PERJUANGAN ANAK MUDA

Assalammua’alaikum wrt. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw yang telah menyebarluaskan rahmat ke sekalian alam dan sekalian makhluk. Puji dan syukur yang tak terhingga saya panjatkan kepada DIa, Tuhan Yang Maha Mengasihi kerana memberikan diri yang kerdil ini untuk terus bernafas di dalam kedaifan dan kekerdilan diri dalam memahami makna sebenar Kehambaan.

Pertama sekali, ampun dan maaf kerana telah lama blog ini tidak terisi kerana masa yang kurang dihormati dek diri yang sibuk sepanjang hari menyiapkan assignment yang tak pernah sudah-sudah diberi….mungkin inilah salah satu kejayaan pemikir barat yang menjadikan mahasiswa islam untuk menyibukkan diri dalam mengejar pencapaian yang terbaik dalam pelajaran sehingga kita sendiri terlupa akan makna sebenar kejayaan. Kejayaan yang hanya mampu ditakrifkan dalam minda pemikiran yang sempit dalam melihat kejayaan yang bersifat material. Mungkin jiwa kecil ini memberontak mencari makna sebenar kejayaan. Di sebalik pencarian itu, yang saya temui suatu hikmah yang besar, yang menjadikan diri ini sekerdil-kerdil makhluk untuk berasa bangga menjadi hamba ciptaan Allah swt.


Alhamdulillah begitu banyak sebenarnya untuk ditulis, tapi saya kira mungkin sedikit perkongsian dari saya untuk pembaca budiman. Apalah sangat penulisan saya ni, kalau nk dibandingkan dengan orang lain. Lumrah manusia memang suka membandingkan antara satu sama lain sehingga masalah yang kecil menjadi besar kerana sifat fanatism dan extremism yang tidak didasari dengan hikmah ilmu. Rasulullah saw sendiri bersabda, “barang siapa yang hendak berjaya di dunia hendaklah dia berilmu, dan barang siapa yang hendak berjaya di akhirat hendaklah dia berilmu dan barangsiapa yang hendak berjaya didunia dan di akhirat hendaklah dia berilmu,” . Saya kira begitu jelas sekali mengapa Rasulullah saw menekankan kehidupan berilmu dalam mencapai kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Hanya dengan ilmu, manusia mampu menjadi ‘manusia’ yang seperti mana disebutkan dalam al-Quran ,

”Tidakkah mereka berfikir tentang diri mereka. Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan barang di antara keduanya melainkan dengan sebenar (tidak sia-sia" (Ar-rum:8)” .



Jadi mengapa pula perlu mencari ilmu? Tak bolehkah kita hanya duduk beribadat kepada Allah siang dan malam? Kalau setakat ilmu tu, kenalah dapat pHD dulu baru faqih. Tak cukupkah kita belajar selama ini? adakah selama ini bukan dikira ilmu??? Huh, inilah beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh mereka yang masih lagi kabur dalam nk memahami makna sebenar hakikat Ilmu. Mungkin saya bukanlah orang yang faqih dalam bidang ini. Telah saya jelaskan, diri ini juga masih tercari-cari makna sbenar hakikat kejayaan. Kejayaan yang diseimbangkan dengan kehidupan dunia dan juga hari yang mendatang iaitu hari akhirat. Apabila ilmu dunia diseimbangkan dengan ilmu akhirat, segala tindak tanduk kita akan lebih jelas. Dari mana kita datang? Mengapa kita didatangkan? Kemana kita akan didatangkan? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dengan hujah ilmu. Andai kata ilmu itu hanya dipandang dalam kaca mata sempit, suatu ketika kita akan mula kembali berfikir apakah ini yang ku inginkan? Adakah ini yang ku mahukan? Apabila berlaku pemberontakan dalam jiwa, manusia mula kembali berfikir. Namun adakah masih sempat untuk kita mengundurkan masa memulakan kembali matlamat dan cita-cita kita? Dan pada ketika itu, suatu penyesalan yang tak kesudahan akan dihadapi oleh mereka yang kerugian.


Sahabat-sahabatku,


Masa masih lagi panjang buat mereka yang berjuang di jalan Allah. Yang memilih jalan untuk menjadi daie, yang mahu termasuk dalam golongan-golongan yang bersama-sama memperjuangkan agama Allah. Namun, perlu diingatkan, perjuangan berdasarkan semangat sahaja masih belum cukup, kerana suatu hari semangat akan hilang seperti gelombang lautan yang menggganas mengikut musim, tapi apabila perjuangan dilandaskan dengan dasar ilmu, ilmu tetap akan ‘bernyawa’ dan diteruskan dari suatu generasi ke suatu generasi. Namun, sebagai seorang daie, sifat keterbukaan perlu ada. Yang salah diteguri, yang kotor dibersihi, yang muda didekati, yang tua dirapati. Itulah hikmah. Setiap mad’u ada hikmah yang tersendiri. Rasa keterbukaan hanya akan dikawal oleh hikmah ilmu. Seperti kata-kata al hujjatul Islam Imam al-Ghazali, ‘Ilmu tanpa Amal adalah Gila, Amal tanpa Ilmu adalah sia-sia,’ . Keilmuan juga bukan dinilai dengan kaca mata akademik, tapi dengan pandangan hati. Sekiranya semua menganggap bahawa keilmuan itu adalah kecemerlangan akademik maka kita secara tak sedar telah menghina golongan-golongan bawahan. Masakan seorang petani itu tidak berilmu, jika dia berjaya mengerjakan kawasan tanamannya sehingga berhasil, masakan ‘mat rempit’ itu tak berilmu, jika dia mampu m ’outer’ motonya sampai boleh memecut di jalan raya. Nah, inilah salah satu kejayaan pemikit barat untuk memporak perandakan sosio budaya dalam kalangan masyarakat Islam, membeza-bezakan taraf gaya hidup dan kemajuan masyarakat dengan pandangan yang sempit.

Kejahilan yang terlalu banyak perlu ditangkis. Bukan atas dasar jemaah tapi atas dasar agama. Agama yang menuntut pengorbanan bagi mewujudkan kesatuan. Kejahilan yang disebabkan kita tidak cuba untuk mencari dan mengamati apa hakikat keilmuan. Sedangkan sejarah sendiri membuktikan daripada gagasan idea yang diasaskan oleh Iman al-Ghazali maka lahirnya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani selepas 2-3 abad yang telah mengasaskan suatu madrasah. Dan dari madrasah itu telah wujud alumni “Ghazali School of Thought” yang akhirnya lahirlah Syeikh Nuruddin al-Zinki daripada alumni tersebut yang menyumbang kepada kelahiran Sultan Salehuddin Al-Ayyubi yang berjaya membuka kembali kota BaitulMaqdis. Kejayaan yang sebenarnya disebabkan pada masa itu telah hadir kesedaran tentang budaya ilmu dalam semua bidang mengikut lunas-lunas dan syariat Islam. Hakikatnya,ilmu bukanlah suatu benda yang remeh tapi itulah yang menjadi batu asas kepada sebuah perjuangan. Semoga kita terus mencari ilmu dalam erti kata memperbaiki diri kita sendiri keluar daripada kepompong kejahilan yang dicorakkan oleh barat. Mudah-mudahan dari kesedaran itulah terbitnya sebuah masyarakat berilmu yang akan lahir daripadanya seorang lagi tokoh Sultan Salehuddin Al-ayubi yang kita semua nantikan.



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)

HAZABE
"SALAM UKHWAH"

No comments: