Ukhuwah dicari bukan untuk dimiliki bukan juga untuk dijual beli tapi untuk berkongsi dan sedia untuk memberi.
Muktamar PKPIM
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke atas Dia, Tuhan sekalian alam, yang berkuasa ke atas setiap makhluk di dunia ini, yang memberi kekuatan keatas hambaNya yang lemah ini untuk hadir buat kali pertama dalam sejarah hidup, ke Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM kali ke-47. Sememangnya pelbagai input dan mesej yang berguna yang saya dapat melalui muktamar pada kali ini. Biar pun dalam kekalutan membuat persediaan sebelum mid-semester, alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga hadir ke muktamar PKPIM yang diadakan di KISAS. Sudah tentu, kehadiran saya menjadi persoalan bagi sesebuah persatuan atau badan gabungan anak negeri (BGN) ke muktamar kali ini. Bagi keluarga besar PKPIM pusat sudah tentu nama APIS ( alumni pelajar Islam SBP) sudah sinonim dengan mereka. Biar apa pun ia, yang utama adalah betapa saya merasai begitu manis dan mesranya persaudaraan yang terjalin diantara rakan-rakan seakidah, sefikrah, yang semuanya mahu melihat bahawa syariat Islam tertegak di muka bumi ini. perhimpunan ini bukanlah suatu perhimpunan yang biasa tetapi menuntut hadirin yang hadir memuhasabah diri untuk memahami erti perjuangan yang sebenar, perjuangan yang menuntut kita ( pelajar Islam) berada di dalam organisasi yang memerlukan suatu sistem yang sistematik serta sentiasa melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Seperti biasa, berlaku beberapa perubahan dalam tampuk kepimpinan exco kanan PKPIM pusat yang menampakkan bahawa sebenarnya PKPIM sedang melangkau ke arah pembaikan sistem organisasi dan sekaligus cuba memberi yang terbaik dalam lapangan amal jamaie ini. sesungguhnya barulah terasa betapa masih banyak yang perlu saya tahu dalam kehidupan yang berorganisasi ini. Namun yang lebih utama, APIS kini kelihatan semakin relevan dan sudah tentu menuntut saya dan ahli qiadah yang lain untuk terus istiqamah dalam perjuangan ini. APIS bukanlah suatu gerakan Islam yang lain, yang jauh dari erti perjuangan yang sebenar, yang membawa idealisme yang baru ataupun parti gerakan yang baru, tetapi APIS adalah suatu wadah yang cuba menghimpunkan pelajar-pelajar semasa dan lepasan SBP untuk mewujudkan satu hubungan ukhwah antara mereka sekaligus memupuk rasa perihatin mereka kepada Islam. Namun ada yang memandang serong keatas penubuhan ini, namun biar apa pun ia, saya menganggap ia adalah cabaran bagi perjuangan ini. Tidaklah bernama perjuangan kalau tiada cabaran. Mungkin inilah masa dan ketika untuk mereka ( golongan penggerak gerakan Islam) terus berada dalam landasan ini, dan tidak ada masa untuk kita semua menoleh ke belakang menyesali tindakan yang lampau. Apa yang penting ialah matalamat kita, sejauh mana kita berada dilandasan yang betul, dalam erti kata yang lain, biar apa pun nama gerakan kita, selagi mana ia mempunyai matlamat yang betul, selagi itulah kita bersama di bawah satu panji dan satu angkatan, mudah-muadahan segala amalan kita diberkati oleh Allah..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment