepercayaan?
Sudah masanya para aktivis perlu menjadi intelektual. Bukan hanya berslogan tapi mampu mencerna idea-idea kritikal kearah usaha dakwah di semua peringkat. Bukankah Islam mengajar kita, sebelum menyerang pihak musuh, kena kaji kelemahan musuh dahulu?Sejauh mana keilmuan kita pada corak serangan musuh? Berapa banyak pemikiran yang telah kita kaji?
Hala tuju gerakan dakwah semakin hilang arah. Perbalahan merebut ahli, mencari kepentingan pada jemaah, memuja method yang ada, semuanya dicorak oleh pemikiran yang cetek. Dimana kekuatan kita? Lihat saja kejayaan musuh Islam. Saban hari berjaya dihilangkan rasa gerun pada mereka, nilai hormat dan kagum hilang dari jiwa mereka. Berapa ramai lagi jiwa yang akan dikorbankan? Tidak cukupkah apa yang berlaku di Ambon, Sri Lanka, India, Thai, dan yang terbaru di Uighur,China. Sedarlah..sedarlah..
Semakin banyak yang ditutur, semakin jauh dari landasan yang betul. Idealisme memperjuangkan Islam telah masing-masing tanamkan pada hati dan jiwa. Namun, idealisme dan semangat sahaja tidak cukup, ia perlu kepada suatu substances yang bersepadu dan menyeluruh. Kekuatan Islam bukan pada ramainya kuantiti tapi nilai kualiti yang bakal merencanakan kembali gerakan Islam yang syumul di semua peringkat. Kata ulama, “Umat Nabi Muhammad saw itu diberikan kekuatan bukan pada sifat zahirnya tapi pada rohnya,”- malangnya umat Islam hari ini semakin tiada ‘roh’ yang menjadi sumber kekuatan ummah.
Aktivisme perlu dihadam kembali maksudnya. Bukan hanya sibuk merancang program sebaliknya dihidangkan dengan satu latihan yang kritikal bagi membina insan kamil yang mampu bersifat rasional dan bukan hanya menurut emosi semata-mata. Dalam kekabutan mencari tafsiran, para penggerak ataupun aktivis Islam sepatutnya melihat sesuatu diluar dari kotak pemikiran yang bias agar diterjemahkan ia dalam bahasa yang jelas sesuai dengan tahap kefahaman seseorang insan agar hakikat makna istilah itu hadir didalam diri seseorang.
Aktivisme bukan hanya merujuk kepada makna kulit tapi menjangkaui makna disebaliknya. Ianya merupakan suatu usaha yang dinamik yang perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Usaha yang berterusan dan istiqamah kearah pembinaan insan baik dari segi jasmani, emosi dan rohani perlu sentiasa berlandaskan suatu aspek yang bersepadu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Pemisahan kepada dogma-dogma aliran menimbulkan kekeliruan kepada hakikat sebenar insan tersebut dan akhirnya usaha untuk melahirkan insan yang kamil yang memahami Islam secara syumul menemui kegagalan malah lebih parah ia menyumbang kepada kelahiran pemikiran yang keliru.
Oleh itu, aktivisme perlu dilengkapi dengan satu aspek yang dinamai dengan intelektualisme yang mampu merangsang usaha dakwah yang sebenar yakni membebaskan umat Islam daripada serangan pemikiran (ghuzwah al-fikr) yang sedang rancak digunapakai oleh musuh-musuh Islam. Intelektualisme bukan dinilai dengan ketinggian darjat dan pangkat master atau pHD seseorang individu tapi kearah pencerahan idea-idea yang kritis dan kreatif yang mampu menvariasikan usaha dakwah sesuai dengan pendekatan dan keperluan semasa dan tempatan.
Kesepaduan Intelektualisme dan aktivisme merupakan suatu sinar yang hanya dapat diperolehi oleh suatu pencerahan yang pada hakikatnya merupakan suatu asas dalam tindakan kita seharian iaitu dengan pembudayaan semula budaya Ilmu dalam kalangan masyarakat khusunya para daie dan aktivis Islam. Ilmu perlu diperlakukan dengan seadil-adilnya dan diletakkan ia pada suatu tempat yang sesuai dengan martabat ilmu tersebut agar ianya tidak hanya dipandang enteng atau disalahtafsirkan oleh pemikiran yang sempit yang akhirnya tindakan itu menyumbang kepada kekeliruan yang besar.
