Antara Demokrasi dan Perebutan Kuasa

Sengaja saya bataskan perbincangan yang berkisar kepada aspek politik memandangkan hujah-hujah ilmiah itu selalu dipisahkan dengan pemerhatian politik. Tidak boleh tidak, biasness (berat sebelah) itu tetap berlaku bila pandangan tentang senario politik dihidangkan. Apa yang menyedihkan politik selaku alat untuk mewujudkan kesejahteraan rakyat telah merubah menjadi suatu senjata untuk melahirkan suasana yang agresif, sehingga memecahbelahkan kesatuan rakyat yang berbilang kaum.


Ramai orang politik mengatakan, “Yang kotor bukan politik, tetapi orangnya. Tokoh-tokoh politiklah yang mengotorkan politik.” Hal ini cukup jelas, meskipun dalam banyak bidang kehidupan yang bersih dalam dunia ini menjadi kotor disebabkan oleh tangan manusia. Politik sebagai suatu ‘alat’ telah disalahgunakan oleh orang ‘politik’ menyebabkan imej politik itu sentiasa tercalar. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam arena politik. Yang bersalah dilepaskan, yang jujur dihina, dipijak-pijak kejujurannya. Yang benar dikata salah, yang salah disokong membuta tanpa teguran.Kerana apa? Kerana matlamat telah menghalalkan cara. Tidak kira sama ada salah disisi undang-undang pentadbiran, atau salah disisi hokum agama, semua itu boleh diputarbelitkan demi mencapai matlamat yang ada.


Akhir sekali, wujud kesimpulan umum, bahawa Dunia Politik membuka banyak sekali kemungkinan untuk berbagai-bagai penyelewengan berlaku. Sehingga ada yang menyatakan, “ Kalau tidak sanggup menjadi oportunis, bermain kotor, dan menggunakan tipu helah, jangan cuba-cuba terjun ke dunia politik.”


Kalau di zaman dahulu, era penaklukan dan era “Siapa kuat, siapa berkuasa”, kekuasaan ditentukan oleh kekuatan ketenteraan. Kini, di zaman yang serba moden, kekuasaan ditentukan oleh wang dan tipu-helah politik. Sebagai contoh, dunia politik di Amerika, cukup terkenal dengan bermacam-macam skandal malah pembunuhan dan tembak-menembak bukan suatu perkara yang baru. Politik yang didasarkan dengan system demokrasi itu sudah menjadi suatu system perebutan kuasa dengan matlamat yang menghalalkan cara.


Saya juga percaya, ramai masih lagi ingat akan kisah perhambaan Negro, kisah pembunuhan Red Indian, dan perang saudara selama bertahun-tahun. Yang lebih mengaibkan, sejarah politik Amerika juga menceritakan beberapa Presidennya yang telah dibunuh. Pembunuhan Kennedy dua bersaudara, serta cubaan membunuh George Wallace, Gabenor Alabama yang menyebabkan beliau lumpuh seumur hidup dek hampir maut dimakan peluru membuktikan apa-apa saja bakal berlaku dalam system yang berstatus “Negara Demokrasi”.


Dalam konteks Negara kita hari ini, tidak kira perjuangan bangsa atau agama, semua itu bukan lagi menjadi mauduk utama yang meniti dibibir-bibir wakil rakyat. Yang utama, adalah membuka keaiban dan mencari jalan mengambil alih tampuk kekuasaan meskipun terpaksa menggunakan rakyat sebagai boneka perjuangan mereka. Disipilin Negara Berperlembagaan sudah tidak lagi menjadi batasan perjuangan politik. Yang ada hanya slogan retorik yang mendambakan perubahan tanpa berani meneroka isu-isu yang lebih merakyatkan kepimpinan sehingga ke akar umbi.


Politik tidak selamanya dapat ditegakkan atas dasar semangat. Rakyat tak akan selamanya dapat diajak mengambil bahagian secara aktif dalam politik dengan hanya mengoba-ngobarkan semangat. Makin lamaorang akan lupa pada perjuangan kebangsaan. Perjuangan agama. Perjuangan untuk mendatangkan kestabilan, kemakmuran, kemajuan. Dan makin lama, politik demokrasi yang diamalkan berubah menjadi politik perebutan kuasa tanpa ada lagi nilai-nilai agama, akhlak dan kemanusiaan. Kerana apa? Kerana “Kuasa” adalah capaian akhir matlamat kami.



Sebuah pemerhatian ringkas daripada senario politik berlatarbelakangkan Perspektif 1969-1979- Noor Azam



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"

Dakwah bukan untuk Jemaah, tetapi Jemaah adalah platform untuk berdakwah.

