Mayat-mayat hidup Universiti



Usai menghantar adik saya ke UIA, Gombak, kebetulan disitu berlansungnya majlis konvokesyen yang barangkali menjadi harapan setiap mahasiswa universiti untuk mengalami pengalaman sedemikian. Benar, bulan 9-10 adalah majlis konvokesyen yang diadakan hampir disemua institusi pengajian tinggi sama IPTA ataupun IPTS. Disitulah, 'janji-janji' seorang anak pada ibubapanya dilihat 'tertunai' rapi.

Dalam keghairahan orang lain menerima ijazah, saya tertanya-tanya dalam nada yang skeptik, "APAKAH NILAI SEGULUNG IJAZAH?" - Dek kerana, masakini saya sedang dilanda 'intellectual crisis' yang meletakkan saya pada posisi yang amat kritikal dalam semua hal, maka soalan ini saya simpan dan cuba mencari jawapan yang sepatutnya.

Sudah hampir 2 tahun saya belajar dalam suasana kampus universiti yang suatu ketika dahulu menjadi igauan setiap pelajar sekolah. Mana taknya, ia merupakan harapan utama ibubapa untuk melihat anaknya berjaya di menara gading. Kalau dulu, mungkin saya terlalu bersyukur kerana mendapat tempat belajar di sini (UniKL MFI), tapi kini saya terasa malu untuk dipanggil seorang 'mahasiswa' bila hakikatnya, universiti sebenarnya hanya sekadar 'kilang-kilang' pemprosesan produk mekanikal yang hanya perlu mengisi ruang-ruang kosong dalam industri yang ada di Malaysia.

Harapan untuk mempelajari ma'na kehidupan disesuaikan dengan fahaman agama dan akidah Islamiah, menjadi musnah, bila berlaku dikotomi dan dualisme antara agama dan cara hidup. Pendidikan sains terpisah sepenuhnya dengan agama. Yang menyedihkan, bila ramai yang membicarakan soal 'kegamaan' tapi beku pada soal 'pengislaman'. Saya sendiri pada mulanya terperangkap dengan slogan-slogan islamisasi sistem sosial disini. Namun, sudah sifat saya untuk sentiasa mengkaji dan menilai kembali kefahaman-kefahaman asing yang tidak mempunyai akar fahaman yang jelas dalam kehidupan.

Disini saya ingin kongsikan suatu artikel penulisan seorang teman dan juga salah seorang sumber utama yang mempertemukan saya dengan 'rangka intelektualism Islami', saudara Wan Ahmad Faysal @ Rausyanfikir yang juga merupakan graduan UTP dalam mengulas soal Universiti.



Sayyid Abul Ala Maududi (1903-1979)
"‘Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.

Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. Thedegrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life. 

I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses.’"


"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."





Mungkin, tidak ramai orang kita yang mengenali sosok pejuang Islam dari Pakistan ini. Sejarah telah mengukir betapa sosok ini berupaya berdiri sama tinggi dengan Imam Hassan Al Bana dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai Sistem Kehidupan di tanah air masing-masing.


Sayyid Abul Ala Maududi merupakan seorang pejuang, intelektual dan da'ie yang cukup disegani dalam abad ke-20. Namanya senantiasa meniti dibibir para pejuang Islam yang dahagakan tiupan semboyan daripada pemimpin sepertinya.


Beliau merupakan pengasas kepada Jamaat-e-Islami di Pakistan, sebuah gerakan Islam yang sama hebatnya dengan Ikhanul Muslimin dibawah Imam Hassan Al Bana.


Ungkapan yang tajam dan tersirat di atas merupakan salah satu ekspresi diri beliau terhadap realiti sistem pendidikan yang telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan semenjak zaman kolonial hinggalah ke hari ini.


Kenapa begitu teruk sekali pandangan beliau terhadap universiti? Adakah pengorbanan mahasiswa tidak bererti dalam menimba ilmu?


Persoalan ini akan terjawab jikalau kita bersikap kritikal dalam menilai sejarah dan impak yang tersirat didalam masyarakat.


Memang benar. Universiti telah menjadi pusat penyembelihan kepada anak-anak muda yang suci pemikirannya. Disinilah mereka dikelar mindanya, dipatahkan tulang kesedarannya dan digantung maruah mereka selaku pengubah masyarakat.


Para penyembelih yang terdiri daripada golongan aristokrat pendidikan telah mengupah manusia-manusia yang kelu untuk menyiat potensi minda perjuangan anak-anak muda ini. Diasingkan daripada realiti dan diangkat menjadi fantasi.


Itulah keadaan sebenar pada hari ini. Golongan mahasiswa sudah dicincang dengan lumat sehingga tidak dapat dikenali lagi sebagai seorang 'insan' yang berguna pada rakyatnya. Terkurung daripada cahaya kebenaran, mahasiswa akhirnya dibutakan dengan lambakkan makanan berupa sampah untuk dibuntalkan perut minda mereka agar tidak ada apa lagi yang perlu dipersoalkan.


Akhirnya, kegemukkan minda menghasilkan sifat kemalasan dan kepekaan kepada sekeliling menjadi pudar. Buta hati mula melingkar menusuk kalbu. Itulah mahasiswa. Hanyalah haiwan sembelihan buat golongan kapitalis yang menyedut darah merah yang segar daripada otak beku mereka.


Selagi mana golongan mahasiswa terpisah dengan realiti masyarakat, kehidupan yang sempit didalam kampus hanya mampu menjadikan mereka daging pejal buat golongan kapitalis yang saban hari menyediakan hidangan daging mentah buat umat manusia. Mungkin, inilah yang ingin cuba disampaikan oleh Pejuang Islam ini. Pendidikan warisan penjajah yang membunuh.

rujukan di disini


Hazabe al-Kelantani

No comments: