Mencari Diri

Puji dan syukur dirafa’kan pada Illahi kerana dengan izinNya, diberikan kekuatan dan ketabahan dalam diri untuk mencari ketenangan abadi dalam ruang lingkup manusia yang punya hasad dengki. Barangkali ujian itu hanyalah kifarah Illahi dalam perjuangan hidup di alam yang penuh liku dan duri. Bukanlah suatu keanehan melihat si ulat pantas menjadi bidadari terpuji menari-nari dengan warna warni pada anggota diri. Kerana yang menjadi sudah pasti tiada ganti, Dialah permulaan yang kekal abadi.

Sudah lama tidak bermadah kata, bermain bahasa indah mengukir cerita. Kata mereka yang sentiasa di sisi, dari seni bahasa terhasil kelembutan diri, mengolah memori silam meresapi sanubari. Lembut bukan bererti tidak punya kekuatan diri, tapi sebagai pembuka mata hati yang sudah lama mati. Ya Rabbi, entah apa yang ingin diceritakan disini, dalam alam maya yang sudah berhabuk tiada seri. Kekesalan terasa begitu dalam sekali, duhai, tiada lagi yang ingin dikongsi melainkan untuk kebaikan diri dan pembaca sekalian yang sudi menanti.

Ingin rasanya ku mulakan kembali seri ukhuwah bagi mereka yang memahami ‘risalah’ Nubuwwah. Ukhuwah itu bukan tampak pada kecantikan diri, tapi pada kesucian hati menyemai benih kasih sejati. Suatu ketika manusia mula memandang ke langit, dek terlalu tunduk menyembah bumi. Sembahan yang tiada erti, kerana yang dicari hanya kulat di kaki sedang di atas teguh berdiri, membentang luas si langit yang cantik terhiasi, seandai diri itu mampu menggapai, sudah pasti akan dipegangnya kuat sekali kerana disitu keikhlasan mula teruji.
‘Bumi’-simbolik pada kekerdilan manusia yang mengejar duniawi. Hakikatnya, semakin jauh ke dasar bumi, semakin kecil hidupan yang bersemadi.

“Langit”-simbolik pada keterbukaan mata hati, semakin tinggi kecintaan pada Illahi, semakin besar hidupan yang indah sedang menanti. ( seperti ku lihat bulan bintang yang berseri pada malam hari, andai ku hampirinya itu, sudah pasti saiznya berlipat ganda besar sekali )

Semanis-manis madu, masih tidak bisa mengecapi kemanisan ukhuwah yang jelas tiada tolok bandingnya. Ukhuwah terbina tanpa sebarang pra-syarat, jua bukan atas dasar demokrasi, tapi menuntut keikhlasan bicara diri, yang tiada lain, mencari redha Illahi. Ukhuwah jua bukan mainan janji manis minta dilunasi, bukan semata mencari teman berbudi, tapi kerana dia adalah ‘diri’ yang dijadikan Allah dengan sebaik-baik kejadian insani. Dialah diri yang tiada perlu ditambah atau dikurangkan, sebaliknya diterima sepenuh rela dan kecintaan, kerana barangkali, itulah perantaraan bagi manusia menjadi ‘hakikat’ diri.

Ukhuwah, suatu ungkapan mudah punya rahsia yang sukar diterjemah. Ukhuwah, penerus perjuangan Rasulullah, membawa risalah menyahut dakwah. Ukhuwah, rantaian cinta Allah pada kekasih agungNya, sehingga sampai pada ummah. Ukhuwah, falsafah lapuk yang ditinggal tanpa rasa payah, mencari ketinggian maruah, menggadai mahabbah. Ukhuwah, rahsia ketuhanan memancar indah. Ukhuwah, merimbun kasih Baginda Rasulullah pada amalan solehah. Ukhuwah, kurniaan nikmat Allah pada mereka yang rela bersusah payah.. kerana ‘Ukhuwah’ ku kasihi umatku melebihi diriku-(Baginda Saw)



(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"

1 comment:

Unknown said...

uhibbuka fillah.. ukhuwah abadan abada.