Mayat-mayat hidup Universiti



Usai menghantar adik saya ke UIA, Gombak, kebetulan disitu berlansungnya majlis konvokesyen yang barangkali menjadi harapan setiap mahasiswa universiti untuk mengalami pengalaman sedemikian. Benar, bulan 9-10 adalah majlis konvokesyen yang diadakan hampir disemua institusi pengajian tinggi sama IPTA ataupun IPTS. Disitulah, 'janji-janji' seorang anak pada ibubapanya dilihat 'tertunai' rapi.

Dalam keghairahan orang lain menerima ijazah, saya tertanya-tanya dalam nada yang skeptik, "APAKAH NILAI SEGULUNG IJAZAH?" - Dek kerana, masakini saya sedang dilanda 'intellectual crisis' yang meletakkan saya pada posisi yang amat kritikal dalam semua hal, maka soalan ini saya simpan dan cuba mencari jawapan yang sepatutnya.

Sudah hampir 2 tahun saya belajar dalam suasana kampus universiti yang suatu ketika dahulu menjadi igauan setiap pelajar sekolah. Mana taknya, ia merupakan harapan utama ibubapa untuk melihat anaknya berjaya di menara gading. Kalau dulu, mungkin saya terlalu bersyukur kerana mendapat tempat belajar di sini (UniKL MFI), tapi kini saya terasa malu untuk dipanggil seorang 'mahasiswa' bila hakikatnya, universiti sebenarnya hanya sekadar 'kilang-kilang' pemprosesan produk mekanikal yang hanya perlu mengisi ruang-ruang kosong dalam industri yang ada di Malaysia.

Harapan untuk mempelajari ma'na kehidupan disesuaikan dengan fahaman agama dan akidah Islamiah, menjadi musnah, bila berlaku dikotomi dan dualisme antara agama dan cara hidup. Pendidikan sains terpisah sepenuhnya dengan agama. Yang menyedihkan, bila ramai yang membicarakan soal 'kegamaan' tapi beku pada soal 'pengislaman'. Saya sendiri pada mulanya terperangkap dengan slogan-slogan islamisasi sistem sosial disini. Namun, sudah sifat saya untuk sentiasa mengkaji dan menilai kembali kefahaman-kefahaman asing yang tidak mempunyai akar fahaman yang jelas dalam kehidupan.

Disini saya ingin kongsikan suatu artikel penulisan seorang teman dan juga salah seorang sumber utama yang mempertemukan saya dengan 'rangka intelektualism Islami', saudara Wan Ahmad Faysal @ Rausyanfikir yang juga merupakan graduan UTP dalam mengulas soal Universiti.



Sayyid Abul Ala Maududi (1903-1979)
"‘Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.

Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. Thedegrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life. 

I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses.’"


"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."





Mungkin, tidak ramai orang kita yang mengenali sosok pejuang Islam dari Pakistan ini. Sejarah telah mengukir betapa sosok ini berupaya berdiri sama tinggi dengan Imam Hassan Al Bana dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai Sistem Kehidupan di tanah air masing-masing.


Sayyid Abul Ala Maududi merupakan seorang pejuang, intelektual dan da'ie yang cukup disegani dalam abad ke-20. Namanya senantiasa meniti dibibir para pejuang Islam yang dahagakan tiupan semboyan daripada pemimpin sepertinya.


Beliau merupakan pengasas kepada Jamaat-e-Islami di Pakistan, sebuah gerakan Islam yang sama hebatnya dengan Ikhanul Muslimin dibawah Imam Hassan Al Bana.


Ungkapan yang tajam dan tersirat di atas merupakan salah satu ekspresi diri beliau terhadap realiti sistem pendidikan yang telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan semenjak zaman kolonial hinggalah ke hari ini.


Kenapa begitu teruk sekali pandangan beliau terhadap universiti? Adakah pengorbanan mahasiswa tidak bererti dalam menimba ilmu?


Persoalan ini akan terjawab jikalau kita bersikap kritikal dalam menilai sejarah dan impak yang tersirat didalam masyarakat.


Memang benar. Universiti telah menjadi pusat penyembelihan kepada anak-anak muda yang suci pemikirannya. Disinilah mereka dikelar mindanya, dipatahkan tulang kesedarannya dan digantung maruah mereka selaku pengubah masyarakat.


Para penyembelih yang terdiri daripada golongan aristokrat pendidikan telah mengupah manusia-manusia yang kelu untuk menyiat potensi minda perjuangan anak-anak muda ini. Diasingkan daripada realiti dan diangkat menjadi fantasi.


Itulah keadaan sebenar pada hari ini. Golongan mahasiswa sudah dicincang dengan lumat sehingga tidak dapat dikenali lagi sebagai seorang 'insan' yang berguna pada rakyatnya. Terkurung daripada cahaya kebenaran, mahasiswa akhirnya dibutakan dengan lambakkan makanan berupa sampah untuk dibuntalkan perut minda mereka agar tidak ada apa lagi yang perlu dipersoalkan.


Akhirnya, kegemukkan minda menghasilkan sifat kemalasan dan kepekaan kepada sekeliling menjadi pudar. Buta hati mula melingkar menusuk kalbu. Itulah mahasiswa. Hanyalah haiwan sembelihan buat golongan kapitalis yang menyedut darah merah yang segar daripada otak beku mereka.


Selagi mana golongan mahasiswa terpisah dengan realiti masyarakat, kehidupan yang sempit didalam kampus hanya mampu menjadikan mereka daging pejal buat golongan kapitalis yang saban hari menyediakan hidangan daging mentah buat umat manusia. Mungkin, inilah yang ingin cuba disampaikan oleh Pejuang Islam ini. Pendidikan warisan penjajah yang membunuh.

rujukan di disini


Hazabe al-Kelantani

Nilai sebuah Syahadah.

“Janganlah difikirkan bilakah kali pertama kita mengucapkan syahadah, sebaliknya renungilah sedalam-dalamnya dalam diri yang jahil ini, bilakah kali terakhir kita memerhati maksud syahadah” – 
Hazabe al-Kelantani.