Saban waktu slogan taadud jemaah ini sudah lama dilupakan, kini ianya muncul kembali. Keupayaan dan wibawa para daie muda semakin terus dipersoalkan pada masa kini. Perebutan ahli sudah menjadi perkara biasa, tidak cukup dengan karenah memburukkan jemaah yang lain, ditambah pula dengan fitnah yang tiada sempadan yang dilontarkan. Apakah ini rupa sebenar jemaah Islam yang ada. Sebelum saya meneruskan penulisan, elok sangat sy terangkan terlebih dahulu, apa yang dimaksudkan dengan jemaah disini.


Jemaah yang dimaksudkan bukanlah dari sudut hakikat jamak kepada seluruh golongan muslim, TETAPI ia adalah suatu kumpulan manusia dan bersama-sama memperjuangkan agama menerusi wasilah dan metod yang diguna pakai dalam jemaah masing-masing. Dalam erti kata lain, jemaah yang ada adalah himpunan rasa kebersamaan dengan suatu entiti atau fikrah yang telah dibentuk (dalam konteks malaysia). Jadi apakah yang menjadi masalahnya disini?


Yang menjadi masalah bukanlah pada metod yang digunakan tetapi pada akhlak dan pemahaman seseorang dalam dunia Islam. Seringkali usrah-usrah yang ada, membincangkan pada kepentingan berjemaah. Tetapi sgt sedikit pula usrah-usrah yang membincangkan kepentingan peri penting pandangan alam islam (worldview of Islam), paham Ilmu, paham Keadilan dan sebagainya. Kenapa sedemikian naifnya jemaah yang ada pada hari ini? Adakah yang lebih utama dalam pembinaan negara bangsa itu bermula dengan pembentukan warganegara yang sempurna? Bagaimana pula dengan aspek pembinaan manusia yang sempurna?


Terbayang saya suatu hakikat sebuah jemaah yang suatu ketika dahulu penuh dengan nilai-nilai budaya ilmu, tetapi kini, hanyut diibawa oleh pemikiran politik sekular liberal yang telah menenggelamkan entiti utamanya selaku sebuah badan dakwah. Bukan hanya satu dua jemaah sahaja, boleh dikatakan hampir semua jemaah yang ada tidak lagi berada di dalam landasan perjuangan yang ilmiah, tetapi lebih kepada perjuangan semangat. Buktinya, kesinambungan para daie yang dibentuk pada peringkat sekolah, sehingga ke peringkat universiti terus hilang dan semakin kurang kualiti dalam menangani isu-isu semasa yang Intelektual. Jadi adakah dakwah yang dibawa itu semakin hilang fokus?


Jelas sekali slogan dakwah yang dibawa pada hari ini semakin hilang substancenya, yang ada hanya rupa zahir yang cantik yang akan pudar ditelan usia zaman. Tanpa kefahaman ilmu yang mantap, dan juga penafian pada keutamaan berguru telah menyebabkan arus dakwah yang ada pada hari ini semakin buta tanpa mengenali siapakah lawan dan siapakah kawan. Pembinaan negara Islam atau pun masyarakat Islam atau biah solehah bukan dengan pendekatan yang bersifat cebisan atau permukaan (surface) tetapi ianya memerlukan penglibatan ahli intelektual dan alim ulama dengan memberikan lebih banyak ruang-ruang wacana yang kritis kepada para daie muda atau para mahasiswa dan pelajar.


Berdakwah dengan substace tanpa metod adalah jumud dan beku, malah ia akan hanya membuahkan pengulangan.; ianya penting dalam hal-hal yang bersifat ritual seperti dalam ibadat puasa, haji dsb tetapi melemahkan dalam hal ehwal keilmuan. sosio-ekonomi, politik dsb.

Namun berdakwah dengan metod tanpa substance yang memadai akan merosakkan. Jika suatu gerakan dakwah boleh dikatakan sbg satu metod, yang berjuang habis-habisan untuk merealisasikan cita-cita gerakanya tanpa konsepsi Islam yang benar, maka kerosakan yang diakibatkan akan melebihi kemungkinan kebaikan yang diimpikan.

Metod tanpa substance yang memadai akan membuahkan fanatisme, fanatisme menghasilkan kezaliman.


Terus, apakah pilihan kita? Terus saja menyalahkan jemaah yang ada, lalu meninggalkan mereka. Atau mencari suatu alternatif untuk berwacana membuat perubahan secara lebih objektif dan bersedia melakukan perubahan.


Semoga Jemaah yang ada dapat bermuhasabah kembali, dan terus kembali kepada perjuangan murni kalian dalam memperjuankan agama Allah. Sumber epistimologi adalah suatu yang tidak boleh tidak harus dijadikan persoalan induk pada aspek perubahan yang dibahaskan disini.


Nukilan diatas adalah adaptasi daripada kertas kerja Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, "Beberapa Maslah dan Cabaran Intelegensia Muslim Malaysia Kini ! Satu Analisa Untuk Tindakan"


(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"