Ukhuwah dicari bukan untuk dimiliki bukan juga untuk dijual beli tapi untuk berkongsi dan sedia untuk memberi.
Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki
PEPATAH Arab menyebut, “masa itu ibarat pedang, kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita.” Itulah yang menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Kamaludin, 32. Walaupun berada di Bumi Para Anbia’ Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi beliau memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.
Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan pelajar yang ramai, sebaliknya anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian daripada ‘kulit ke kulit’.
Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal dari seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yemen, Dubai dan Sudan.
Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengambilnya sebagai anak angkat. Kesemua mereka memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia. Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki, kepada beliau.
“Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar ini memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.
Muhammad Fuad hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.
“Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi saya ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari.
“Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid,” kata Muhammad Fuad yang amat memuliakan kesemua gurunya.
Walaupun demikian, beliau diminta oleh rakan pelajar mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti. Anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam bahasa Arab pada tahun 1993 selepas setahun berada di Mesir.
Disiplin
Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata itu telah menghasilkan 115 kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli-ahli agama. Ia menjadi rujukan ulama tempatan dan luar negara.
Kitab-kitab tersebut ialah tiga kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 kitab karangan fikah, sembilan kitab karangan tasawuf, enam kitab karangan sirah, 10 kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.
Malah, Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan turut menulis 12 kitab bahasa Arab. Kitab Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari yang berkaitan ilmu hadis diterbitkan di Mesir. Kitab itu mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al-Azhar, Mesir seperti Profesor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir al-Quran al-Azhar.
Ketokohan anak muda ini bukan sahaja diperakui dalam negara. Beliau turut mendapat undangan berceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.
Menceritakan proses penulisan buku, Muhammad Fuad mensyaratkan dirinya menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.
“Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya,” katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.
Beliau, bagaimanapun, mengakui dirinya terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding muslim masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.
“Sebagai contoh, Ibn Shahin menulis 33,000 kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari menulis lebih 600 jilid kitab dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah mensyaratkan dirinya menulis setiap hari sebanyak 40 helai.
“Tanpa elektrik, komputer dan internet, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini. Justeru, tidak mustahil bagi kita yang memiliki segala-gala kemudahan itu untuk turut sama berbuat demikian,” katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Selepas pulang ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau ini membuka pondok pengajiannya seluas 0.2 hektar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17. Ketika itu beliau berusia 22 tahun.
Kini, penuntutnya semakin bertambah sehingga beliau memerlukan kawasan yang lebih besar. Maka kawasan kira-kira empat hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.
Usaha tersebut, bagaimanapun, menerima pelbagai tohmahan dan fitnah. Orang memfitnahnya mengatakannya membawa fahaman yang sesat.
“Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan kini masyarakat mulai dapat menerima usaha yang saya jalankan,” katanya.
Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.
“Saya tidak berasa tekanan. Saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya,” ujar beliau.
Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya daripada Pencipta.
“Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal; orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia; dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat,” katanya.
sumber : http://jomfaham.blogspot.com/2008/12/sheikh-muhammad-fuad-kamaluddin.html
Mencari Diri
Puji dan syukur dirafa’kan pada Illahi kerana dengan izinNya, diberikan kekuatan dan ketabahan dalam diri untuk mencari ketenangan abadi dalam ruang lingkup manusia yang punya hasad dengki. Barangkali ujian itu hanyalah kifarah Illahi dalam perjuangan hidup di alam yang penuh liku dan duri. Bukanlah suatu keanehan melihat si ulat pantas menjadi bidadari terpuji menari-nari dengan warna warni pada anggota diri. Kerana yang menjadi sudah pasti tiada ganti, Dialah permulaan yang kekal abadi.
Sudah lama tidak bermadah kata, bermain bahasa indah mengukir cerita. Kata mereka yang sentiasa di sisi, dari seni bahasa terhasil kelembutan diri, mengolah memori silam meresapi sanubari. Lembut bukan bererti tidak punya kekuatan diri, tapi sebagai pembuka mata hati yang sudah lama mati. Ya Rabbi, entah apa yang ingin diceritakan disini, dalam alam maya yang sudah berhabuk tiada seri. Kekesalan terasa begitu dalam sekali, duhai, tiada lagi yang ingin dikongsi melainkan untuk kebaikan diri dan pembaca sekalian yang sudi menanti.
Ingin rasanya ku mulakan kembali seri ukhuwah bagi mereka yang memahami ‘risalah’ Nubuwwah. Ukhuwah itu bukan tampak pada kecantikan diri, tapi pada kesucian hati menyemai benih kasih sejati. Suatu ketika manusia mula memandang ke langit, dek terlalu tunduk menyembah bumi. Sembahan yang tiada erti, kerana yang dicari hanya kulat di kaki sedang di atas teguh berdiri, membentang luas si langit yang cantik terhiasi, seandai diri itu mampu menggapai, sudah pasti akan dipegangnya kuat sekali kerana disitu keikhlasan mula teruji.
‘Bumi’-simbolik pada kekerdilan manusia yang mengejar duniawi. Hakikatnya, semakin jauh ke dasar bumi, semakin kecil hidupan yang bersemadi.
“Langit”-simbolik pada keterbukaan mata hati, semakin tinggi kecintaan pada Illahi, semakin besar hidupan yang indah sedang menanti. ( seperti ku lihat bulan bintang yang berseri pada malam hari, andai ku hampirinya itu, sudah pasti saiznya berlipat ganda besar sekali )
Semanis-manis madu, masih tidak bisa mengecapi kemanisan ukhuwah yang jelas tiada tolok bandingnya. Ukhuwah terbina tanpa sebarang pra-syarat, jua bukan atas dasar demokrasi, tapi menuntut keikhlasan bicara diri, yang tiada lain, mencari redha Illahi. Ukhuwah jua bukan mainan janji manis minta dilunasi, bukan semata mencari teman berbudi, tapi kerana dia adalah ‘diri’ yang dijadikan Allah dengan sebaik-baik kejadian insani. Dialah diri yang tiada perlu ditambah atau dikurangkan, sebaliknya diterima sepenuh rela dan kecintaan, kerana barangkali, itulah perantaraan bagi manusia menjadi ‘hakikat’ diri.
Ukhuwah, suatu ungkapan mudah punya rahsia yang sukar diterjemah. Ukhuwah, penerus perjuangan Rasulullah, membawa risalah menyahut dakwah. Ukhuwah, rantaian cinta Allah pada kekasih agungNya, sehingga sampai pada ummah. Ukhuwah, falsafah lapuk yang ditinggal tanpa rasa payah, mencari ketinggian maruah, menggadai mahabbah. Ukhuwah, rahsia ketuhanan memancar indah. Ukhuwah, merimbun kasih Baginda Rasulullah pada amalan solehah. Ukhuwah, kurniaan nikmat Allah pada mereka yang rela bersusah payah.. kerana ‘Ukhuwah’ ku kasihi umatku melebihi diriku-(Baginda Saw)
(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE"SALAM UKHWAH"
Subscribe to:
Posts (Atom)