Saya terpanggil menulis entri berkenaan erti sebuah syahadah yang barangkali terlalu remeh untuk dibincangkan dalam ‘usrah’ runcitan yang lebih gemar membahaskan kesedaran berdakwah dengan slogan ‘daulah Islamiah’. Apa yang pasti, asas kepada segala gerak kerja yang dihadapi pada hari ini merujuk kepada kefahaman kita pada ma’na syahadah tersebut. Meskipun terlalu rumit dan mendalam perbincangan yang dihujahkan oleh para ‘alim ‘ulama terdahulu dan ‘ulama masakini, namun ada beberapa konsepsi umum yang seharusnya dihadam dan dijazam’kan dalam hati.

Melihatkan beberapa konsepsi umum, suka untuk saya berkongsi apa yang disebut kalimah syahadah tersebut.

“Al-Syahadatain (dua kalimah syahadah) adalah merupakan lafaz yang wajib diketahui dan dii`tikadkan oleh setiap muslim. Ia juga merupakan lafaz yang wajib diucapkan oleh orang-orang kafir bagi melambangkan keislaman mereka.


Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Maksudnya: 

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.


Perhatian: Lafaz ashhadu (
أشهد) yakni “aku bersaksi” mengandungi tiga makna serentak iaitu:
1. (
أعلم) yakni “aku mengetahui”,
2. (
أعتقد) yakni “aku mempercayai” dan
3. (
أعترف) yakni “aku mengiktiraf”.

Inilah lafaz yang afdal dan paling sesuai bagi menjelaskan tuntutan iman dan Islam. Ini kerana setiap sesuatu pengakuan hendaklah didahului dengan kepercayaan, dan setiap kepercayaan pula hendaklah didahului dengan pengetahuan atau ilmu. Jika tidak, maka pengakuan dan kepercayaan itu adalah suatu pembohongan. Demikian juga jika seseorang itu tahu tentang kebenaran Islam tetapi tidak mahu mempercayai atau tidak mengakui kebenaran Islam, maka dia telah berdusta sebagaimana orang-orang Yahudi yang telahpun mengetahui kebenaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam,  namun disebabkan sikap degil dan bongkak mereka tidak mahu memperakui akan kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda sallallahu`alaihi wasallam
                                                                 Makna Kalimah Syahadah Pertama:

                                                                                 
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ                      

“Aku mengetahui (dengan menuntut ilmu), aku beri`tiqad (mempercayai) dengan hati tanpa dipaksa dan aku mengiktiraf (mengakui) dengan lidah bahawa tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya melainkan Allah Yang Maha Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal lagi Yang Sedia Ada, Yang Maha Hidup lagi Yang Maha tidak berhajat kepada yang lain dan Yang Maha Kekal lagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki oleh-Nya pasti tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan yang tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang suci dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”.

Ringkasan daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan (merujuk kepada) 20 sifat bagi Allah ta`ala iaitu: al-Wujud (ada), al-Qidam (sedia ada), al-Baqa’ (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith (bersalahan dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada makhluk), al-Wahdaniyyah (esa), al-Qudrah (berkuasa), al-Iradah (berhendak), al-`Ilm (mengetahui), al-Hayah (hidup), al-Sama` (mendengar), al-Basar (melihat) dan al-Kalam (berkata), Kaunuhu Qadiran (keadaan Allah ta`ala yang berkuasa), Kaunuhu Muridan (keadaan Allah ta`ala yang berkehendak), Kaunuhu `Aliman (keadaan Allah ta`ala yang mengetahui), Kaunuhu Hayyan (keadaan Allah ta`ala yang hidup), Kaunuhu Sami`an (keadaan Allah ta`ala yang mendengar), Kaunuhu Basiran (keadaan Allah ta`ala yang melihat), Kaunuhu Mutakalliman (keadaan Allah ta`ala yang berkata-kata).

Makna Kalimah Syahadah Kedua 

أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ     

“Aku mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa Muhammad ibn `Abdullah ibn `Abd al-Muttalib ibn Hashim ibn `Abdu Manaf al-Qurashi sallallahu`alaihi wasallam itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada semua makhluk. Selanjutnya, diikuti dengan iktikad dan keyakinan bahawa baginda telah diputerakan dan dibangkitkan sebagai seorang rasul (pesuruh Allah) di bumi Mekah, berhijrah ke bumi Madinah dan disemadikan di sana, baginda benar dalam semua perkara yang dikhabarkan dan disampaikannya daripada Allah iaitu mencakupi perkara-perkara yang telah berlaku, perkara-perkara yang akan berlaku dan perkara-perkara yang berhubung dengan hukum syariat. Antara perkara yang dikhabarkan itu ialah azab dan nikmat kubur, soalan dua malaikat Munkar dan Nakir, kebangkitan dari alam barzakh, perhimpunan di Mahsyar, kiamat, hisab, pahala, azab, neraca amalan, titian al-Sirat, neraka, kolam al-Hawd, syafaat, syurga, melihat Allah dengan mata kepala pada hari Akhirat tanpa kayfiyyat, tanpa bertempat dan ruang; iaitu tidak seperti makhluk dilihat, keberkekalan hamba-hamba Allah di dalam syurga dan neraka, keimanan dengan para malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan qada` dan qadar Allah iaitu yang baik dan yang buruknya, dan sesungguhnya baginda adalah penyudah segala nabi. [1]


Adapun didalah kitab I’tiqad Ahlus Sunnah wal Jama’ah, syarahan Al-Musnid, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, intipati kepada syahadah bukan semata-mata merujuk kepada terjemahan kalimah tersebut, tetapi berkait rapat pada kefahaman tentang ilmu ‘aqaid (aqidah/tauhid) yang merujuk kepada kepercayaan dan keimanan. Menurut al Fairuz Aabadi, aqidah ialah sesuatu yang diikat dan disimpul di dalam hati dan jiwa serta apa yang dipegang oleh seseorang sebagai agama dengan pegangan yang benar dan selamat dari sebarang keraguan. [2]

Oleh itu, aqidah didalam Islam, mestilah berkisar di sekitar perkara-perkara yang datang daripada wahyu, al-Quran dan Sunnar yang mutawatir. Selain dari sumber-sumber ini, bukanlah aqidah yang sebenar kerana tidak membuahkan keyakinan dan kepastian.

