Alhamdulillah, sekali lagi pena tajam menyentuh makalah. Pemikiran kritis kembali berjuang. Baru saja usai menulis catatan pertama, telah timbul suara-suara sumbang yang menggamit suasana. Kalau dahulu suara itu hanya bisikan halus yang berlalu begitu sahaja, tapi kini, ia menjadi topik hangat dalam setiap pertemuan. Ku kira, natijah pada penulisan ini ada pro dan kontranya. Namun kalau dilihat dari kebaikannya, banyak yang boleh diperkatakan. Namun kalau dilihat dari keburukannya, memang sukar untuk dinafikan kewujudan masalah utama iaitu ilmu.
Permulaan yang penuh konflik
Tidak sampai seminggu diletakkan dalam “Facebook”, kelihatan ia seperti ‘sparkplug’ yang menyebabkan mereka tidak duduk diam. Baik dari sudut kepimpinan mahupun yang menyokong dibelakang. Bagai cacing kepanasan; begitulah perumpamaan yang ingin ku gambarkan. Ada yang masuk menghentam tanpa usul periksa, dan ada yang menfitnah tanpa dipanggil berbincang. Yang aneh, tiada seorang pun wakil yang berani menjawab tentang penulisan tersebut. Apakah mereka tiada jawapan bagi semua itu? Atau mungkin, mereka hilang hujah untuk menegakkan benang yang basah? Apa pun, sudah dikatakan, ‘aura’ itu semakin hangat, malah bakal mencetus gelombang kesedaran pada mahasiswa-mahasiswa yang lain. Biar saja mahasiswa memainkan peranannya. Amanah yang disandarkan bukan kemegahan tapi ia adalah bebanan untuk berkhidmat. Mereka punya amanah atas pilihan mahasiswa, maka mahasiswa pula perlukan mereka untuk memberikan ‘nyawa’ pada universiti.
Pada perkiraan aku, kelihatan perjuangan mereka semata-mata atas nama ‘semangat’ tapi tiada tempat yang boleh dijadikan sandaran. Yang sana sibuk dengan program “kawan-kawan”, yang sini sibuk dengan perbincangan “baitulmuslim”. Di sana ada yang berbicara tentang “makan-makan” , disini sibuk dengan bicara “sayang-sayang”. Duhai, korupsi apa yang melanda universiti ini, tanpa ada yang serius memikirkan masa depan mahasiswa dan universiti. Universiti bukan hanya tempat persinggahan untuk mencari ‘lesen’ untuk bekerja, tapi ia adalah tempat untuk membina ‘manusia’, membina ‘insan’. Tapi apakan daya, barukan hendak mula memberi tahu, sudah dilabel dengan gelaran pelbagai. Permasalahan peribadi dijadikan umpatan, sedangkan sahabat-sahabat yang lain masih dahagakan pencerahan. Kematangan bagaimanakah yang mereka miliki. Baitulmuslim? Alhamdulillah, kalau sudah berfikir keaarah itu, namun amanah yang digalas dibahu bukan hanya mainan untuk berbangga berbuat tak tahu.
Ramai yang bertanya dalam diam atau terang, kenapa aku sibuk memikirkan persoalan ini dan itu. Namun jawapanku hanya satu, “Ku kasihi mereka kerana mereka tidak tahu”. Mereka tidak tahu, dimana sumber untuk dijadikan rujukan, mereka tidak tahu bagaimana layaknya sebuah madrasah ilmu, mereka tidak tahu bagaimana layaknya menjadi para pencinta ilmu, mereka tidak tahu bahawa semangat saja belum cukup untuk terus maju, mereka tidak tahu bahawa dunia ini perlukan mereka yang bermutu. Mereka tidak tahu, namun aku hadir untuk memberitahu.
Namun, ruangan apa lagi yang ku ada, selain daripada penulisan yang penuh dengan cetusan idea untuk memberitahu. Biarpun akan ada sebahagian yang akan mencela dan menfitnah, namun ku biar saja mereka dengan semangatnya yang sementara itu. Hairan dan aneh, bila pertama kali aku diraikan dalam perbincangan mereka, namun akhirnya aku disisihkan dalam keadaan yang tertanya-tanya. Dikatakan pula aku ni ‘pengcacai’ yang cuba merosakkan keadaan, malah tak kurang yang melabel dengan nama haiwan. Sungguh, kezaliman apa lagi yang mereka akan perjuangkan, sedangkan mahasiswa memerlukan mereka. Amanah yang digalas bukan nama semata-mata, tapi ada perjuangan yang perlu diselesaikan.
Bila Ukhuwah disandarkan pada manifestasi Jemaah
Keadaan yang lebih parah bakal merobek kasih sayang sesame muslim adalah apabila kasih sayang itu terhad pada perjuangan firqah. Apa makna ukhuwah bagi mereka agaknya? Kalau dilihat mereka yang bermaksiat itu, diberinya gelaran pelbagai, kalau dilihat mereka yang pandai berhujah itu, dijauhkan tak diambil kesempatan. Inikah ukhuwah yang dislogankan. Belum menyentuh bab yang sensitive lagi iaitu ‘usrah’. Nah, ini pun satu tamparan yang hebat lagi dasyat. Namun ku biarkan ia berlalu, takut-takut kebaikan yang ku inginkan, namun kejahatan yang penuh kebencian yang ku dapat. InshaAllah, akan dirungkaikan satu persatu kemudiaannya.
Ukhuwah adalah satu sandaran pada perjuangan panjang. Ukhuwah adalah sandaran pada idea masa depan. Ukhuwah adalah platform yang kekal bila engkau dijatuhkan. Mereka yang memimpin harus kembali menoleh kebelakang, adakah sesiapa pimpinan bawahan yang tiada mampu berjalan beriringan? Mereka yang memimpin harus jua tunduk kebawah, melihat orang bawah yang sukar mendaki keatas. Mereka yang memimpin harus jadikan ukhuwah sebagai tulang belakang perjuangan mereka, barulah kelihatan mahasiswa disini punya potensi untuk dibawa kehadapan. Perasaan ingin membantu dan meningkatkan kebolehan bersama adalah perjuangan ukhuwah. Perjuangan boleh sahaja dipolitikkan namun ukhuwah akan tetap mendampinginya.
Namun, keegoan mengaburi mata mereka. Mereka gagal melihat potensi pada sahabat yang lain. Mereka lebih suka mencari-cari keburukan dan mengaib-aibkan orang daripada mencari solusi masalah mahasiswa. Ego, kunci utama pintu permusuhan. Biarpun berkali-kali sandaran ukhuwah dijadikan perhubungan, namun ego telah membunuh semangat ukhuwah mereka. Mereka rela bergabung dengan kumpulan yang suatu ketika dahulu dilabelkan oleh mereka sebagai ‘liberal’ (tanpa mengetahui makna liberal) semata-mata untuk menjatuhkan orang yang membangkitkan kesedaran mahasiswa. Ya, liberal adalah label mereka pada orang-orang yang sukakan hiburan, sukakan ‘couple’ , tak suka usrah dan sebagainya tanpa mereka fahami makna liberal sebenar. Ini juga adalah kezaliman ilmu kerana tidak memahami intipati perbahasan liberal. Akhirnya, perjuangan suci tadi telah dinodai oleh perasaan fanatik dan ektrem pada mencapai matlamat, sehingga tiada lagi rupa agama pada perjuangan mereka.
Akhirnya, tiada apa lagi penambahbaikan yang berlaku, selain ‘menghapuskan’ mereka yang suka untuk ‘memberitahu’ supaya kebatilan akan tetap diperjuangkan meski kebenaran dihadapan mereka. ‘Keselesaan’ untuk memikul amanah akan tetap dipertahankan selagi mana amanah itu adalah umpama bebanan kecil bagi mereka. Tradisi akan terus diperturutkan, biar keselesaan itu masih ada. Inikah namanya perjuangan mahasiswa?
No comments:
Post a Comment