Segala puji dan syukur ke atas Allah SWT di atas segala nikmat yang begitu besar yang diberikan pada insan kerdil ini untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw yang telah menyebarkan cahaya kebenaran ke seluruh dunia, membawa rahmat ke sekalian alam.
Rasanya tidak cukup jika sambutan maulidur rasul hanya disambut dengan perarakan dan selawat puji-pujian kepada junjungan besar Rasulullah saw sebagai tanda memperingati kelahiran Rasulullah saw tanpa sebarang pengislahan yang berlaku dalam diri yang sentiasa bergelumang dengan nikmat-nikmat dunia yang indah. Hari ini, jika ditanya kembali, adakah benar-benar kita mencintai Rasulullah saw? Sudahkah kita beramal dengan apa yang diajarkan pada kita sepenuhnya? Adakah betul kita bakal menjadi umat nabi kita Muhammad saw yang mana di padang masyar nanti, kita berpeluang meneguk air disisi telaga kauthar yang disediakan untuk ummat Nabi Muhammad saw? Persoalan yang hanya persoalan untuk kita sama-sama mencari jalan pengislahan bukan semata-mata jawapan yang memenangkan hidupan seharian. Hmm, jawapan yang memenangkan kehidupan harian, apa maksudnya?
Apabila manusia meletakkan ilmu itu pada akal, tanpa memberi penekanan pada hati, membiarkan hati itu mencari-cari persoalan alami, membiarkan kosong tanpa diisi, lahirlah manusia yang hilang pertimbangan diri. Sungguh indah ciptaan Allah bagi makhluk bernama manusia. Diberikan akal untuk berfikir, diberikan hati untuk menghayati, diberikan jasad untuk bekerja. Tapi apabila hati mati, dek kerana kosong tanpa diisi, manusia alpa dan leka kerana syurga dunia yang dicari. Persoalan hati dijawab dengan hujah akal, kesannya..manusia pantas berkata-kata, berbicara tanpa makna, hakikatnya mereka menang sentiasa. Namun, Islam itu agama yang syumul, biar dihujani ribuan pertanyaan, semuanya dijawab dengan penuh sopan, Nabi sebagai perantaraan memberikan jawapan sehebat insan.
Sambutan maulidur Rasul bidaah? Huh..Apabila ego sudah menguasai diri, ilmu dipelajari sentiasa dibanggakan tanpa dalil-dalil akli dan nakli, sedangkan nabi juga menyambutnya setiap hari tanpa kita semua sedari. Apabila seorang sahabat bertanya pada Nabi Muhammad saw, kenapa baginda Rasulullah sentiasa berpuasa pada hari Isnin, lantas dijawab oleh Rasulullah, itu sebagai tanda kesyukuran ku kerana dilahirkan di muka bumi ini. lihatlah kita sentiasa berbicara berpandukan akal, tanpa hati pengiring panduan, hasilnya manusia hilang kesopanan dek diri yang jahil kerana kurang penghayatan.
Sesungguhnya, diantara rukun iman itu adalah kewajipan seorang muslim untuk beriman kepada rasul utusan Illahi. Andai satu rukun tidak ditepati, maka rosaklah segala amal dan budi. Keimanan yang menjadi teras kepada keutuhan jati diri, mengajar manusia supaya merendah diri. Sungguh manusia itu sering kali terlupa, hakikat diri dijadikan di bumi, kerana asyik mencari kepuasan hati, hilanglah pedoman hidup di dalam khayalan diri. Hakikat agama, ialah mengenal Illahi, Tuhan sekalian alam yang Maha Mengetahui. SEAWAL-AWAL AGAMA IALAH MENGENAL ALLAH. (awwaluddin ma’rifatullah) . Itulah hujah pertama yang saya dengar ketika mula-mula melangkah ke pusat tarbiyyah (pondok) agar sentiasa diberikan petunjuk supaya diri dekat pada yang Esa. Sungguh, sangatlah cetek ilmu yang diperolehi, untuk diri sentiasa berhati-hati agar sentiasa dibawah redha Illahi. Andai digunakan lautan sebagai tinta menulis segala ilmu di langit dan dibumi, maka akan habislah ia(lautan) sebelum sempat disenaraikan semua. Subhanallah, segala puji bagi Dia tuhan yang disembah.
Usai selepas saya berforum di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, terus saya pulang mengejar ceramah maulidurRasul di Masjid Taman TAR, Ampang, namun oleh kerana kesesakkan jalan yang menyebabkan saya dan rakan-rakan lewat sampai, tapi kami pergi juga biarpun seketika. Ramai ker? Sukar dibayangkan kerana begitu ramai yang datang sehinggakan sempat saya mengira berapa buah bas yang sampai, 5 BUAH BAS! (itu tak termasuk berapa puluh kereta yang datang.) Aduh, mungkin bukan rezeki kami menerima santapan rohani, namun kehadiran jemaah yang ada begitu manis dirasai. Jarang saya melihat sambutan yang sebegitu harmoni, yang kaya mudah disapa, yang miskin senang berbicara, anak muda mundar mundir menjalinkan persaudaraan, orang tua senyum petanda suka. Sungguh, inilah kali pertama saya melihat betapa tenangnya majlis ketika berada di situ, pendek kata semuanya umpama sebuah keluarga harmoni, terlalu asyik menimba ilmu ukhrawi, supaya diri sentiasa dijagai. Begitulah bayangan saya dapat gambarkan. Mungkin bukan rezeki saya untuk menerima santapan rohani yang sentiasa minta untuk diisi agar hati kenyang dalam mencari petunjuk Illahi. Tapi saya pasrah, mungkin itu bukan terakhir kali untuk sentiasa berada disamping mereka yang solehin, andai ada masa dan rezeki, dimana jua tetap bakal ku temui.
Buat sahabat-sahabat, bukan bermakna cinta andai kita masih lagi belum mampu mengenali Nabi kita Muhammad saw yang menjadi Habibullah (kekasih Allah). Adalah mustahil jika seseorang mengatakan dirinya mencintai seseorang yang belum dikenalinya selama ini tanpa melihatnya terlebih dahulu. Ketahuilah sahabatku, meskipun kita tidak pernah berjumpa dengan Rasullah saw, namun perasaan cinta tidak akan pernah terhapus selamanya selagi mana kita ikhlas dan sentiasa beriltizam untuk bersama meneruskan perjuangan Rasulullah, menyebarkan rahmat ke sekalian makhluk. Jadilah seorang ummat Nabi Muhammad saw yang mengimani segala sunnah Rasulullah dan kitab Allah, Al-Quranul karim, jangan kita lupa, tanpa seruan Nabi Muhammad, kita mungkin tidak dapat mengecapi nikmat yang kita miliki selama ini, iaitu nikmat Islam. Keyakinan yang kukuh, tunggak peribadi muslim yang utuh, bersatu menetang masyarakat yang runtuh, demi meningkatkan generasi muda yang bersatu teguh….bersama kita terapkan perasaan cinta kepada Rasulullah saw dalam diri kita semua.. huh, cinta?? nanti saya postkan tajuk Cinta untuk dikongsi bersama… salam pengislahan..
(Forum Di STAR, IPOH)
(di Masjid Taman TAR, Ampang)
(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE
"SALAM UKHWAH"
No comments:
Post a Comment