Dalam pandangan alam Islam, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas menerangkan dan menjelaskan ma’na ‘agama’ sebagai, “ …agama itu berasas pada Tanzil daripada Tuhan kepada insan yang dilangsungkan dengan perantaraan wahyu yang diturunkan olehNya kepada nabi atau rasulNya (Muhammad saw)bagi anutan segenap manusia.[3]

Justeru, bila kita membicarakan soal kalimah syahadah, secara tak langsung ia mencakupi perbahasan ‘aqidah, makna sebenar ‘agama’ dan tindak balas kita pada pengakuan ‘aqidah’ tersebut. Dalam kata lain, perbuatan hamba itu mesti selaras dengan tuntutan agama. Seandainya kefahaman pada asas-asas agama ini tidak cukup kuat, ia bakal menimbulkan bibit-bibit keghairahan bermusim dan melahirkan unsur-unsur ekstrimism dalam kehidupan beragama malah ia juga akan menganggu gugat ma’na sebenar kehidupan seorang insan.

Satu lagi tema yang mungkin boleh diketengahkan, apakah bentuk ajaran aqidah yang sesuai dengan senario masakini? Perlu diingatkan, bahawa yang berubah adalah ‘keadaan’ dan bukannya agama itu sendiri. Dan perubahan ‘keadaan’ menuntut kepada perubahan metod atau teknik pengajaran kepada ilmu aqidah bukan kepada ‘perubahan’ pada intipati agama itu.

Apa yang mesti difahami disini, ramai menyangka mereka sudah cukup faqih dengan ilmu agama yang ada, dengan hujahnya, cukuplah baginya belajar fardu ayn di sekolah-sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah beraliran agama dan sebagainya. 


Keadaan inilah yang menimbulkan kerunsingan bahawa kefahaman ‘aqidah’ yang tepu dan tidak berkembang selari dengan cabaran semasa, memaksa kita, generasi belia keliru dengan asas-asas aqidah yang sebenar. Apatah lagi bila dihujani dengan pandangan-pandangan alam yang diluar daripada kerangka Islam yang tulen.  Dan bila dihujahkan ilmu aqidah yang ‘berkembang’- penulis tidak bermaksud bahawa aqidah itu perlu berlaku transformasi daripada yang lalu (tidak berkembang) kepada kini (yang berkembang). Sebaliknya, penulis berpendapat, aqidah itu perlu difahami secara mendalam, dengan perbahasan-perbahasan yang lebih mencabar sifatnya yang merujuk kepada ‘perkembangan’ bentuk serangan pemikiran yang semakin serius dilancarkan daripada Barat.

Didalam sejarah tradisi ilmuan Islam sendiri, misalnya Imam Al-Ghazali yang dikenali sebagai Hujjatul Islami turut merangka dan memperkemaskan kembali aqidah umat Islam dengan perbahasan-perbahasan yang menjawab balik persoalan-persoalan yang ditanya oleh ahli falsafah yunani yang jelas bakal mengelirukan umat Islam seandainya tiada upaya memahami akar fahaman agama yang jelas.

Dalam hal ini, seharusnya, kita dapat membezakan apakah intipati aqidah yang tulen yang apakah intipati aqidah yang bercampur aduk. Justeru, mengenal pasti perbezaan ini, tidak dapat tidak, perlu merujuk kepada para guru yang mursyid yang faqih dan diberikan tauliah untuk mendidik dan menyampaikan ajaran agama.

Imam Ibn Sirin berkata, “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama mu”.[1]

Sebab itu, bila ditanya, tidak cukupkah kami berusaha untuk membangunkan ummah dengan cara ini (dakwah). Maka jawabnya, belum cukup, selagi belum mantap aqidahnya.

Dalam hal ini, perlu difahami, dalam maratib ilmu, ilmu usuluddin (‘aqai’d/tauhid) adalah yang paling utama, malah yang paling asas yang perlu difahami secara tuntas dengan bantuan daripada guru-guru yang mursyid dan bukannya daripada naqib atau naqibah yang diragui kefahamannya. Seboleh-bolehnya, ilmu agama perlu ditalaqi dan dibahaskan dari kulit ke kulit dan dihadam maksudnya.

Bila dihujahkan bahawa, tidakkah itu akan melambatkan proses dakwah? Dijawabnya, jalan itu lebih selamat dan lebih diyakini daripada berdakwah tanpa kefahaman yang jelas, malah keghairahan yang didasari atas ‘semangat’ semata-mata tidak cukup utuh untuk merubah ummat.

Dalam sejarah peradaban Islam sendiri membuktikan, dengan asas kefahaman aqidah yang mantap mampu melahirkan sebuah peradaban Islam yang digeruni dan disegani oleh seluruh pelusok dunia. Sejarah pembukaan kota BaitulMaqdis oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi misalnya, membuktikan, kefahaman aqidah yang mantap mampu melahirkan pemimpin dan tentera yang berjaya mengembalikan BaitulMaqdis ke tangan orang Islam.

Semoga penulisan ini memberi manfaat dan iktibar kepada semua penggerak dakwah, supaya bukan sedikit impak yang bakal dihadapi oleh umat Muslimin dengan kefahaman aqidah yang keliru, malah sejarah juga membuktikan, aqidah yang keliru bakal menjadi barah yang menunggu masa untuk memecahbelahkan umat manusia pada hari ini.

Rujukan :

[2] Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, Risalah Tauhid I’tiqad Ahli Sunnah wal Jama’ah
[3] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, m/s28-29 
[4] Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, Risalah Tauhid I’tiqad Ahli Sunnah wal Jama’ah 



Hazabe al-Kelantani

Universiti Semakin Ketandusan Idea


Universiti kita ketandusan idea

PENGUMUMAN THE World University Ranking 2010-2011 dengan data yang dibekalkan oleh Thomson Reuters baru-baru menunjukkan kedudukan universiti-universiti tempatan tidak memberangsangkan. Sepuluh universiti terbaik di dunia sekali lagi didominasi oleh Amerika Syarikat dan Britain.

Tamadun Eropah, khususnya suku Anglo-Saxon mendahului kecemerlangan universiti dengan Harvard University di tempat yang teratas, diikuti California Institute of Technology di tempat kedua, Massachussetts Institute of Technology (3), Stanford University (4), Princeton University (5), University of Cambridge dan University of Oxford (masing-masing 6) University of California, Berkeley (8), Imperial College, London (9) dan Yale University (10). Tidak ada universiti Malaysia berjaya menduduki tempat 200 pertama.

Korpus ilmu yang yang tersimpan dan dijana oleh pusat metropolitan Barat tiada tandingannya. Apakah kita masih berhasrat bersaing dalam penarafan Universiti Times Higher Education (THE) ini? Ada kalangan mengatakan bahawa kaedah yang digunakan itu tidak mengambil kira keadaan negara dan misi universiti di dunia bukan Barat.
Ada juga pemimpin universiti tempatan menyatakan mereka akan memperbaiki proses dan perjalanan universiti. Siapa tidak bangga melihat universitinya menduduki tempat teratas? Dan kenapa sedih jika itu tidak berlaku?

Di sini, saya ingin menimbulkan sebahagian yang wujud di kalangan universiti-universiti global tersebut, dan apa yang menjadikan mereka 'global.' Salah satunya ialah institusi-institusi pengajian tinggi seperti Harvard University, Yale University, University of Oxford, University of Cambridge dan Massachussetts Institute of Technology telah mengekalkan dan memperkasakan kecemerlangan bidang-bidang sains sosial, dan ilmu kemanusiaan, termasuk falsafah.
Sedangkan universiti-universiti di Malaysia mengenepikan dan mengabaikan pengajian tersebut. Malah di antara kira-kira 60 buah universiti di Malaysia, kurang dari lima mempunyai Jabatan/Bahagian Sejarah; dan tiada ada Jabatan Falsafah. Jika begitu keadaannya, bagaimana dapat kita mengajar pelajar kita berfikir dan bersoal; bagaimana dapat ahli akademik kita melahirkan keaslian pemikiran dan idea?

Universiti-universiti di Malaysia ketandusan idea dan saluran penebaran idea tersebut, walaupun ada yang mempunyai penerbitan universiti masing-masing.

Kita ambil satu contoh iaitu penerbitan ilmu oleh Massachusettes Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat. MIT mempunyai School of Humanities, Arts and Social Sciences dengan mengendalikan 22 disiplin, projek, dan bidang pengajian penyelidikan. Antara bidang-bidang yang ditawarkan ialah Sejarah, Falsafah, Ekonomi, Penulisan dan Kajian Humanistik, Media Perbandingan dan Pengajian Antarabangsa.

MIT mempunyai penerbitannya sendiri yang diasaskan pada 1926 apabila ia memulakan penerbitan siri syarahan dari seorang pemenang Hadiah Nobel. Bahagian penerbitan jurnal akademik ditambah pada 1968. Setakat ini, ia telah menerbitkan lebih 10,000 tajuk buku, dengan lebih 200 tajuk buku dan 40 tajuk jurnal setiap tahun.

Walaupun jumlah tersebut nampaknya tidak menakjubkan, nilai korpus ilmu yang diterbitkan itu telah mempengaruhi pemikiran tamadun moden. Lihat saja katalog MIT Press serta kritikan dan ulasan buku-buku tersebut di seluruh dunia.

MIT Press khususnya menerbitkan buku dalam bidang-bidang Seni dan Senibina, Sains Kognitif, Ekonomi, Media Baru dan Sains, Teknologi dan Masyarakat. Tajuk-tajuk jurnal yang diterbitkannya berbunyi seperti Asian Economic Papers, Daedalus, Innovations, Journal of Cold War Studies, Journal of Interdisciplinary History, Leonardo, Leonardo Music Journal, Linguistic Inquiry, dan Perspectives on Science.

Walaupun 10 universiti terunggul itu mempunyai sejarah dan asal-usul yang berbeza, namun tunjang mereka ialah penerbitan dan kegunaan ilmu, pemikiran dan kemahiran bagi penerokaan alam-alam yang wujud, menangani dan menyelesaikan masalah-masalah kemanusiaan dan peningkatan taraf hidup.

Saya bukan mengandaikan bahawa kita tidak mempunyai falsafah sedemikian, tetapi kesedaran, iltizam dan keupayaan kita menyedari falsafah sedemikian tidak terlihat dalam wacana-wacana yang sepatutnya terbit dari universiti-universiti tempatan.

Saya khuatir, sindrom pemikiran tertawan telah menguasai masyarakat universiti kita. Pemikiran tertawan berlawanan dengan kreativiti, inovasi dan menungan. Ia disifatkan sebagai satu cara berfikir yang imitatif dan tidak kritikal.

Sebenarnya, pemikiran tertawan mengandaikan bahawa senarai universiti yang terbaik di dunia mencerminkan pengukuran dan kebenaran apa yang dilakukan oleh institusi pengajian tinggi. Jawapannya sekali gus 'ya' dan 'tidak.'

Bukan mudah mendapat akses kepada pengendalian sesebuah universiti itu. Sudah tentu kita telah mencerap seni bina dan persekitaran fizikal institusi pengajian tinggi di Barat. Mereka dari kalangan pemimpin universiti, profesor dan pembuat dasar juga telah melawat lalu berinteraksi dengan pemimpin 10 universiti terunggul itu. Ramai juga yang belajar di sana. Apa yang kita telah ketahui dan apa yang tidak kita ketahui?