Dalam gerakan Islam sudah pasti, dua aspek ini sudah disebut-sebut. Namun hakikat kefahaman yang bias dan terpinggir tidak mampu menterjemahkannya dalam erti kata sebenar malah ianya akan menyumbang kepada suatu produk yang lemah dan tidak bersedia berdepan dengan serangan pemikiran yang sebenar. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap mereka yang bergelar daie agar memantapkan diri mereka dengan ilmu-ilmu yang sohih yang semestinya perlu mencari guru untuk dirujuk. Sistem pendidikan Islam suatu ketika dahulu perlu dikaji dan dihidupkan kembali dengan pendekatan yang sesuai pada alaf ini. Semoga masyakat tidak lagi letih berslogan kepada Islam tapi dilengkapi dengan dasar Ilmu yang mendalam dan bersedia ke arah sistem Islam yang syumul. Mudah-mudahan pencerahan itu kembali sebelum tiada lagi sumber cahaya dimuka bumi ini.
Selesai menamatkan peperiksaan final sem ke-2 Monash University bukan bermakna merdeka dari segala tangungjawab. Selagi nyawa di jasad, masa mendatang penuh ujian dan onar, tanggungjawab dipikul pinta untuk ditunai, itulah hakikat ketenangan tercabar.
Perjalanan ke Kelantan dan Terengganu benar menguji sabar dan redha. Pemergian yang bukan hanya lawatan kosong tapi penuh dengan matlamat yang menggunung. Beberapa SBP menjadi sasaran untuk berkongsi idea dan pemikiran, kerana di situ punca kekuatan, yang akan hadir sebagai pemimpin masa depan. Puji dan syukur pada Illahi, akhirnya dapat juga sampai ke destinasi yang dinanti, hanya dengan menunggang motorsikal wave 100 dari Kuala Terengganu ke Kelantan, segalanya tiba tanpa sebarang halangan.
Selesai tugas di negeri tersebut, masa pulang kian menghampiri. Masa bersama keluarga kian singkat, adik-adik senyum tawar tidak ceria, tanda belum puas bermanja dijiwa, tidak mampu melembutkan hati abangnya, akhirnya dia pergi jua.
Dalam perjalanan ke KL, singgah sebentar ke sekolah lama, MCKK. Slogan dan kata semangat kekal ia disana. Fiat Sapietia Virtus ku pegang hingga kini, tanda kecintaan manusia pada ilmu. Di situ pemimpin dilahirkan tapi ku bukan pemimpin, hanya manusia yang pinta untuk dipimpin. Cikgu-cikgu ditemui, senyum menyapa menyambut muridnya. Bangga. Namun andai dapat diputarkan masa, ingin saja kembali menerima tunjuk ajar. Selesai tugas ku disana, terus kembali ke Kuala Lumpur, menyiapkan tugas yang semakin berat untuk dipikul.
Tiba di Kuala Lumpur, agenda baru disusun diatur. Masa semakin singkat, cuti semakin pendek. Semester mendatang semakin rancak dengan kuliyah, masihkah ada masa? Mencari nilai hamba pada diri manusia…..tiada nikmat kejayaan tanpa pengorbanan.
(gambar-gambar sampingan semasa lawatan ke sbp)
(semasa beri pengenalan APIS dan kuliyah maghrib di SMS Tgku Mohd Faris Petra)
(bersama pimpinan pelajar SMS Machang)
(Bersama Ust Helmi, guru penasihat BANI dan adik2 BANI)
Si anak kecil itu menangis meraung menahan kesakitan. Sakit yang dialaminya kian kritikal. Kata doktor, hanya menunggu masa untuk dipanggil mengadap Tuhan Rabbul Alami. Hanya ubat penahan sakit yang mampu diberi.
Si ayah pelan-pelan mendekati si anak kecil itu, memujuk supaya berhenti menangis. Puas dipujuk si anak tidak henti-henti meraung, menahan sakit yang dialaminya. Si ayah terus memujuk lagi, kali ini dengan nada yang berbeza. “janganlah menangis, nanti sakit tu tak akan sembuh,” . Terkesan juga akhirnya akan si anak, kerana menyangka deritanya akan hilang. Namun tiada yang mampu menghalang andai ajal kian mendatang.
Selang beberapa lama, derita lama hilang selamanya, sakit ditahan buat penenang jiwa. Dia akhirnya pergi jua, tanpa perlu menangis lagi. Dia pergi tanpa setitis air mata pun kerana disangka akan sembuh suatu hari nanti agar dapat hidup normal bersama rakan seusianya.
Mengapa dihalang air mata si kecil itu menitis, menahan derita yang tiada pasti jangka masanya. Sehingga disaat akhir, dia tidak pernah menangis lagi kerana dia punya harapan, agar sakitnya hilang disapu dengan picisan semangat juang. Biar di sekeliling memandang hilang panduan, tapi dia kukuh menyimpan harapan. Akhirnya dia pergi tanpa tertunai segala impian, dipanggil menerima balasan di hari depan.