Mungkin kita hanya mengukur kualiti seseorang ahli akademik itu berdasarkan kuantiti penyelidikan dan penerbitan, serta jumlah paten. Universiti kini menggunakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dalam mengukur kemajuannya menjurus kepada hasrat disenaraikan pada kedudukan yang paling tinggi, 10 atau 100 pertama.

KPI adalah satu pendekatan pengukuran penerbitan intelektual yang mengekang dan membantutkan perkembangan bidang-bidang Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan itu sendiri. Ia membunuh pemikiran dan kreativiti.

Sarjana dan budiman di universiti dihimpit oleh universiti yang berfungsi sebagai kilang, dengan persekitaran dan iklim di kampus tidak ubah seperti persekitaran di kilang. Universiti bukan kilang dan ahli akademik bukan operator kilang yang terpaksa memenuhi sasaran setiap hari.

Ahli akademik tidak bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Ahli akademik bekerja 24 jam sehari. Penyelidikan dan penulisan tidak bermula atau berakhir pada sesuatu waktu yang ditetapkan. Imajinasi sosiologis dan kreativiti merentasi jam waktu.

Nilai-nilai dan amalan kini tidak memupuk hasrat menjadikan universiti-universiti kita terunggul di dunia. Istilah 'prestasi' tidak wujud dalam persekitaran universiti. Profesion akademik tidak memerlukan konsep 'prestasi.' Nilai kesarjanaan diukur dengan nombor dan kuantiti. Apakah keupayaan dan hikmah dalam menilai kesarjanaan itu telah luntur di kalangan profesor dan ahli akademik universiti tempatan sehinggakan boleh diibaratkan bahawa telah tidak ada lagi jauhari yang mengenal manikam? Apakah kesarjanaan telah terhakis dari sistem universiti kita?

Saya perhatikan dalam keghairahan kita menerbit jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data Thomson Reuters (dulunya ISI) dan Scopus, kita mengabaikan keaslian ilmu itu sendiri dan media penerbitan ilmu. Jika seseorang pensyarah atau sekumpulan akademik ingin memulakan sebuah jurnal dan mengharapkan artikel yang misalnya mencetus idea-idea dan wacana alternatif, hasrat itu tidak mungkin kesampaian.

Persoalan yang akan ditimbulkan ialah apakah guna menyokong dan menerbit artikel ke jurnal tersebut kerana ia tidak disenaraikan dalam pangkalan-pangkalan data yang diterima. Sikap para pensyarah kini ialah menerbitkan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data bagi memenuhi KPI bertujuan kenaikan gaji dan pangkat. Keikhlasan dicemari oleh sasaran yang ditetapkan.

Apakah akan terjadi kepada pertumbuhan kesarjanaan di Malaysia jika iltizam dan keikhlasan menerbitkan ilmu itu tidak diiktiraf? Dan tumpuan kepada jurnal-jurnal tersebut telah membentuk para pensyarah sebagai pekerja yang tidak berfikir dan tidak berupaya berfikir merentasi wacana.

Tidak ada istilah mengasaskan idea besar dan pemikiran agung. Keaslian ilmu dibantut. Tanpa berfikiran kritis, kita tidak dapat mencetuskan pemikiran dan idea asli. Ramai di antara pensyarah universiti hanya menggunakan teori, konsep dan andaian yang ada seolah-olah ia seperti dogma seolah ia bebas dari konteks sejarah, tamadun, budaya dan politik. Keadaan ini merentasi semua bidang pengajian daripada Sains, Teknologi dan Kejuruteraan sehinggalah kepada Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan.

Apakah ini boleh disebut sebagai kelompongan pemikiran? Kita tidak juga berusaha membincang dan mengkritik idea-idea asal dan gagasan-gagasan besar. Jika kita masih berhasrat menjadi universiti global, kita perlu belajar satu lagi dari 10 universiti yang tersenarai itu. Semua universiti tersebut mempunyai Jabatan Falsafah yang mantap. Itulah pemikiran yang melonjak tamadun Barat ke tahap yang ada sekarang ini.

A. Murad Merican
Profesor Ilmu Kemanusiaan
Universiti Teknologi Petronas


Petikan ini diambil daripada salah seorang teman pemikir dan intelektual muda serta graduan pendidikan bahasa Melayu, Saudara Zariff Hassan : -Disini

Ulasan saya :-

Amat memalukan seandainya seorang mahasiswa tepu dan jumud pemikiran terhadap isu-isu asasi yang melibatkan kehidupan, sosial, politik, ekonomi yang mana, perkara ini perlu diperhati secara kritis dan hormat dengan rasa keperihatinan kepada pembangunan negara.


Apa yang disuburkan dengan 'semangat patriotik' dan rasa 'kecintaan' pada agama perlu diperjelaskan dengan rangka pemikiran yang jelas dan meliputi semua aspek kehidupan. Mahasiswa bukan 'mechanical product' yang dihasilkan sekadar memenuhi pasaran kerja yang diukur sebagai tahap kecemerlangan universiti (bermaksud, semakin ramai graduan universiti mendapat kerja, maka semakin baik tahap universiti tersebut).


Apa yang boleh kita renungkan bersama, pendidikan dan kefahaman seolah-olah menjadi dualisme, ya'ni terdapat jurang yang besar diantara keduanya. Soal kefahaman dan daya upaya kreativiti mahasiswa hanya diukur pada status MARKAH. Tidakkah ini juga menunjukkkan suatu pengamatan dan penilaian yang terlalu bersikap empiricism? Yang bermaksud, segala-galanya diukur dengan angka??


Apakah kita mahu universiti kita hanya 'gah' pada angka, sedangkan mahasiswa menderita dengan 'kejahilan' yang disangka mereka itu adalah 'ilmu pengetahuan' sebaliknya mereka tidak ubah seperti komputer yang hanya mempunyai 'maklumat' tapi tidak bermanfaat untuk dirinya.


Kalau diselusuri dalam pengamatan yang lebih radikal, pensyarah sendiri boleh kita kategorikan sebagai 'pemudah cara' atau 'trainer' dan bukanya sebagai seorang 'guru'. Hal ini menjadi lebih parah, kalau si pengajarnya itu juga hanya memikirkan periuk nasi sendiri dan mengajar sambil lewa kepada mahasiswa. Justeru, inilah virus yang semakin parah mencengkam intelektual mahasiswa yang semakin hari semakin hanyut dalam dunia 'kecelaruan faham' yang menyebabkan suatu refleksi kepada aspek pembangunan sosial generasi muda di negara kita.

Hazabe al-Kelantani

Pengamatan ringkas pada Liberalism


Ketika mula tangan menerjah ke papan kekunci, idea-idea baru datang tanpa henti. Sehinggakan sukar untuk menapis apa yang perlu diisi dalam blog yang semakin lama tidak berpenghuni.
Namun, bisikan kecil menjerit, “Tulislah atas nama Kebenaran” – ketika saat manusia sibuk melayan hawa nafsu yang melampau, ketika apa yang disangka benar itu batil, ketika keghairahan yang tinggi melayan slogan palsu, aku tetap berpegang pada suatu kata nasihat,-

“Biarkan Manusia Membencimu kerana Kebenaran yang Disampaikan, daripada Manusia menyanjungimu kerana Kebatilan yang Dipertahankan”- Hazabe al-Kelantani.


Usai aku membaca dan menelaah “Atas Nama Kebenaran” tulisan Dr Khalif Muaamar, salah seorang murid Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, aku terpanggil berkongsi untuk melakar ceritera pandangan alam (weltanschauung) Barat yang kini semakin parah dalam kekeliruan tentang ma’na hakikat sebuah kehidupan.


Sejarah awal Liberalisme
Ingin ditegaskan, dalam perbincangan ini maksud ‘peradaban Barat’ meliputi seluruh aspek anutan faham yang menjadi pegangan Barat ketika ini. Justeru, agak mustahil untuk menghadkan maksud peradaban kepada sesebuah Negara besar ataupun sesebuah kuasa Vektor, sedangkan hampir semua Negara-negara Barat sedang dilanda krisis keyakinan pada hakikat kehidupan.
Liberalisme bermula dengan gerakan reformasi (Reformation Period) yang bangkit menentang sistem pemerintahan yang bersifat diktatorism yang memerintah atas nama tuhan (the divine right of king). Keangkuhan gereja dan institusi agama dalam mengawal semua kebebasan termasuklah beberapa tekanan pada sebahagian besar ahli-ahli sains Barat menyebabkan institusi gereja dipersoalkan ketelusan dan sifat rationalnya. ( Ketika zaman gelap, nilai2 irrationalisme itu amat dipertahankan, sehinggakan menafikan peranan aqal dalam masalah-masalah kerohanian yang bersifat keyakinan)
Terus, lahirlah beberapa orang tokoh falsafah yang mengetengahkan idea ini (aql adalah peranan utama) kerana peranan gereja atau institusi beragama itu semakin diragui sama-sekali. Diantara tokoh-tokoh falsafah yang mula-mula melopori liberalism ini adalah :-
  1. 1.       John Locke (M.1704)
  2. 2.       Adam Smith (M.1790)
  3. 3.      Thomas Paine (M. 1809)
  4. 4.       Benjamin Constant (M.1830)
  5. 5.       James Medison (M.1836)
  6. 6.       Jeremy Bentham (M. 1832)
  7. 7.       John Stuart Mill (M. 1873)

Salah satu slogan yang paling popular adalah yang diketengahkan oleh Rene Descartes (M. 1650) yang berbunyi, “Cogito, ergo sum” – bermaksud “AKU BERFIKIR, MAKA AKU WUJUD”. Slogan ini jelas menaikkan dan meninggikan martabat akal sebagai suatu hakikat yang pasti (aqal rational).
Secara umum, terdapat 2 bentul liberalism yang diketengahkan oleh Dr. Khaliff iaitu :-
1.       Liberalism klasik (yang mana, pada tahap ini, fahaman liberalism masih lagi berpegang pada hukum Alam) – yang bermaksud Tuhan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada manusia untuk mentafsir dan menemukan hukum tarikan dengan pancaindera (empirisisme), yang jelas terbatas pada aspek-aspek politik, moral dan ekonomi.
2.       Liberalism moden (yang lebih tertumpu pada aspek sosial)- yang mana kebebasan itu bermaksud “Hak seorang individu yang baik dari sebarang campur tangan dari pihak luar” ; nilai-nilai kehidupan adalah kehidupan peribadi yang akhirnya melahirkan individualism anarchism.

Justeru, daripada 2 konsepsi liberalism ini, lahir ‘anak-anak pokok’ yang menjadi ‘pemandu’ kepada fahaman liberalism ini.
Kalau dilihat dari sudut ekonomi, liberalism yang dipelopori oleh Adam Smith ini memberi fokus pada free enterprise, loissez-faire, kapitalisme yang mana tiada ada campur tangan pemerintah dalam kegiatan ekonomi. Pemerintah hanya sebagai alat, memberikan ruang untuk masyarakat  berniaga.
Dari sudut sosial pula, liberalism memberikan kebebasan yang positif yang menekankan tanggunggjawab pemerintah terhadap kebebasan individu seperti pendidikan, kesihatan, peluang ekonomi. Kalau dilihat secara langsung, kebebasan yang keterlaluan kepada aspek individualism memberikan impak yang negative, yang mana seseorang itu bebas melakukan apa sahaja tanpa campur tangan orang lain yang akhirnya melahirkan suatu konsep yang disebut ‘Open Society’.

Liberalism sebagai Pandangan Hidup Barat
Di Barat, liberalism merupakan semangat perubahan dan pembangunan untuk merealisasikan kemajuan dalam segenap bidang kehidupan. Apa yang pasti, setiap pembangunan yang berlaku di Barat adalah bebas nilai, yang mana, tiada langsung intipati nilai-nilai sahsiah yang boleh dibanggakan.
Hal ini jelas bertentangan dengan apa yang berlaku dalam tradisi Islam. Pembangunan dalam Islam lebih kepada menghidupkan kembali yang lama (tradisi) sesuai dengan perkembangan semasa. Pembangunan dalam Islam tidak meletakkan agama itu terpisah dalam segenap segi, tapi agama itu sebagai pemandu kepada matlamat akhir sesuatu perubahan yang dibuat.
Keadaan yang ‘trauma’ dalam tradisi peradaban Barat menyebabkan mereka dilanda mimpi ngeri yang takut untuk melihat kebangkitan ‘rasa beragama’ dikalangan hidup masyarakat sana. Sebab itu, ada kebimbangan yang besar dalam menanggapi masalah-masalah yang bersifat ketuhanan, keyakinan, keadilan dan kebebasan di dunia Barat.
Walaupun sejarah menunjukkan, perjuangan di Barat ini muncul dengan suatu rasa iaitu ‘memperjuangkan hak asasi manusia’, namun ia jelas tidak terhenti pada suatu tempoh tertentu, malah ia sentiasa berkembang menjadi suatu bentuk ideology dan diambil secara rambang sebagai suatu pandangan hidup. Pandangan liberalism ini menjadikan individualism sebagai asasnya, yang mana melahirkan suatu lagi teori moral “liberal ethics” yang dikenali juga sebagai utilitarianism. Dalam tulisan ini, Dr Khaliff juga mengambil kata-kata John Stuart Mill dalam membahaskan konsep kebebasan (liberty) sebagai refleksi yang menunjukkan pembangunan itu sinonim dengan individuality.
Falsafah yang digagaskan Mill ini berpandangan bahawa “perkara yang baik adalah setiap perkara itu dapat merealisasikan pembangunan individu”. Ini bermaksud, dengan memberikan pembebasan pada individu sahajalah maka kesempurnaan dan pembangunan manusia dapat tercapai.

Namun, daripada tesis tersebut, perlu dipertanyakan, apakah setiap perkara yang diingini oleh seseorang individu itu semestinya membawa kebaikan padanya? 

Barangkali persoalan itu bakal membuka suatu lagi ruang perbahasan yang memberi takrifan pada istilah ‘baik’ tersebut.

Dalam membicarakan hal liberalism ini, perlu diingat, nilai kebebasan itu tidak semestinya bersifat individualistik, dan ianya juga bukan bersifat boundless (tiada sempadan). Kebebasan yang diberikan tanpa sempadan, membawa kepada kehancuran. Sebagai contoh di Barat, nilai moral hanya dipandang sebagai suatu hak individu membuka ruang kepada satu lagi masalah sosial dikalangan masyarakat disana. Masalah pornography misalnya adalah suatu yang sah, dan ianya adalah hak individu masing-masing. Tidak kurang juga dilihat dari sudut perkahwinan sejenis, dan sebagainya.


Kecelaruan pada peggunaan ‘aql tanpa batasan ini memberikan ruang pada kita untuk terjerumus kepada suatu penaksiran yang salah, malah ada sebahagian besar umat Muslim pada hari ini memandang Liberalism itu dibolehkan, sama ada ‘diambil secara langsung’ daripada aliran pemikiran liberal ataupun ‘diambil tanpa sedar’ dalam menanggapi isu permasalahan hak asasi dikalangan masyarakat. Justeru, pemahaman kepada akar sejarah liberalism ini sedikit sebanyak membuka mata, bahawa dalam agenda proses liberalisasi kehidupan manusia, terdapat kategori dan bentuk liberal yang perlu dilihat secara cermat. 

Malah yang lebih membahayakan apabila istilah ‘liberalism’ , ‘pembebasan’, ‘hak individu’, dan istilah-istilah yang kelihatan ‘murni’ sebenarnya membawa pengertian yang mengelirukan dan juga mampu memberi kesan pada pandangan hidup umat Islam pada hari ini. Adakalanya, disebalik pemahaman agama yang cetek, kita tanpa sedar menganggumi dan mengambil idea ini sebagai suatu usaha yang ‘baik’ pada pengamatan zahir kita. Menjadi tangunggjawab besar pada mereka yang khususnya digelar para ‘du’at untuk memberikan lebih masa mengkaji permasalahan ini secara mendalam sebagai ruang untuk memahamkan masyarakat bahawa agenda serangan ‘pemikiran’ tidak boleh dilihat dari sudut yang ‘subjektif’ malah ianya perlu dikaji secara objektif dengan ruang perbincangan yang kritis dalam kalangan generasi belia.



Coretan ini adalah adaptasi sedikit sebanyak daripada Topik 1 : Atas Nama Kebenaran: Kebenaran Versus Keraguan dan Kekeliruan tulisan Dr Khaliff Muammar terbitan Akademi Kajian Ketamadunan (AKK).



Hazabe al-Kelantani

Gagasan Agung

Gagasan Agung

Oleh : Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud

I

Setiap bangsa yang merangka gagasan agung
Berazam memahat nama dalam sejarah tamadun terulung
Akan membina universiti dan pusat pengajian tinggi
Dan menyebarkan fahamnya tentang kewujudan ini
Tentang makna kemanusiaan dan kebahagiaannya.
Tentang maksud kemajuan dan nilai-ukurnya:
Dengan segala hujjah yang tidak tersangkal
Oleh mereka yang berakal;
Dengan segala bukti
yang tidak tertolak para pengkaji;
Dengan segala berita
yang tidak terdusta.

Bangsa yang tidak bermimpi menjadi maju
Tapi sedar insaf matlamat kudus yang dituju
Akan melahir lapisan demi lapisan pemimpin
Dalam pelbagai bidang, sebanyak mungkin.

Gagasan tinggi dipacak kukuh di universiti
Dan institusi lain dalam negeri secara serasi, bertali
Agar matlamat suci menotai Perjanjian Azali
Tidak tinggal sebagai mimpi.

Mimpi menjadi maju sifat bangsa yang tidur lena
Enggan bangun dan menjulang martabatnya.

II
Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjangnya umur
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.

Negara juga dianggap maju bukan:-
Panda bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikam gunung

Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung.
Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadab pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?

Universiti taman adabi medan penta’diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan
Yang paling cekap dan berkesan
Dalam sejarah makhluk Tuhan:-
Yang terbang lebih tinggi dari helang dan garuda
Menyelam lebih pantas dan dalam dari paus dan barakuda
Meracun lebih bisa dari kala jengking dan ular
Insan-haiwani latihan IPT mengatasi segala yang liar.

III
Di negara-negara mencengkam dunia berabad lama
Universiti puncak pemikiran tamadun mereka
Yang menyuluh pelbagai kefahaman zaman lalu
Yang membenihkan pelbagai pengetahuan zaman baru.

Pemimpin besar bangsa perkasa melihat jauh di ufuk sejarah
Mengukuhkan universiti tinggi, melahir pemikir penentu arah
Yang bebas menyampai kata, diiktiraf pelbagai anugerah
Lalu dunia memeluk mereka, jadi ukuran meningkat maruah.

Naib canselor dan dekan dipilih dari bangsa helang ilmi
Bukan dari bangsa pengurus, mulut terkunci depan menteri
Oxford, Leiden, Tokyo, Harvard, Sorbonne menjadi taman adabi
Walau mengkaji angkasa raya, sejarah sendiri diteliti ke akar umbi.

Walau kita berabad merdeka
Kepakaran agama dan sejarah kita digenggami mereka
Lampu dari Kaherah dan Madinah telah kehabisan zaitunnya
Pelita di Kuala Lumpur, menangin aku mengenang nasibnya.
Universiti umat di mana saja, kini dipenuhi semut mencari gula
Gedung ilmu menjadi tebu; gula, manisan merata.

IV
Gong dan gendang dipalu rentak ”ilmu harus diislamkan”
Bolehkan si buta mengajar melihat, si tempang lurus berjalan?
Mereka anggap ilmu seperti gula: menarik semut dan kerengga
Dan berfikir Islam seperti siyasah dan kegiatan iktisad
Lalu isi dan amal agama menjejaki dunia korporat.

Ilmu sebenar anugerah Tuhan pada diri ikhlas-berani
Ikhlas mengakui kejahilan diri, berani berguru kepada ahli
Ahli bukan yang mudah menuruti kehendak muridnya
Atau yang tunduk pada juhala memanas kerusi penguasa.

Sepanjang sejarah anbiya dan hukama semua bangsa
Guru murshid tegap berdiri, berani berkata, sederhana.

Murshid memimpin murid dan institusinya, seperti helang
Bukan memaksa terbang di paras rendah seperti puyuh, belalang.

Seorang Ibrahim disebut Allah sebagai Umat
Murshid pewaris Nabi memang wajar jadi penyelamat.

Pemalu rentak Islamisasi ilmu seperti penjual jamu
Yang tidak tahu bahan-bahan dan asal usul yang diramu
Yang tidak mencuba dengan sempurna jamu jajaan
Minatnya memalu gong dan menjaja jamu di pasaran
Di rumah, jamu diatur merata sebagai perhiasan
Anak-isteri terkeliru antara jamu dan jamu-jamuan!

Seorang pentadbir, salah seorang penjual jamu
Menganggap dir begitu pandai dan berilmu
Mengarahkan semua pensyarah membatal kuliah
Demi mera’i sang menteri yang memberinya anugerah
Mengarah menebang meranti berpuluh tahun umur
Konon cintakan kebersihan, tidak suka daunnya gugur!
Membelanjakan jutaan ringgit membeli bunga-bunga palsu
Yang mudah dipindahkan ke sana ke mari bersama pasu.
Bangga mananam pokok-pokok besi harga berjuta
Agar tidak dihinggapi burung, tupai dan serangga.

Sayang, jamu ramuan Alim Mukhlis dicuri ilmuwan tiruan
Diingat gula, bangsa semut datang berjuta mencari habuan
Pengislaman ilmu bertunjang pada mengenali sifat Tuhan
Berakar pada peningkatan akali-roh-akhlak bertiga segi
Kerana manisnya bukan seperti gula
Untungnya bukan pada peningkatan harta
Mulianya bukan pada pengiktirafan penguasa,
dan puji-pujian golongan massa.

Justeru itu jamu asli pengislaman ilmu, alam dan insan
Kini dianggap racun yang bakal memundurkan
Lalu dijauhkan mereka yang bergelar cendekiawan
Dan yang mengaku beriman
Disokong boneka di puncak kekuasaaan.

V
Universiti menyebar ilmu pancaran agama dan tamadun
Mengukuh hikmat leluhur agung turun temurun
Bukan menginsankan insan tujuan sebenarnya
Itu sekadar pencapaian sekelumit paling sederhana
Tapi mengakhlakkan insan dengan akhlak Tuhannya
Itulah matlamat tertinggi, makam terpuji bagi manusia.

Wahai ketua universiti dan semua warga di dalamnya:
Bangun dan hilangkanlah arang di wajah bangsa.
Semua anak helang di sangkarmu, lepaslah terbang
Yang cerah mata dan terang hatinya, pasti pulang
Bersenjatakan hikmah pemikir terbilang
Dan keberanian dan kepintaran para hulubalang


Gagasan Agung ini merupakan satu puisi hasil tulisan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud., Mantan Timbalan Pengarah ISTAC dan kini Pensyarah Kanan ATMA, UKM. Puisi ini dipetik daripada Buku Puisi beliau, Dalam Terang. Puisi ini mentafsirkan tuntutan amanah yang di terima insan serta peranan ilmu dan akhlak dalam masyarakat

dipetik daripada :-
(semoga kita berkasih sayang kerana Allah)
HAZABE
"SALAM UKHWAH"